BONGAWAN: Naib Presiden Warisan, Dr. Daud Yusuf yakin parti itu akan menang lebih banyak kerusi seterusnya membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-17 (PRU17) ini. Beliau yang juga calon Warisan bagi kerusi Bongawan berkata, keyakinan itu berdasarkan situasi sokongan rakyat yang kuat di sebahagian besar kawasan terhadap Warisan ketika ini.

“Insha Allah, Warisan akan menang lebih banyak kerusi selepas ini, seterusnya membentuk kerajaan, walaupun ramai berpendapat tiada satu parti pun akan meraih majoriti mudah pada PRU17 ini.
“Mungkin ini betul atau mungkin tidak, tapi saya yakin semua yang telah dirancang untuk pastikan kepentingan rakyat Sabah terbela menerusi Warisan selepas ini akan menjadi kenyataan.
“Justeru, satu perubahan besar akan berlaku selepas ini hasil gelombang rakyat Sabah yang dapat kita lihat bukan saja di Bongawan tetapi juga di semua kerusi ditandingi Warisan,” katanya ketika ditemui, di sini. (16 Nov)
Ketika ditanya jika keyakinan Warisan dapat membentuk kerajaan selepas PRU17 itu melibatkan kemenangan majoriti mudah atau bergabung dengan pihak lain, Dr. Daud enggan mengulas lanjut. Sebaliknya, penyandang kerusi Bongawan selama dua penggal itu menegaskan supaya ‘tunggu dan lihat’ sambil mengulangi bahawa satu kejutan besar bakal berlaku selepas PRU17. Mengenai perancangan pembangunan di Bongawan sekiranya beliau berjaya mempertahankan kerusi ditandinginya, Dr. Daud berkata, perkara pertama dilakukan adalah menjadikan Bongawan sebagai sebuah daerah kecil. Katanya, inisiatif itu adalah aspirasi seluruh rakyat di kawasan itu yang sebelumnya di bawah bidang kuasa Daerah Papar namun kini berada di bawah Daerah Membakut yang merupakan sebuah daerah baharu.
“Kita berazam menjadikan Bongawan sebagai sebuah daerah kecil dan perancangan ini juga adalah aspirasi seluruh masyarakat di kawasan ini yang enggan lagi diabaikan.
“Kita yakin selepas tercapai, Bongawan tidak akan lagi terpinggir, malah pembangunan dalam semua aspek akan meningkat, sekaligus memberi manfaat kepada warganya,” katanya.




