Home / Berita / Laungan “Undur Fadhlina” di demonstrasi #MakeSchoolASaferPlace

Laungan “Undur Fadhlina” di demonstrasi #MakeSchoolASaferPlace

KUALA LUMPUR, 22 OKTOBER 2025 —
Ratusan mahasiswa, pelajar sekolah, dan aktivis berhimpun di hadapan Parlimen Malaysia pagi tadi dalam demonstrasi bertemakan #MakeSchoolASaferPlace, mendesak tindakan segera kerajaan terhadap krisis keselamatan pelajar di sekolah.

Perarakan bermula dari Taman Tugu Negara sekitar jam 11 pagi di bawah gabungan Sekretariat Sekolah Selamat (SSS) — sebuah pergerakan masyarakat sivil yang memperjuangkan keselamatan sekolah melalui advokasi dan gerakan akar umbi.

Demonstrasi hari ini disertai pelbagai pertubuhan termasuk Pocket of Pink (POP), HaRAM Malaysia, Federasi Pemuda Kebangsaan, GAMIS, Mandiri, MKM, Empati, dan Liga Mahasiswa, serta penampilan pelajar sekolah berusia 14 dan 16 tahun yang turut menyuarakan tuntutan agar sekolah dijadikan ruang kasih sayang, bukan ketakutan.

Serah memorandum kepada Menteri dan SUHAKAM

Memorandum rasmi diserahkan kepada YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia, bersama YB Wan Ahmad Fayhsal, YB Awang Hashim, dan Melissa M. Akhir, Pesuruhjaya SUHAKAM.

Memorandum tersebut menuntut agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) segera menangani krisis keselamatan pelajar yang semakin membimbangkan, serta melaksanakan reformasi menyeluruh dalam masa 30 hari.

Antara tuntutan utama ialah:
– Menggubal Akta Anti-Buli dan Gangguan Seksual dengan SOP wajib dan tindakan tegas terhadap pelaku.
– Menetapkan nisbah 1 kaunselor:500 murid dan melantik pekerja sosial.
– Menyediakan saluran aduan sulit digital dan hotline bebas.
– Menjalankan audit keselamatan berkala dan pemantauan senjata di sekolah.
– Mengintegrasikan pendidikan jantina, empati dan autonomi pelajar dalam kurikulum.
– Menuntut akauntabiliti dan peletakan jawatan Menteri Pendidikan jika reformasi gagal dilaksanakan dalam 30 hari.

“Kami menuntut tindakan, bukan sekadar kata-kata.”

Dalam kenyataan rasminya, Sekretariat Sekolah Selamat menegaskan bahawa pelajar, ibu bapa dan pendidik seluruh negara kini menuntut akauntabiliti sebenar daripada Kementerian Pendidikan:

“Kami menghargai kehadiran YB Fadhlina Sidek dan kesediaannya untuk bertemu dengan kami hari ini. Namun pelajar, ibu bapa dan pendidik seluruh negara memerlukan lebih daripada sekadar kata-kata. Kami menuntut tindakan.”

SSS turut mengingatkan bahawa sekolah seharusnya menjadi “ruang kasih sayang, bukan ketakutan”, dan kerajaan perlu memastikan janji perlindungan terhadap pelajar benar-benar ditunaikan, bukan sekadar retorik.

Demonstrasi ini berakhir dengan aman sekitar jam 1 tengah hari selepas penyerahan memorandum. Hashtag #MakeSchoolASaferPlace, #UndurFadhlina, dan #SekolahSelamat kini trending di media sosial sebagai simbol tekanan awam terhadap Kementerian Pendidikan untuk bertindak segera.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *