KUALA LUMPUR – Federasi Pemuda Kebangsaan bersama Liga Mahasiswa Malaysia mengumumkan penganjuran Kongres Anak Muda dan Kongres Mahasiswa, sebuah inisiatif nasional yang bertujuan menyediakan platform alternatif untuk menghimpunkan suara-suara progresif generasi muda Malaysia.
Dalam kenyataan bersama, kedua-dua organisasi menyeru gerakan mahasiswa, NGO dan organisasi masyarakat sivil (CSO) agar memberikan sokongan serta pengiktirafan terhadap usaha ini, yang disifatkan sebagai langkah penting memperkasa perbahasan kritikal di kalangan anak muda.
Kongres tersebut akan menampilkan dua segmen utama — Kongres Anak Muda dan Kongres Mahasiswa — yang masing-masing membawa tema perbahasan berikut:
🗣 Kongres Anak Muda
1. Keadilan Sosial
2. Keadilan Ekonomi
3. Hak Asasi Manusia
4. Ketelusan Pentadbiran Kerajaan
5. Kelestarian Alam Sekitar
🎓 Kongres Mahasiswa
1. Autonomi Mahasiswa
2. Demokrasi Kampus
3. Mahasiswa Merakyat
4. Masa Depan Pendidikan Tinggi Negara
Menurut FEDERASI dan Liga Mahasiswa Malaysia, hasil perbahasan daripada kedua-dua kongres ini akan membentuk Resolusi Anak Muda, satu dokumen dasar yang menggabungkan pandangan, tuntutan dan cadangan generasi muda terhadap hala tuju sosial, ekonomi dan politik negara.
“Kongres ini bukan sekadar wacana, tetapi ruang membina ideologi dan naratif alternatif — suara generasi baru yang menuntut keadilan, kebebasan dan masa depan yang lestari,” ujar wakil penganjur.
Rakan-rakan organisasi dan individu yang ingin menyatakan sokongan terhadap inisiatif ini boleh berbuat demikian melalui borang rasmi sokongan di pautan berikut: https://forms.gle/jvnaPSCG9STfdbZa8




