TUNISIA, 26 September 2025 — Bagi seorang sukarelawan yang terlibat dalam misi Sumud Nusantara, kata-kata Panglima Perang Nadir Al-Nuri masih tersemat kuat: “Misi ini sama ada sampai Gaza atau sampai Syurga.”
Dalam temubual bersama beliau, jelas bahawa semangat ini bukan sekadar slogan, tetapi azam yang membakar tekad seluruh kru.
“Sejak sebelum misi dimulakan, saya sudah menanamkan azam untuk ikut serta sebagai sea crew yang berlayar menuju Gaza,” katanya.
“Namun qadarullah, walaupun nama sudah tertulis di atas kapal, Allah lebih tahu hikmah-Nya. Saya akhirnya ditugaskan sebagai land crew, menguruskan persiapan teknikal dari daratan.”
Beliau mengakui peranan darat sama pentingnya dengan kru di laut. Persiapan logistik, komunikasi, dan command center memastikan misi berjalan lancar. Bagi mereka, pembebasan Palestin bukan hanya simbolik, tetapi usaha nyata yang perlu konsisten.
Ketika ditanya tentang lagu rasmi Sumud Nusantara yang diciptanya, beliau berkongsi bahawa ilham datang dari rasa malu dan bersalah melihat penderitaan kanak-kanak Palestin.
“Saya menulis lirik dalam keadaan jiwa rindu dengan saudara kita di Gaza. Melihat anak-anak mati dalam kebuluran sangat menyakitkan. Dari situ lahir baris kata, ‘Misi kita sama ada sampai Gaza atau sampai Syurga’.”
Lagu itu kini menjadi irama semangat, mengikat hati para sukarelawan di laut dan darat.
Bagi beliau, perjuangan ini belum selesai. Sumud — ketabahan tanpa henti — adalah pesan yang ingin disampaikan kepada semua.
“Walau berat, sumudlah kita hingga ke akhirnya, untuk Palestin yang merdeka.”
*Temubual bersama Khairul Yunus, aktivis Sumud Nusantara sekaligus penulis lagu rasmi Sumud Nusantara. Anak jati Sandakan, Sabah yang berlayar bersama jiwa berani pasukan Global Sumud Flotilla.