Cahaya Society gesa kerajaan utamakan isu kanak-kanak tanpa negara di Sabah selepas kontroversi naturalisasi pemain bola
SANDAKAN, SABAH – 12 Oktober 2025
Organisasi pendidikan alternatif Cahaya Society hari ini menegaskan bahawa kerajaan mesti mengutamakan penyelesaian isu kanak-kanak tanpa negara di Sabah sebelum mempercepat proses Naturalisasi Pantas (Fast-Track Citizenship) kepada pemain bola sepak profesional.
Dalam satu kenyataan media, Cahaya Society berkata pendedahan isu tujuh pemain bola sepak yang kini didenda oleh FIFA atas dakwaan pemalsuan dokumen menunjukkan wujudnya “double standard” dalam urusan dokumentasi negara dan menuntut kerajaan segera menunjukkan akauntabiliti.
“Isu ketanpanegaraan di Sabah adalah krisis kemanusiaan yang terperangkap dalam birokrasi, menafikan hak identiti puluhan ribu individu yang tiada jumlah tepat sehingga hari ini,” tegas kenyataan itu.
“Anak-anak yang lahir di sini telah dinafikan akses kepada pendidikan, kesihatan, perlindungan dan bermacam hak asas sehingga mewujudkan generasi yang tercicir dan terpinggir dalam kitaran kemiskinan dan ketertinggalan.”
Menurut Cahaya Society, kontroversi naturalisasi pemain bola sepak membuktikan bahawa kerajaan hanya bertindak pantas apabila melibatkan kepentingan sukan, tetapi mengabaikan krisis kemanusiaan sebenar yang melibatkan ribuan kanak-kanak tanpa negara di Sabah.
Tiga Tuntutan Utama Cahaya Society
- Hentikan Fast-Track & Wujudkan Mekanisme Telus
Mendesak kerajaan menghentikan amalan Fast-Track Citizenship yang dipertikaikan serta menubuhkan mekanisme Statelessness Determination Procedure (SDP) yang jelas dan adil bagi menentukan status tanpa negara di Sabah. - Segerakan Hak Identiti
Menuntut komitmen politik untuk memberikan kewarganegaraan kepada kanak-kanak lahir di Malaysia tanpa negara, selaras dengan semangat Perlembagaan dan Convention on the Rights of the Child (CRC). - Jaminan Akses Pendidikan
Mendesak kerajaan Persekutuan dan Negeri Sabah untuk memuktamadkan dasar jelas agar semua kanak-kanak tanpa negara diberikan akses pendidikan asas tanpa diskriminasi.
Penutup
Cahaya Society menyifatkan krisis kanak-kanak tanpa negara sebagai “krisis akauntabiliti nasional”, dan menyeru kerajaan untuk kembali kepada prinsip keadilan serta kemanusiaan.
“Sudah tiba masanya kerajaan serius dalam melindungi mereka yang terpinggir dan rentan dalam negara ini — bukan sekadar memenuhi kehendak elit tertentu,” menurut kenyataan yang ditandatangani oleh Jawatankuasa Pengurusan Cahaya Society.




