KOTA KINABALU, 24 November 2025 — Dua organisasi masyarakat sivil yang aktif memperjuangkan hak kanak-kanak rentan di Sabah, Cahaya Society dan Borneo Komrad, menggesa kerajaan melaksanakan reformasi kewarganegaraan secara menyeluruh susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution bahawa kerajaan “sedia membantu” proses dokumentasi kanak-kanak tanpa dokumen di negeri itu.
Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua organisasi itu mengalu-alukan pengakuan kerajaan bahawa kanak-kanak tidak wajar dihukum akibat kegagalan pendaftaran perkahwinan atau kelemahan sistem sedia ada. Namun menurut mereka, kenyataan tersebut perlu diterjemah kepada tindakan tegas dan sistematik — bukan sekadar jaminan umum.
“Realitinya ribuan kanak-kanak tanpa dokumen di Sabah terus berdepan halangan besar untuk mendapatkan pendidikan, kesihatan, keselamatan dan mobiliti,” menurut kenyataan itu.
Kebanyakan mereka lahir dan membesar di Sabah, namun masih dianggap bukan warganegara akibat birokrasi, perkahwinan tidak didaftarkan, rekod hilang, atau tidak dapat membuktikan tempat lahir kerana dilahirkan di bot atau perahu.
Cahaya Society dan Borneo Komrad turut menyatakan bahawa ketiadaan dokumen menyebabkan kanak-kanak terpinggir daripada akses asas seperti sekolah, klinik, serta bantuan kebajikan — sekali gus menjadikan mereka mangsa kepada sistem yang tidak konsisten dan tidak sensitif terhadap realiti masyarakat rentan.
Desakan utama kepada kerajaan:
• Mempercepatkan proses pendaftaran kelahiran tertangguh tanpa penalti kepada kanak-kanak.
• Melaksanakan pendekatan proactive document tracing — kerajaan bertindak mencari keluarga, bukan sebaliknya.
• Menjamin akses pendidikan universal untuk semua kanak-kanak tanpa diskriminasi status dokumen.
• Menyeragamkan SOP JPN, JKMS, hospital dan sekolah agar keputusan tidak bergantung pada tafsiran individu.
• Menubuhkan jawatankuasa khas kewarganegaraan yang telus, melibatkan komuniti dan pakar, serta menetapkan garis masa jelas.
Organisasi itu turut menegaskan bahawa pusat pembelajaran alternatif telah lama mengisi jurang pendidikan, tetapi tanggungjawab mengiktiraf kanak-kanak adalah tugas negara — bukan NGO semata-mata.
“Apa yang diperlukan bukan lagi kenyataan bahawa kerajaan ‘sedia membantu’, tetapi pelan tindakan yang konsisten, telus dan mempunyai garis masa yang jelas,” tegas mereka.
Cahaya Society dan Borneo Komrad menutup kenyataan dengan menegaskan bahawa semua kanak-kanak — tanpa mengira status dokumen, latar ekonomi atau etnik — berhak hidup bermaruah, mendapat perlindungan dan akses penuh kepada pendidikan. Reformasi kewarganegaraan, menurut mereka, bukan lagi pilihan tetapi keperluan mendesak.




