Home / Berita / Fathi Aris Omar umum bersara selepas empat dekad berkhidmat

Fathi Aris Omar umum bersara selepas empat dekad berkhidmat

KUALA LUMPUR – 7 Oktober 2025

Wartawan kanan Fathi Aris Omar mengumumkan persaraannya daripada dunia kewartawanan selepas empat dekad berkhidmat dalam penulisan, penyuntingan dan penerbitan — satu perjalanan panjang yang bermula sejak 1985.

Dalam pengumuman yang dikongsikan di media sosial hari ini, Fathi memaklumkan beliau tidak lagi bertugas dengan mana-mana organisasi media dan mula berhenti sebagai wartawan sepenuh masa, menutup perjalanan hidup yang “selalu diiringi dengan teks, buku dan tulisan.”

“Menulis ini bukan soal bakat, tetapi kemahuan kuat untuk membaca, berfikir dan menyuarakan isi hati.Kerja kita ini kerja menelanjangi diri untuk dinilai orang ramai,” tulisnya.

Beliau turut menegaskan bahawa media tradisi kini berada di ambang kematian, apabila khalayak sepenuhnya berpindah ke media sosial yang jauh lebih pantas, bebas dan kreatif.

“Media massa sudah mati atau nazak. Media tradisi bukan lagi ‘massa’ — khalayaknya sudah lari,” katanya. “Akhbar tidak lagi dibaca, portal berita kini menjadi cerminan media sosial, dan TV sekadar menumpang format baru.”

Menurutnya, kemunculan media sosial menjadikan setiap orang kini “wartawan tanpa bayaran”, manakala syarikat teknologi global meraih keuntungan berbilion hasil kandungan yang dihasilkan pengguna.

Fathi juga menegur kelembapan universiti dan pengamal media tempatan menyesuaikan diri dengan perubahan ekosistem maklumat:

“Kampus masih berfikir seperti media lama — kaku dan kekok berubah. Mereka dibayangi industri yang sudah tidak relevan.”

Dalam penutupnya, beliau menyatakan hasrat untuk bersara sepenuhnya pada usia 57 tahun dan 104 hari, menutup perjalanan yang bermula sejak zaman sekolah ketika menulis risalah menggunakan mesin saiklostail, hingga ke zaman Internet dan media digital hari ini.

“Saya tidak nampak lagi media tradisi boleh kekalkan format dan cara berfikir lama. Ia mesti berfikir seperti media sosial, tetapi kekal dengan etika dan prinsip yang sama.”

Fathi Aris Omar sebelum ini pernah berkhidmat dengan Malaysiakini dan beberapa penerbitan lain, serta dikenali sebagai penulis dan pengulas media yang kritikal terhadap kemerosotan industri media arus perdana di Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *