Home / Pendapat / Aktivisme / Majlis Belia Malaysia: Pertubuhan yang gagal oleh Hamdin Nordin

Majlis Belia Malaysia: Pertubuhan yang gagal oleh Hamdin Nordin

Sejujurnya, saya tidak pernah terlibat dan tidak pernah membayangkan diri saya berada dalam pertubuhan belia. Saya bukan tipikal anak muda yang ghairah menandatangani borang keahlian organisasi belia, menghadiri mesyuarat agung, atau mengejar jawatan dalam persatuan.

Hakikatnya, ramai anak muda sudah lama hilang kepercayaan terhadap pertubuhan-pertubuhan belia ini. Dinamika mereka sering kali dimonopoli oleh orang-orang parti politik. Pertubuhan belia lebih ghairah membincangkan dasar kerajaan, tetapi tidak berani menyentuh isu besar yang dekat dengan rakyat, soal rasuah, masalah air, dan perkara-perkara yang merugikan masyarakat.

Ambil contoh Majlis Belia Sabah. Presidennya datang daripada parti politik pemerintah. Timbalannya juga sama. Lalu di mana suara anak muda yang bebas dan kritis? Akhirnya ada konflik kepentingan yang membawakan persoalan besar. Apakah kewujudan mereka ini hanya untuk menjadi pekakas kerajaan?

Tetapi apabila isu had umur belia diketengahkan, saya fikir ia tetap penting untuk dibahaskan kerana ia menyentuh persoalan yang lebih besar, anak muda seperti apa yang Malaysia perlukan?

Adakah anak muda yang ideal itu ialah mereka yang di zaman mahasiswanya lantang menuntut integriti dan pendidikan percuma, tetapi apabila sudah menjadi timbalan menteri memilih diam dan sanggup duduk bersama kelompok yang dahulu ditentangnya? Atau adakah anak muda yang ideal itu mereka yang sejak zaman mahasiswa konsisten, lebih sepuluh tahun kemudian masih membangunkan pendidikan alternatif untuk kelompok rentan yang dinafikan hak pendidikan?

Di sinilah persoalan “anak muda ideal” itu wajar ditimbang. Kita terlalu kerap melihat anak muda hanya sebagai angka bawah 30 atau 35 tanpa menilai jalur perjuangan, konsistensi dan makna sumbangan mereka.

Hujah MBM dan Kegagalan Organisasi Belia
Saya membaca kenyataan Majlis Belia Malaysia (MBM) yang bimbang bahawa had umur 30 tahun bagi belia bakal menjejaskan ekosistem kepimpinan. Hujah ini kelihatan masuk akal pada pandangan pertama, tetapi bagi saya ia juga mendedahkan kegagalan organisasi belia itu sendiri.

Kenapa? Kerana perbincangan tentang had umur belia bukan perkara baharu. Kalau benar ada komitmen menyediakan pelapis kepimpinan, kenapa pertubuhan belia masih risau dengan kehilangan bakat hanya kerana umur dipendekkan? Tidakkah itu tanda bahawa mereka gagal melatih generasi seterusnya?

Kononnya, had umur ini akan mengganggu struktur organisasi dan menyebabkan ketiadaan pemimpin muda yang berpengalaman. Tetapi alasan seperti ini lebih bersifat mempertahankan kelompok tertentu, bukannya memperkukuh pembangunan belia itu sendiri.

Foto: Hamdin Nordin, Dialog Anak Muda bersama belia parti politik dan Majlis Belia Malaysia.

Kematangan: Satu Ukuran yang Subjektif
Bila menyentuh soal kepimpinan belia, sering muncul istilah kematangan. Tetapi jarang ada yang menjelaskan, kematangan dari sudut apa?

Saya berikan contoh mudah. Anak muda di luar bandar sering berdepan dengan kemiskinan, akses pendidikan yang terhad, dan kekangan kehidupan yang akhirnya memaksa mereka bekerja awal untuk menyara keluarga. Pengalaman itu sendiri adalah bentuk pendidikan organik, mereka belajar daripada realiti hidup. Inilah yang dalam kajian disebut sebagai empirikal, sesuatu yang diperoleh melalui pengalaman langsung.

Sebaliknya, anak muda bandar lebih-lebih lagi anak menteri, membesar dengan pendidikan terbaik, bebas daripada beban kemiskinan, dan pada usia 35 tahun pun masih mampu bersandar pada jaringan serta sumber keluarga.

Kalau kematangan diukur dengan pendidikan formal, maka anak menteri itu pastilah lebih “matang”. Tetapi kalau kematangan diukur dengan kebolehan bertahan hidup, anak muda luar bandar jauh lebih matang.

Foto: Mandiri (Hamdin, Kanan)

Penutup
Maka bila kita bercakap tentang had umur belia, jangan sekadar berhujah tentang kehilangan bakat atau gangguan struktur organisasi. Persoalan yang lebih besar ialah jenis anak muda yang kita mahu lahirkan.
Apakah kita mahu anak muda yang sekadar pandai berpidato di usia muda tetapi akhirnya tunduk ketika berkuasa? Atau anak muda yang berani konsisten, sanggup menanggung risiko, dan kekal bersama rakyat kelas bawah meskipun tanpa jawatan dan apapun bentuk pengikhtirafan pemerintah?

Saya berharap perubahan had umur belia ini seiring dengan perubahan kerangka fikir anak muda.

*Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi filsufi.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *