KOTA KINABALU. 14 NOVEMBER 2025: Analisis awal menjelang penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2025 menunjukkan landskap pertandingan kekal sengit dengan kecenderungan tipis memihak kepada Barisan Nasional (BN).
Menurut dapatan siri pemantauan yang dijalankan penyelidik politik, tiada parti dijangka memperoleh majoriti, sekali gus menjadikan kemungkinan “hung assembly” hampir pasti berlaku.
Unjuran awal menunjukkan BN berpotensi meraih sekitar 22 kerusi, diikuti Warisan (17), GRS (15), PH (8), PN (5) dan 1 hingga 2 kerusi milik calon Bebas atau parti kecil.
Kajian turut mendapati BN memperkenalkan 80 peratus calon muka baharu, iaitu kadar pembaharuan tertinggi berbanding parti lain seperti Warisan (40%) dan GRS (30%).
Langkah itu dilihat meningkatkan persepsi segar di mata pengundi muda dan kelompok bukan partisan.
Dari aspek gabungan kerusi, analisis menunjukkan BN berpeluang menjadi blok terbesar sekiranya bekerjasama dengan PH, dengan anggaran kumulatif mencecah 30 kerusi sekali gus memberi kelebihan dalam rundingan pembentukan kerajaan negeri.
Selain itu, tiga isu utama direkodkan sebagai fokus pengundi Sabah iaitu kos sara hidup, infrastruktur asas seperti air dan elektrik, serta hak Sabah melalui MA63.
Hubungan BN-PH dengan Kerajaan Persekutuan dilihat memberi sedikit kelebihan dalam aspek penyampaian projek.
Namun begitu, penyelidik menegaskan kelebihan BN tidak bersifat mutlak. Sentimen legasi parti, risiko pertembungan tiga penjuru serta dinamika dalaman di beberapa kawasan Bumiputera Islam dijangka memberi impak langsung kepada kerusi marginal.
Analisis turut menilai kekuatan parti lain kekal signifikan seperti Warisan di Pantai Timur, GRS sebagai penyandang, PH di kawasan bandar dan PN sebagai pemecah undi di beberapa kawasan.
Secara keseluruhan, PRU Sabah ke17 dijangka kekal terbuka dan sangat kompetitif.
Penyelidik merumuskan BN memasuki hari penamaan calon dengan kelebihan kecil, namun keputusan akhir bergantung kepada kempen parti, jentera di lapangan dan kadar keluar mengundi.
Tamat




