Home / Uncategorized / Menjawab Fathi Aris Omar, AUKU belum basi! oleh Hamdin Nordin

Menjawab Fathi Aris Omar, AUKU belum basi! oleh Hamdin Nordin

Apa yang lebih malang daripada orang tua yang pernah menjadi aktivis, lalu menyangka pengalamannya sendiri cukup untuk menutup seluruh sejarah gerakan mahasiswa?

Mungkin keyakinan bahawa dunia berhenti berputar selepas dia berhenti menjadi anak muda.

Dalam sejarah, gerakan mahasiswa tidak pernah lahir untuk menyenangkan generasi sebelumnya.

Mahasiswa itu gangguan. Bising. Merosakkan ketenangan mereka yang sudah selesa dengan rumus lama. Maka setiap kali mahasiswa bersuara, akan muncul suara tua “ini perjuangan basi”.

Basi bagi siapa? Untuk zaman yang mana?

Mahasiswa tidak bergerak dalam vakum. Membaca AUKU hari ini dengan kacamata awal 2000-an ialah kesilapan epistemologi.

Kalau AUKU cuma dilhat soal baca buku, tengok filem atau diskusi warung. Itu soalan cetek untuk masalah yang struktural. AUKU ialah bahasa penguasa sebagai bayang disiplin, sebagai notis “jangan melampau” yang tergantung di atas kepala mahasiswa.

Undang-undang tak perlu digunakan setiap hari, cukup wujud dan dipercayai.

Di sinilah pendapat tua sering gagal membaca konteks. Mereka lihat mahasiswa berdemo lalu bertanya, kenapa tak membaca buku?

Soalan separuh betul yang lahir daripada kemalasan berfikir. Soalan jujur ialah, siapa mematikan budaya membaca, menulis dan berfikir di universiti?

Siapa mengkomodifikasikan pendidikan hingga ilmu diukur dengan lensa pasar?

Universiti tidak pernah neutral. Universiti sentiasa di antara negara dan pasaran.

Dan mahasiswa yang melawan akan dituduh belum matang, belum baligh politik, terlalu emosional. Tuduhan ini tua, berkarat, diulang tanpa malu oleh mereka yang sudah lama berhenti menerima kerana egonya yang meninggi tahun ke tahun. Hidup terlalu lama.

Saya petik apa yang Soe Hok Gie ucapan, Mati tua adalah nasib termalang!

Gerakan mahasiswa memang tidak kemas. Tidak sabar. Tidak selalu sepakat. Begitulah dia digerakkan. AUKU bagi mahasiswa hari ini bukan fetish undang-undang, AUKU masih melihat mahasiswa sebagai kelompok yang perlu dikawal, bukan warga intelektual setara.

Dan dalam lanskap politik Madani yang gemar bercakap tentang kebebasan tetapi mengekalkan instrumen ini, AUKU menjadi sasaran yang wajar, kerana mendedahkan hipokrasi, munafik, penipuan.

Orang tua boleh mengkritik. Itu hak mereka. Tapi kritik yang enggan membaca tuntutan secara adil, enggan mengakui perubahan zaman, bukan kritik, itu keengganan moral untuk berlaku adil.

Dan satu soalan mudah patut ditanya, mana anak muda yang kamu latih? Anak muda apa yang kamu latih? Anak muda PKR? Atau anak muda mana? Haha.

Pendapat tua basi elok disisihkan dari wacana, bukan kerana usia, tetapi kerana deluan makan garam sehingga darah tinggi haha.

Gerakan mahasiswa akan terus liar. Akan terus salah. Akan terus dimaki.

Dan itulah tanda ia masih hidup.

Panjang umur, mahasiswa yang enggan jinak.

Saya bersama dan menyokong gerakan mahasiswa untuk memansuhkan AUKU. Saya tuliskan ini memang dalam keadaan emosional ketika membaca tulisan bung Fathi Aris Omar.

Saya fikir tulis ini cukup sederhana. Pandangan dan isinya ada kelemahan tapi inilah kejujuran saya apabila ada yang mengatakan isu AUKU ini isu yang basi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *