KUALA LUMPUR, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) menzahirkan kebimbangan terhadap perjanjian eksplorasi Bahan Nadir Bumi (Rare Earth Elements – REE) yang baru ditandatangani antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dengan menyifatkan langkah itu sebagai tergesa-gesa dan berisiko tinggi ketika Malaysia masih belum memiliki kerangka dasar dan undang-undang yang lengkap.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Setiausaha KUASA, Hafizudin Nasarudin, perjanjian tersebut membuka ruang besar terhadap eksploitasi sumber mineral strategik Malaysia tanpa perlindungan mencukupi kepada alam sekitar, komuniti tempatan dan keselamatan global.
“Malaysia masih belum mempunyai SOP dan kerangka kawal selia menyeluruh bagi memastikan eksplorasi REE dijalankan secara lestari dan beretika. Jika dilakukan secara terburu-buru, risiko pencemaran, ketirisan dan eksploitasi sumber amat tinggi,” katanya.
REE: Antara Tenaga Hijau dan Bahaya Tersembunyi
Mineral REE merupakan bahan penting dalam industri moden — termasuk telefon pintar, bateri kenderaan elektrik, sistem satelit, dan teknologi tenaga boleh diperbaharui. Namun KUASA menegaskan, bahan sama juga digunakan dalam pembuatan senjata, peluru berpandu dan sistem ketenteraan.
“Kita harus berhati-hati agar sumber REE negara tidak menyumbang kepada konflik bersenjata atau genosida. Amerika Syarikat sendiri menyalurkan senjata kepada Israel untuk penindasan di Palestin. Apakah Malaysia benar-benar tegas dalam hal ini?” soal Hafizudin.
SOP Longgar, Kawal Selia Lemah
KUASA turut mendedahkan bahawa walaupun beberapa negeri seperti Perak, Kelantan dan Negeri Sembilan telah memperkenalkan Garis Panduan (SOP) REE, pelaksanaannya masih tidak lengkap dan tidak mengikat secara undang-undang.
“SOP yang ada hanya panduan umum tanpa hukuman jelas terhadap syarikat pencemar. Banyak projek REE dijalankan di kawasan hutan simpan, kawasan tadahan air, dan kawasan sensitif alam sekitar,” jelasnya.
Persatuan itu turut mengingatkan bahawa pelombongan secara in-situ leaching — iaitu kaedah melarutkan mineral menggunakan bahan kimia seperti Ammonium Sulfate — membawa risiko tinggi terhadap sumber air bawah tanah dan kesihatan awam.
Antara kesan kimia toksik yang dikenal pasti ialah:
• Masalah pernafasan dan kerosakan paru-paru
• Kerosakan hati dan buah pinggang
• Gangguan sistem saraf dan kesuburan
• Risiko kanser akibat pendedahan kronik
“Komuniti Orang Asli dan penduduk desa yang bergantung kepada sumber air bukit akan menjadi mangsa utama,” ujar Hafizudin.
Kurang Ketelusan & Libat Urus
KUASA turut menegur kerajaan kerana gagal melibatkan komuniti tempatan, NGO dan penduduk terjejas dalam proses membuat keputusan mengenai perlombongan REE.
“Mereka yang paling arif tentang kawasan hutan — tetapi suara mereka diketepikan. Ini tanda amaran awal bahawa pelaksanaan dasar ini mungkin tidak telus,” tambahnya.
Seruan KUASA: Gubal Undang-undang, Libat Komuniti
Bagi memastikan eksplorasi REE dijalankan secara beretika dan selamat, KUASA mengemukakan lima tuntutan utama kepada kerajaan:
1. Gubal undang-undang khusus untuk mengawal aspek keselamatan, pencemaran dan hak komuniti.
2. Tubuhkan jawatankuasa khas melibatkan NGO dan komuniti dalam pemantauan projek.
3. Laksanakan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Kajian Impak Sosial (SIA) secara telus dan wajib.
4. Pastikan ketelusan rantaian bekalan (supply chain transparency) agar REE Malaysia tidak menyumbang kepada industri ketenteraan global.
5. Larangan ketat terhadap perlombongan di kawasan tadahan air, hutan simpan dan kawasan sensitif ekologi.
KUASA menegaskan bahawa perjanjian strategik sebegini tidak boleh hanya berpaksikan keuntungan jangka pendek, sebaliknya perlu berpaksikan kelestarian, hak komuniti, dan keselamatan rakyat.
“Jangan kerana REE, kita gadaikan masa depan alam dan nyawa rakyat sendiri,” tegas Hafizudin.




