Home / Berita / Semasa / Tokosue umum tutup ruang komuniti selepas 3 tahun

Tokosue umum tutup ruang komuniti selepas 3 tahun

KUALA LUMPUR – September 2025 Indie bookstore dan ruang zine Tokosue mengumumkan akan menutup pintunya secara rasmi pada November 2025, menandakan berakhirnya sebuah perjalanan tiga tahun yang menjadi ruang alternatif buat pencinta buku, zine, dan komuniti seni.

Pengasasnya, Sue Emoqwin, menjelaskan keputusan itu dibuat selepas cabaran model perniagaan yang tidak lagi mampan, meskipun pernah mendapat sokongan luas melalui kempen jualan buku yang tular awal tahun ini. Faktor peribadi termasuk kehilangan ahli keluarga serta masalah kesihatan turut menjadi sebahagian daripada pertimbangan untuk menutup operasi.

Sebelum penutupan rasmi, Tokosue akan mengadakan jualan penghabisan selama 30 hari pada Oktober dengan diskaun sehingga 70 peratus, melibatkan buku, zine, serta peralatan kedai seperti rak, mikrofon, dan lampu. Semua hasil jualan akan membantu menyelesaikan komitmen bersama vendor.

Foto: The Star

Namun, Tokosue bukan sekadar kedai. Sejak ditubuhkan pada 2022, ia menjadi ruang kolektif yang memberi peluang kepada penulis muda, penerbit indie, dan penggiat seni bawah tanah untuk berkongsi karya. Sue kerap mengubah rak buku menjadi pentas bacaan puisi, forum kecil, dan diskusi kritikal tentang budaya serta politik.

Ramai yang mengenang Tokosue sebagai rumah kedua bagi idea-idea yang sering dipinggirkan. Di sebalik cabaran kewangan dan duka peribadi, Sue tetap bertahan dengan semangat indie: bahawa seni dan kata-kata berhak punya ruang sendiri.

Kini, dengan penutupan Tokosue, ia bukan tanda noktah, tetapi jeda. Bagi Sue, ia ruang untuk penyembuhan, keluarga, dan mungkin kelahiran semula dalam bentuk yang lain.

“Walaupun pintu Tokosue ditutup, saya percaya semangat ini akan terus hidup dalam cerita dan solidariti kita,” katanya dalam kenyataan penutup.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *