Ady Shutter Scream adalah ilustrator berpengalaman dalam dunia agensi kreatif, pengiklanan, rekaan grafik, dan rekaan karektor. Beliau juga dikenali sebagai artis Dark Surrealist. Beliau banyak menghasilkan rekaan ilustrasi untuk konsep kulit album kumpulan pemuzik metal tempatan dan luar negara. Antaranya ilustrasi kulit album kumpulan Langsuir, Vociferation Eternity, Athotorgh, Central Disposal, Atomic Death dan Chaos Operator.
Soalan Wawancara
(Soalan) Terangkan secara ringkas latar belakang saudara. Lahir dan dibesarkan di mana? Mendapat pendidikan seni di mana?
(Jawapan)
Pertama sekali saya ingin ucapkan terima kasih di atas jemputan wawancara ini. Saya dilahirkan dan dibesarkan di Melaka. Saya mendapat pendidikan seni di UiTM Lendu, Melaka dalam pengajian senilukis dan senireka.
(S) Apa yang menyebabkan saudara meminati seni? Siapa yang mempengaruhi? seniman yang diminati atau pernah mendapat tentangan dari keluarga kerana meminati seni.
(J)
Minat saya pada seni itu lahir semenjak dari bangku sekolah rendah lagi. Ketika itu banyak filem, siri animasi di televisyen dan permainan video di era 80an mempengaruhi imaginasi dan minat saya ke arah seni. Antara yang banyak mempengaruhi minat dari awal adalah George Lucas, H.R.Giger, Walt Disney dan ramai lagi. Alhamdulillah sehingga kini ibu bapa serta ahli keluarga yang lain tidak pernah menentang minat saya dan boleh dikatakan saya seorang sahaja yang fokus ke arah seni di dalam keluarga. Biarpun mereka tidak pernah memahami segala proses kerjaya seni saya, namun mereka sentiasa menyokong dari belakang.
(S) Pekerjaan saudara, (dulu hingga kini).
(J)
Saya memulakan kerjaya saya sebagai artis penerbitan desktop (DTP) di sebuah syarikat percetakan di Melaka. Selepas 3 tahun, saya meneruskan fokus kerjaya saya ke arah bidang senireka pengiklanan sabagai pereka grafik, pengarah studio dan pengarah seni di beberapa buah agensi kreatif di Kuala Lumpur. Setelah lebih 10 tahun bergelumang dalam dunia pengiklanan, saya meneruskan kerjaya sabagai pereka grafik senior di bahagian komunikasi korporat. Pada tahun 2017 saya mengambil keputusan untuk menumpukan fokus pada kerjaya seni ilustrasi dan pereka grafik bebas sepenuh masa sehingga hari ini.
(S) Pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika bekerja atau berkarya.
(J)
Pengalaman Ketika Bekerja:-
Kerap bermalam dan kurang tidur selama beberapa hari di studio demi menepati ‘deadlines’ setiap projek dan kepuasan klien. Lumrahnya kerjaya di bidang pengiklanan kreatif memerlukan kekuatan mental dan kesabaran yang tinggi.

Foto: Ilustrasi rekaan kulit album “Rotorhead” kumpulan Athotorgh
Pengalaman Ketika Bekarya:-
Umumnya, di Malaysia ini kebanyakkan seperti karya saya selalu dipandang negatif dan dianggap ‘tidak mesra’ oleh setengah pihak serta tidak bersesuaian dengan etika dan budaya kita. Disindir, dipersendakan serta dipandang rendah ketika awal penghasilan karya seni dulu adalah antara perkara biasa dan saya gembira kerana telah menemui ‘saluran dan pendedahan’ yang sesuai, yang mana kebanyakannya dari luar negara.
(S) Bolehkah saudara terangkan proses berkarya? Apa alatan melukis yang saudara gunakan? Medium? Apa perisian/software yang digunakan?
(J)
Dalam berkarya, saya mengamalkan ‘workflow’ yang sama seperti di bidang kerjaya senireka sebelum ini. Pada peringkat awal, saya akan membuat beberapa kajian untuk menyediakan ‘moodboard’ terlebih dahulu. Seterusnya saya akan menggabungkan unsur idea, kreativiti dan mesej penyampaian bagi setiap konsep, subjek dan medium. Sebelum ini, saya hanya menggunakan medium tradisional seperti pensil, pen dakwat halus dan pen dakwat berus. Seiring dengan perkembangan teknologi terkini, saya mula menggunakan medium digital seperti telefon pintar Samsung Note dan tablet melukis Wacom dan Ipad. Bagi proses mewarna pula saya lebih selesa menggunakan medium digital seperti perisian Adobe Photoshop, Autodesk Sketchbook dan aplikasi seperti ArtstudioPro dan Procreate. Saya juga menggunakan cat akrilik untuk mewarna bagi medium tradisional. Walaupun medium digital jauh lebih mudah dan canggih, saya masih mengekalkan medium tradisional untuk berkarya, bergantung pada subjek dan keperluan karya. Dengan cara ini saya dapat memastikan keseimbangan teknik berkarya dalam dua medium yang berbeza.
(S) Saudara pernah menghasilkan ilustrasi untuk kulit album beberapa kumpulan pemuzik ‘metal’ tempatan. Antaranya album kumpulan Langsuir – ‘Dirga Belangsungkawa’ dan album mini kumpulan Vociferation Eternity. Boleh kongsikan pengalaman bekerja dengan kumpulan tersebut dalam menghasilkan seni ilustrasi?
(J)
Kumpulan Langsuir – Album ‘Dirga Belasungkawa’.
‘Dirga Belasungkawa’ adalah ilustrasi kulit album kedua saya hasilkan selepas album mini mereka yang bertajuk ‘Cemar’ yang diterbitkan pada tahun yang sama. Berdasarkan dari ilustrasi ‘kulit album’, mereka juga meminta penghasilan ilustrasi bagi setiap lagu untuk dimuatkan dalam ‘inlay’ album. Proses agak mencabar kerana melibatkan ilustrasi, susun atur dan reka visual bagi keseluruhan ‘inlay’ album. Atas kerjasama dari ahli kumpulan tersebut, ‘inlay’ album dapat disiapkan walaupun dalam tempoh masa yang agak padat.
Kumpulan Vociferation Eternity – ‘Disclose the Shining’.
Salah satu kumpulan kegemaran saya, secara peribadi saya rasa teruja dapat bekerja dengan mereka dalam menghasilkan album mini ini. Seperti projek yang lain, setiap konsep diusulkan sebagai draf untuk mengumpul komen dan input dari ahli kumpulan. Selain itu, tidak banyak yang berubah sejak draf pertama kerana mereka yakin dengan kemahiran saya dan pada awalnya kami telah mempunyai hubungan kerja dan persefahaman yang baik bersama.

Foto: Ilustrasi rekaan kulit album “Phantoms of the New Realm” kumpulan Atomic Death

Foto: Ilustrasi rekaan kulit EP “Cemar” kumpulan Langsuir

Foto: Ilustrasi rekaan kulit album kumpulan Neftaraka
(S) Saudara menjalani kehidupan sebagai individu kreatif, tentu berbeza dengan kehidupan individu lain. Boleh saudara terangkan rutin harian seberapa spesifik yang mungkin? Bagaimana proses penghasilan karya berlaku, inspirasi, dan subjek pilihan? Tentang berkarya di studio?
(J)
Setiap individu kreatif yang lain punyai cara kehidupan yang berbeza dari segi rutin kehidupan dan rutin kerja. Walaupun bekerja sendirian dan berkarya secara bebas, saya mementingkan pengisian masa seharian dengan apa jua yang melibatkan kreativiti dan inspirasi. Bekerja dalam suasana ruang waktu yang berbeza dalam dan luar negara membuatkan saya lebih menghargai masa dan perjalanan waktu. Lumrahnya bekerja secara bebas, adakalanya waktu rehat dan tidur terganggu disebabkan ‘deadline’ kerja yang padat. Dengan adanya kemudahan internet dan jalur lebar, saya banyak menghabiskan waktu seharian bekerja dari rumah dan berhubung terus dengan klien secara atas talian. Atas faktor usia dan kesihatan, kebiasaannya saya melakukan aktiviti kardiovaskular seperti berlari di awal pagi atau petang. Boleh dikatakan 3/4 hari dihabiskan di dalam bilik kerana saya kurang meluangkan masa di luar rumah kecuali urusan penting. ‘Workstation’ juga memainkan peranan penting dalam mempengaruhi corak dan fokus kerja. Bagi saya bilik atau ruang kerja yang teratur mampu memberi inspirasi dan ‘mood’ dalam berkarya. Dalam penghasilan karya, selain melayari internet, biasanya saya akan menyingkap buku-buku rujukan, mendengar muzik yang bersesuaian untuk menghasilkan mood dan konsep sesuatu karya. Persekitaran luar rumah juga membantu saya mendapat inspirasi dan idea yang sesuai. Mungkin di dalam kesesakan trafik ketika memandu ataupun di dalam tandas. Inspirasi mampu hadir dari mana sahaja dan pada bila-bila masa. Adakalanya saya akan memandu di tengah malam berseorangan di lebuhraya yang panjang. Ketika itu saya mampu fokus berfikir dengan tenang sambil memandu berseorangan tanpa gangguan kenderaan lain. Saya juga turut menyediakan buku nota kecil di tepi katil, kerana adakalanya inspirasi dan idea muncul ketika saya hampir melelapkan mata. Saya percaya, ia mungkin akan hilang pada keesokkan harinya jika tidak dicatat atau direkodkan, justeru ia akan terawangan di dalam fikiran sehingga mengganggu tidur. Subjek dalam karya tidaklah terikat pada satu-satu subjek dan konsep walaupun kebanyakan karya saya bersifat kematian, kegelapan, kesakitan dan futuristik. Adakalanya ia bergantung pada kehendak klien serta kemampuan imaginasi saya. Saya lebih suka mencabar diri sendiri untuk keluar dari zon selesa dengan menghasilkan sesuatu subjek yang lain dari kebiasaan. Untuk mengekalkan daya kreativiti dan imaginasi, sesekali saya akan mendekatkan diri dengan alam semulajadi. Biasanya saya akan bermalam dan melakukan aktiviti rekreasi di dalam hutan sehingga 5 hari dan ia sangat membantu bagi proses ‘rehat dan rawat’ tanpa gangguan kerja, telefon dan internet.
(S) Siapakah artis visual/illustrator/pereka rujukan?.
(J)
Antaranya adalah seperti, Todd McFarlane, Greg Capullo, Frank Miller, Mark Riddick, Richey Beckett, Collin Estrada, Dzo Olivier, Justin Kamerer, Aaron Horkey, Pushead, Josan Gonzalez, Mattias Adolfsson dan McBess.
(S) Adakah saudara mendengar muzik ketika berkarya?
(J)
Sudah pasti. Muzik memainkan peranan yang penting dalam membantu saya untuk fokus. Saya agak cerewet dalam pemilihan muzik yang sesuai untuk membantu saya menjiwai subjek karya.
(S) Adakah saudara mempunyai ‘motto’ dalam menjalani kehidupan sebagai individu yang melibatkan diri dalam bidang kreatif?
(J)
Bagi saya seni itu bebas. Bebas mengikut saluran dan kesesuaiannya. Biar apa pun pandangan orang sekeliling, asalkan kita gembira dan puas dengan apa yang kita buat. Apa yang kita lakukan adalah lebih penting dari apa yang kita selalu ucapkan.
(S) Berapa penting komponen visual dalam muzik ‘metal’, dari sudut pandangan saudara?
(J)
Muzik ‘metal’ adalah sejenis muzik di mana komponen visual bukan sekadar penting, tetapi sangatlah penting dan lebih kerap daripada itu, visual membantu pendengar tentang jenis album yang bakal didengari. Secara keseluruhannya muzik metal bergantung pada kekuatan karya seni visualnya kerana muzik metal yang disemai dengan bunyi sonik yang berat serta kekuatan emosi yang kompleks dan rumit hingga memerlukan visual yang tepat untuk menggambarkan rasa kepada pendengar. Ibarat ‘riff’ berat yang luar biasa khasnya untuk pendengar setia muzik metal, samalah seperti visual yang bertepatan pada album, ianya untuk difahami oleh pendengarnya.
(S) Muzik metal masih merupakan genre muzik yang paling inovatif, berani, dan berisiko untuk pasaran, selepas 52 tahun ia dilahirkan. Pandangan peribadi saudara, apa yang membuat muzik metal tetap hidup?
(J)
Secara peribadi, kekuatan dan sokongan pendengar, peminat dan pengikutnya menjadikan ia masih kekal dan relevan sehingga hari ini, walaupun muzik metal telah melalui pelbagai era dan perubahan zaman.
(S) Adakah terdapat makna, maksud atau cerita tertentu disebalik karya ilustrasi yang dihasilkan?
(J)
Kebanyakkan karya seni yang saya hasilkan hanya sekadar satu cara ‘escapisme’ dari dunia realiti. Ada di antaranya lebih merujuk pada ‘peperangan yang masih bergolak’ di dalam diri saya sendiri dan itulah salah satu cara untuk saya terjemahkan apa yang berselirat di ruang fikiran dan emosi.
(S) Harapan dan rancangan saudara untuk tahun 2026?
(J)
Harapan saya semoga industri seni dan kreatif di negara ini tidak lagi dipandang rendah dengan bayaran yang murah malahan terus diangkat sebagai salah satu bidang professional.
Rujukan
- Campos, C. Metal and Hardcore Graphics – Extreme artworks from the underworld. 2011. Page One Publishing Pte Ltd, Singapore.
- Wiederhorn, J & Thurman, K. Louder Than Hell – The Definitive Oral History of Metal. 2013. It books. New York.
- O’Neil, A. A History of Heavy Metal. Headline Publishing Group. 2018. London.
- Stoltze, C. Stoltze Design. Music Graphics – A compilation of Packaging, Posters, and other Sound Solutions. 2010. Rocjport Publishers, Inc. USA.
- Gavin, F. Hell Bound – New Gothic Art. 2008. Laurence King. United Kingdom.
- Becket – Griffith, J. Gothic Art Now, 2008. Collins Design. New York.
Biodata Penulis:
M. Syafiq Fawwaz M. Abdul Aziz adalah pensyarah Visual Arts & Entertainment Section (VAE), Universiti Kuala Lumpur, Kampus Kota (Malaysian Institute of Information Technology). Beliau giat menulis artikel berkaitan seni visual untuk Majalah Dewan Budaya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka iaitu Berkenalan Dengan Catan Surealisme (Bil. 3, 2019), Pengaruh Teori Freudian Dalam Surealisme (Bil. 2, 2020), Membaca the Dark Garden dan Day of Slowness (Bil. 08/2022 Jilid 44, Dewan Bahasa & Pustaka (DBP). Penulisan tentang seni visual tempatan seperti ‘Magis Khairul Azmir Shoib @ Meme’ dan ‘New Formal Dalam Norma Baharu: Nor Tijan Firdaus’ dalam SENIKINI terbitan Balai Seni Negara.



