Home / Pendapat / Seni & Budaya / Kualiti Rendah Seluas Bilik Tidur dalam Kemunduran Teknologi oleh Keemiy 

Kualiti Rendah Seluas Bilik Tidur dalam Kemunduran Teknologi oleh Keemiy 

Zaman sekarang adalah zaman dimana teknologi boleh jadi tanda  kemunduran pemikiran manusia, kemajuan seolah-olah sempurna di  mata mereka yang tidak pernah menjelajah ilmu yang jaraknya hanya  sedekat jari telunjuk dan jari hantu. Ada diantara mereka yang terlalu  pandai menggunakannya dan ada diantara mereka yang tidak pandai  menilainya. Dengan pengharapan untuk memberi kesedaran,  harapnya naskhah ini sampai di mata dan minda yang tepat untuk  menyedari betapa buruk padahnya jika tidak memanfaatkan  kemudahan yang ada. 

Dari Facebook ke TikTok ke Threads ke ChatGPT, ianya satu carta alir  yang mungkin kebanyakan manusia mempunyainya dalam poket  masing-masing. Ia sebenarnya seadil ini – jika kita gunakannya dengan  baik, maka baiklah ia untuk kita. Jika kita gunakannya dengan buruk,  maka buruklah ia untuk kita – tetapi minda kompleks kita  memanipulasi diri sendiri untuk mengikut hawa nafsu dalam setiap post dan prompt, menjadikan standar kita jatuh mendadak dan  akhirnya kita kelihatan bodoh di mata mereka yang mengatakan, “ini  adalah satu ragebait”. 

Mungkin dua perenggan tadi adalah sesuatu yang cliché untuk dibaca,  begitulah penatnya kita membaca kebodohan yang ditulis setiap hari. Orang macam DMA Islam takkan faham.

Baru-baru ini, aku terjumpa seorang jejaka ini dimana dia berkongsi  pautan untuk semua orang mendengarkan lagu-lagu yang terlampau  digital. Dari grafik animasi yang hodoh kepada lagu punk yang  kononnya membangkang sistem politik terkini dan jadikan seseorang  figura yang lantang bersuara sebagai dewa yang seolah-olah tidak  pernah berkata hal yang salah dalam hidupnya. Aku tak jumpa seorang  pun yang menyokong tindakannya kerana kita semua faham  bagaimana untuk mengatasi isu politik kita dengan betul tetapi aku  merespon hal itu dalam perspektif keadilan seni. 

Ia sudah semestinya tidak adil untuk pengkarya seni di mana mereka  menghabiskan beribu malah berjuta ringgit untuk cuba mencapai  kualiti yang tertinggi di dalam studio rakaman, tak juga difikirkan  bahawa mereka sanggup tidur dan masih menahan kelopak mata  untuk menilai bunyian yang juga telah mereka rakamkan selama  berjam-jam – belum lagi tentang idea yang mereka perah dan juga  improvisasi walaupun hasilnya sudah cukup sempurna untuk  disebarkan, kepuasan setiap manusia berbeza-beza dan itu diantara  kriteria yang tidak ada dalam jiwa sesebuah AI. 

Walau bagaimanapun, jejaka tersebut pernah membalas komen aku sebelum ini bahawa ia bukannya AI malah dia mengatakan bahawa ia  adalah legit band tanpa ada segan-silu. 

Kalau benar ianya legit band, sekurang-kurangnya mereka yang betul betul manusia itu ada usaha untuk merakamkan demo dan bukannya  mencari laman web yang percuma untuk meraih nama di dalam skena  bebas tanahair. Bagaimana dengan ‘tindak balas kimia’ setiap ahli  kugiran? 30 lagu di dalam satu album itu memang satu kerja gila kalau  mereka bekerja dalam sektor kerajaan dari pukul 8 pagi sehingga 5 petang. Entah bagaimana dengan rutin agar tidak terlepas untuk  menonton EPL setiap hujung minggu. 

Akhirnya, aku membuat perenggan terakhir untuk mencabar semua  agar menentang bunyian digital yang terlalu polished

Sejak aku mengenali seseorang bernama Mohd Jayzuan, beliau  mendedahkan aku dengan bunyian yang sebenar jika kita mahu  menterjemahkannya dengan satu perkataan iaitu ‘pemalas’. Bunyian  lo-fi, slacker dan indie rock ini berjaya membuka minda aku untuk  menentang segalanya. Aku tahu poket aku kendur, dompet aku sarang  semut dan gitar aku adalah kondominium labah-labah, tetapi ianya  bukan alasan untuk aku duduk diam dan biarkan idea aku hanya sekadar mimpi di malam Jumaat. 

Manakala insan berpengalaman seperti Joe Kidd mendedahkan  beberapa sisi gelap industri muzik yang membuatkan aku fobia dengan  kontrak dan janji-janji palsu orang atasan yang sekarang ini hanya  mencari kesamarataan dari segi gaya, fesyen dan bunyi yang tiada  identiti – mungkin ianya baik untuk zamannya tapi tiada galakkan  untuk mereka menjadi diri mereka sendiri. Ada yang mencuba tetapi  ideanya disekat dan ditapis lagi mengikut arahan dimana aku memang  menentang sekeras-kerasnya.  

Bedroom punk adalah bunyian yang aku miliki – jika punk rock hanya  ada empat chords, aku akan main lebih dari itu tetapi konsepnya tidak  akan lari dari akar sederhananya – jari setia menekan bunyi ketukan  dram menggunakan aplikasi yang dimuat-turun, sekurang-kurangnya kita boleh mengolahnya menjadi lebih pelik dan absurd tetapi  selalunya, ianya hanyalah rentak hardcore punk yang satu persatu

seolah-olah memijak kick pedal yang melawan degupan jantung dan  memukul snare dengan kuat yang kononnya laju dan intense – vokal selalunya passionate tetapi dengan perasaan fed-up terhadap orang  sekeliling, ianya seolah-olah tiada hala tuju tetapi ianya tidak  bersembunyi di sebalik selimut dan langsir. Ianya juga merakamkan  bunyi sebenar yang selalu dirasai ketika bersendirian di dalam bilik  tidur dan akhirnya ianya menjadi pelepas perasaan yang diperlukan. 

Ianya memang membuang masa kalau kita terlalu memikirkan  impaknya, jadi apa kata kita rakam saja hanya untuk lepaskan rasa?  Dunia bergerak terlalu laju sekarang malah menulis pun hanya  memerlukan dua rangkap dan empat baris kata yang harapnya  menikam kepada semua yang sudi menghenjutkan kepala jika ianya  terlalu pantas untuk dikejar. Punk rock tak semestinya politikal semata mata – bila haus minum air pun boleh jadi sesebuah isu yang mungkin  ramai masih persoalkan di Threads

Sememangnya apa yang berlaku di dunia ini adalah sesuatu yang kita boleh jangka kerana ia berlaku berulang kali. Kita tetap bergerak  menuju ke tempat yang tak pasti tetapi ia bukannya sia-sia jika ia  memberi kesan kepada kehidupan. Sudah tentu hidup ini tak  sempurna, entah bila hidup nak sempurna ? Jadi jangan duduk diam  ketika leka bertanya dan menjawab – buat sesuatu ketika kita masih  geliga sebelum ianya menjadi sesalan yang tak terhingga dan abaikan  apa yang dikata jika kita faham apa yang kita kata. 

Semoga semuanya terus berjalan lancar dan kekal geliga.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *