Home / Berita / Semasa / Suara Mahasiswa UMS kecam tindakan roboh kebun penduduk di Tawau

Suara Mahasiswa UMS kecam tindakan roboh kebun penduduk di Tawau

Gerakan Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengecam keras tindakan sebuah syarikat kapitalis yang didakwa meroboh kebun-kebun kecil milik komuniti setempat berhampiran Sekolah Alternatif Tawau pagi tadi, sambil disertai kawalan ketat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam kenyataan medianya, Suara Mahasiswa mendakwa bahawa tindakan itu bukan sahaja menjejaskan sumber rezeki penduduk, tetapi turut menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan perobohan rumah-rumah dan ruang pendidikan komuniti dalam masa terdekat.

“Kebun-kebun tersebut bukan sahaja sumber rezeki harian, tetapi simbol kelangsungan kehidupan penduduk kampung. Kehadiran jentera berat dan tindakan perobohan ini mengundang kebimbangan besar bahawa rumah-rumah penduduk, termasuk ruang pendidikan Sekolah Alternatif Tawau, berkemungkinan akan turut menjadi sasaran seterusnya,” ujar kenyataan itu.

Gerakan mahasiswa itu turut menuduh Kerajaan Negeri Sabah memiliki “hobi berbahaya” — merobohkan sekolah dan rumah orang miskin — dengan menyenaraikan beberapa kes pengusiran komuniti sebelum ini, termasuk Sekolah Alternatif Teluk Layan di UMS, Kampung Danau Baru di Papar, Kampung Sembulan di Kota Kinabalu, dan Perumahan Adat Laut di kawasan Taman-Taman Sabah.

“Ancaman terhadap perobohan sekitar sekolah ini merupakan ancaman terhadap hak pendidikan yang dijamin oleh prinsip kemanusiaan sejagat,” tegas mereka lagi.

Suara Mahasiswa turut mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang dilihat mengiringi operasi kapitalis, menyifatkannya sebagai bukti bahawa keutamaan negara kini condong kepada pemodal berbanding kesejahteraan rakyat.

Gerakan itu menyeru seluruh masyarakat untuk bersolidariti dengan komuniti yang tergusur di Tawau serta mempertahankan ruang pendidikan bagi anak-anak marginal yang kini terancam.

“Ini bukan sekadar isu tanah, ini adalah soal maruah, kehidupan, dan masa depan pendidikan anak bangsa,” tambah kenyataan tersebut.

Kenyataan itu diakhiri dengan sindiran tajam terhadap slogan kerajaan negeri —

“Rancakkan MADANI. Hala Tuju Sabah Maju Jaya.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *