KUALA LUMPUR, 24 Oktober 2025 — Penerbit Gerakbudaya hari ini mengeluarkan kenyataan rasmi menangkis usaha pengharaman novel Bumi karya Benz Ali, selepas karya tersebut dituduh mengandungi unsur lucah oleh seorang pensyarah yang juga Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis.
Dalam kenyataan itu, Gerakbudaya mengesahkan bahawa mereka telah dipanggil oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 23 Oktober susulan aduan yang dibuat terhadap novel tersebut, yang diterbitkan pada tahun ini.
Gerakbudaya menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab dan menyeru agar masyarakat menilai karya secara menyeluruh, bukan melalui petikan atau babak terpilih yang dipetik di luar konteks.
“Bumi ialah sebuah novel politik sains fiksyen yang mengkritik kapitalisme dan korupsi. Karya fiksyen perlu dinilai berdasarkan keseluruhannya, bukan semata-mata babak yang dipetik untuk dijadikan alasan mengharamkan buku,” jelas kenyataan itu.
Gerakbudaya turut menegaskan bahawa karya sastera seharusnya bebas menampilkan pelbagai unsur, termasuk yang menggugat nilai konservatif, selagi ia bukan bentuk hasutan atau fitnah. Mereka menolak sebarang usaha penapisan dan pengharaman karya yang dianggap bertentangan dengan moral konvensional.
“Sastera yang tidak dapat menggambarkan kejahatan, kekerasan atau seksualitas adalah propaganda. Ia hanyalah pengulangan nilai sedia ada tanpa ruang pemberanian,” tegas kenyataan itu lagi.
Selain itu, Gerakbudaya turut menolak penggunaan AI atau LLM (Large Language Model) dalam menilai karya kerana ia “memendekkan teks berdasarkan input yang diberi dan gagal memahami keseluruhan konteks dan maksud sebenar buku tersebut.”
Penerbit itu menegaskan bahawa selama lebih 25 tahun dalam industri perbukuan, mereka kekal berpegang pada prinsip kebebasan bersuara dan hak pembaca untuk menentukan sendiri nilai sesebuah karya.
“Kami menentang segala usaha melobi kerajaan untuk mengharamkan buku — satu tindakan yang tidak adil, terbelakang dan menandakan kembalinya bebalisme,” ujar Gerakbudaya, memetik istilah sarjana Syed Hussein Alatas.
Kenyataan itu diakhiri dengan seruan bahawa “Gerakbudaya akan terus bergerak dengan prinsip: menyebar kebenaran, membongkar kepalsuan.”




