KUALA LUMPUR — Puluhan pertubuhan masyarakat sivil, gerakan mahasiswa, NGO dan kumpulan aktivis tampil mengeluarkan kenyataan bersama menyatakan solidariti terhadap MANDIRI serta mengecam dakwaan dan intimidasi yang didakwa bertujuan melemahkan gerakan rakyat.
Menerusi kenyataan bertarikh 16 Mei 2026 itu, badan-badan terlibat mendakwa fitnah yang mengaitkan MANDIRI dengan penyelewengan dana asing dan percaturan politik merupakan tuduhan tidak berasas yang bermotif politik.
Menurut mereka, tindakan tersebut bukan sahaja dilihat sebagai serangan terhadap MANDIRI, malah satu cubaan untuk menakut-nakutkan masyarakat sivil serta melemahkan suara anak muda yang aktif memperjuangkan isu rasuah, hak asasi manusia, keadilan sosial dan reformasi institusi.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa beberapa organisasi seperti BERSIH dan SUARAM pernah berdepan tuduhan hampir sama sebelum ini, termasuk siasatan dan serbuan pejabat yang akhirnya didakwa tidak membuktikan sebarang salah laku.
“Apabila rakyat bersuara dengan lantang mengkritik pemerintah, itu merupakan simbol kecintaan rakyat terhadap negara,” menurut kenyataan tersebut.
Gabungan itu turut menegaskan bahawa intimidasi dan tuduhan murahan tidak akan melemahkan gerakan rakyat, malah akan terus memperkukuhkan solidariti masyarakat sivil dalam melawan penindasan.
Antara organisasi yang menandatangani kenyataan bersama itu termasuk BERSIH, SUARAM, Liga Mahasiswa Malaysia, Suara Siswa UM, Suara Mahasiswa UMS, Sabah Youth Movement (SYM), Justice For Sisters, FEDERASI, Pocket of Pink (POP), Gempur Rasuah Sabah 3.0, Projek SAMA, HARAM dan banyak lagi.
Kenyataan tersebut diakhiri dengan slogan:
“Semakin ditekan, semakin melawan! Hidup gerakan rakyat!”




