Home / Berita / Pekan Mati Beluran: Norfadzlina UPKO Tawar Pelan ‘Penyelamat’ Ekonomi Budaya

Pekan Mati Beluran: Norfadzlina UPKO Tawar Pelan ‘Penyelamat’ Ekonomi Budaya

Calon UPKO bagi DUN Labuk, Norfadzlina Ramsah, mengetengahkan isu kemerosotan ekonomi pekan Beluran yang menurutnya sudah lama dibimbangi penduduk, termasuk gambaran bahawa kawasan itu menjadi “pekan mati”.

Beliau berkata, antara cabaran utama ialah potensi eko-pelancongan yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya, meskipun Labuk memiliki tarikan semula jadi seperti Pulau Langkayan. Namun, proses perundangan dan status pemilikan menjadikan pembangunan pulau tersebut satu usaha jangka panjang.

Sebagai langkah lebih praktikal, Norfadzlina mencadangkan pendekatan pembangunan ekonomi berasaskan pelancongan budaya komuniti, dengan menumpukan pada kekayaan warisan etnik Labuk seperti Dusun, Tidong, Sungai dan Bajau.

Cadangan tersebut merangkumi:

  • pengumpulan inventori budaya setiap etnik
  • latihan keusahawanan dan hospitaliti kepada komuniti
  • pembangunan pusat budaya dan pakej “pengalaman etnik”
  • festival budaya tahunan melibatkan pelbagai kaum
  • memperkukuh pemasaran digital dan kerjasama agensi pelancongan
  • penambahbaikan infrastruktur asas pelancongan

Menurutnya, model pelancongan budaya mampu membuka peluang pendapatan kepada penduduk luar bandar dan menghidupkan semula ekonomi Labuk secara lebih inklusif.

Beliau menekankan bahawa budaya bukan hanya warisan, tetapi aset ekonomi yang boleh dimajukan jika disokong oleh latihan, perancangan dan kerjasama pelbagai pihak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *