Baru-baru ini kita dapat maklum tentang gerakan Sumud Flotilla. Sebuah gerakan yang merentangkan solidariti tidak tahu indentiti.Kau Islam,Kau Paderi semua boleh turut serta. Dari Malaysia,ada walaun dan walanon yang sertai gerakan ini. Tok-tok guru pondok juga ada sertai.
Kita sokong gerakan ini. Gerakan ini murni. Dalam masa yang sama agresif. Ketumbukan manusia dalam menggegar sekatan orang-orang sewel itu merupakan satu simbol penolakan dunia terhadap kesewelan dan kehaiwanan mereka. Suka untuk saya katakan gerakan dan gebrakan ini merupakan pertembungan hebat manusia dan haiwan.
Ada yang belum maklum,siapa disebalik gerakan ini. Mulanya kita dengar, Saudari Greta Thunberg merupakan arkitek yang menggerakkan usaha ini. Greta Thunberg seorang Sosialis Hijau. Dalam masa yang sama, puak-puak Islamis mengatakan rangkaian gerakan Ikhwanlah yang menggerakkan usaha ini.
Disini sudah mula polemik,dalam kalangan kita. Masing-masing menaikkan nama kumpulan masing-masing. Solidariti juga sudah berasing-asing. Ada yang khas untuk puak Sosialis. Ada yang khas untuk puak Islamis.Ini mungkin kita tidak lihat di himpunan Kedutaan US. Himpunan yang awalnya terpecah dari dua crowd berkongsi pentas di himpunan yang sama.
Tapi tidak di peringkat bawahan.Peringkat kita dan kawan-kawan serta masyarakat. Di beberapa buah tempat,ada himpunan yang khusus anjuran Sosialis dan Islamis. Sesiapa yang lebih ke arah sosialis turun ke sosialis dan sebaliknya. Memang budaya banyak himpunan ini bagus. Kerana setiap front ada inisiatif vokal dan ramainya masing-masing.
Tetapi kita hilang kepada satu perkara. Kesatuan.
Penyakit ini malangnya menular ke anak-anak muda kita. Seperti yang semua maklum,kita di Malaysia tidak ramai berpaut dan tercerahkan kepada Ideologi. Kita lebih berpaut kepada Agama dan Bangsa. Kita juga simplistik kepada suatu terma. Dari perangai simplistik ini,membawa kepada kegagalan pemahaman antara satu sama lain. Lebih merbahaya sekiranya budaya bodoh ini terterap dalam mahasiswa.
Dalam isu sosialisme dan Islam ini, sebahagian kecil dari kedua-dua pihak ini membawa wacana dalam menyatukan ketumbukan dari kedua-dua belah pihak. Kita dapat lihat, Kassim Ahmad membawa wacana perihal Sosialisme Islam. Juga Ulama Haraki terkenal, Mustafa As Sibaie membawa wacana dengan tajuk yang sama.Namun dalam praktik, kedua-duanya mempunyai ego dan pertelingkahan yang tersendiri. Dari sudut Islamis, sosialis ditolak tanpa memahami erti secara mendalam. Begitu juga dari sudut Islamis,ditolak tanpa merungkai stigma-stigma yang melekat pada terma tersebut.
Dalam keengganan untuk berkomunikasi,bagaimana suatu gerakan menentang kezaliman boleh dilaksanakan? Bagaimana suatu ketumbukan itu akan terasa menggegar? Nanti pada akhirnya suatu gerakan yang bersifat keamanan berakhir menjadi pertelingkahan. Adakah ini cara kita bersolidariti? Malangnya, ego lebih menjadi kebenaran bagi puak ini.
Apakah Izzah Islam akan tercemar sekiranya sebaris dengan golongan yang lain dengan mereka dalam membasmi kezaliman?Sekiranya benar,apakah Izzah Islam itu akan tetap terbilang dengan sifat assabiyyah yang kalian amalkan. Sebenarnya, ketertutupan golongan Islamis ini membuatkan solidariti mahupun penyatuan bangsa menjadi sukar.
Walhal di sesetengah negara,ada sahaja gabungan Islamis dan Sosialis sebaris menentang kezaliman.Revolusi Kemerdekaan Indonesia ,Revolusi Mesir 1952 menunjukkan sinergi Islamis dan Sosialis dalam memangkah kezaliman.Malamgnya pula dari sini kalau dibaca lanjut lagi dari pihak Sosialis nampak pula penindasan kepada islamis.Ini banyak berlaku apabila prinsip itu lunak hanya ketika susah melawan apabila senang.
Susah sebenarnya. Masalah pada manusia. Bukan Ideologi.
Dari kedua-dua belah pihak, masing-masing ada sandaran, fakta dan kebodohan masing-masing. Sudah namanya manusia, patutnya bersatulah dalam satu saf untuk menentang kezaliman. Bukan nak minta solat pun. Kemudian dalam satu saf itu,berdiskusilah untuk mewujudkan dunia yang baik.

Misalnya,kita kembali ke gerakan Sumud Flotilla. Usah kita kata ini hasil gerakan sosialis atau islamis semata-mata. Masing-masing ada peranan. Kita perlu berlapang dada dan terus berpadu dalam meneruskan pemecahan tembok sekatan sisewel itu. Juga dalam pembentukan masyarakat kita, belajarlah untuk saling memahami.Mulakan dengan membaca,berkawan dan berdiskusi. Bagi orang islam,tak hilang tsiqah sekiranya berkawan dengan sosialis. Kalau rasa hilang tsiqah tu cuba periksa balik sebab kita mengaji ilmu agama tinggi-tinggi . Di sinilah sebenarnya medan kita menguji kekuatan iman dengan kepelbagaian pemikiran. Iman takkan hanya diuji dengan kekayaan dan perempuan semata-mata.
Akan tiba pada akhir nanti. Menolak perbezaan antara keduanya, Islam dan Sosialis yang dasarnya menolak penindasan akan bersatu. Mungkin kini benih itu sudah ditanam oleh orang-orang terdahulu. Pohonan masih hijau lembik dan tak berbuah lagi. Perlu kita bajakan lagi dengan wacana dan diskusi. Tapi sementara itu, kita tunggulah dan lihatlah pokok hijau Islam dan Sosialis yang tumbuh tidak berbuah.
(Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian filsufi.my)




