KOTA KINABALU—Siri hantaran media sosial bertajuk “Dosa-Dosa UMS: Apa Sebenarnya yang UMS Cuba Buktikan?” oleh Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini tular selepas menegur tindakan pihak universiti yang didakwa bersikap berat sebelah dalam mengendalikan program solidariti Palestin.
Menurut kenyataan Qistina Qaisara, Koordinator Hubungan Luar Suara Mahasiswa UMS, pihak universiti telah menghalang Perhimpunan Solidariti Sumud Flotilla anjuran pelajar dengan alasan prosedur dan AUKU, tetapi pada masa sama menganjurkan program versi rasmi universiti bertemakan isu Palestin dengan kehadiran tetamu VIP dan ucapan berprotokol.
“Ironinya, perhimpunan mahasiswa disekat atas nama undang-undang, tapi perhimpunan versi universiti disambut megah dengan kerusi VIP dan skrip rasmi. Apakah makna solidariti jika ia perlu diluluskan oleh kuasa?” tulis Qistina dalam hantaran tersebut.
Beliau turut mempersoalkan orientasi universiti yang seolah-olah “melenturkan cara mahasiswa bersuara dan menukar idealisme menjadi kepatuhan.”
“Jika benar hanya dengan berformat, berbaju korporat, dan berskrip rasmi barulah isu kemanusiaan boleh diangkat, maka itulah dosa-dosa UMS kepada mahasiswanya,” tambahnya.
Dalam hantaran itu juga, mahasiswa menzahirkan rasa kecewa apabila aktivis kampus yang menyuarakan solidariti kemanusiaan didakwa dikasari oleh pihak keselamatan universiti ketika cuba menganjurkan perhimpunan aman.
Menurut mereka, tindakan itu mencerminkan krisis kebebasan bersuara dan kehilangan empati dalam institusi yang sepatutnya menjadi ruang intelektual dan keberanian moral.
Isu ini timbul selepas penangguhan program mahasiswa berkaitan Solidariti Sumud Flotilla, yang disifatkan oleh kumpulan pelajar sebagai cubaan menutup suara mereka terhadap isu kemanusiaan global — khususnya perjuangan rakyat Palestin.




