Home / Pendapat / Seni & Budaya / Soft Porn, Budaya Rogol : Adakah dengan teks kita mampu tergoda? oleh Chisaino Hito

Soft Porn, Budaya Rogol : Adakah dengan teks kita mampu tergoda? oleh Chisaino Hito

Baru-baru ini kecoh sebenarnya apabila Novel Bumi karya Benz Ali dikatakan mempunyai unsur-unsur yang dipanggil Soft Porn dan Rape Culture oleh seorang Ustaz bergelar Professor di Perlis. Perkara ini menjadi lebih hangat apabila Ustaz tersebut membawa perkara tersebut terus kepada Kementerian Dalam Negeri untuk buku novel Sains Fiksyen tersebut dikenakan tindakan. 

Istilah soft porn membawa maksud karya yang membawa unsur erotik secara tersirat. Soft porn tidak menonjolkan aksi seksual secara terang terangan dalam sesebuah karya tapi membuatkan pengamat karya itu membayangkan “perkara” itu. Rape culture pula membawa kepada budaya yang secara sedar atau tidak,meromantiskan atau menormalisasikan keganasan seksual melalui naratif,bahasa atau simbol itu seolah-olah ia lumrah kehidupan. 

Berdasarkan persembangan saya dengan beberapa orang pandai, kedua-dua istilah ini muncul dari wacana yang lahir dari pandangan Feminisme dan Konteks Sosiologi Barat. Apabila kedua istilah itu diseret ke perbahasan Sastera Tempatan tepatnya ditempel kepada Novel Bumi, adakah kita faham makna di sebalik istilah itu atau sekadar satu peluru untuk mengharamkan satu yang kita tidak selesa dengannya? 

Sebenarnya saya ada penulisan lain yang nak dihantar kepada redaksi Filsufi.Tapi disebabkan isu ini makin panas,lebih baik kita sama-sama merenungi isu ini. Apakah Soft Porn dan Rape Culture ini hanya sebagai istilah yang semberono diadakan untuk Sensasi atau betul-betul ada dalam karya tersebut. 

Adakah Teks bersifat sebegini harus dinilai dari sudut moral pembaca yang pelbagai rencamnya ataupun pada niat pengarang dan konteks wacana yang hendak dibawanya? 

Untuk mengelakkan daripada kena apa-apa tindakan saya bagitau kalau ada yang terasa atau apa-apa.Saya minta maaf.Ini pendapat saya yang perlu saya tegakkan. 

Begini. 

Awalnya saya nak bagitahu, isu Agamawan di mata masyarakat pada hari ini majoritinya adalah sebagai penghukum bukannya pembimbing.Situasi ini banyak sahaja kita dapat lihat daripada ustaz-ustaz di sekeliling kita. Mereka sering menghukum orang yang lain daripada mereka.Mungkin dengan perlian,mungkin dengan teguran terbuka sampai memalukan orang tersebut. Ini bukan apa yang islam ajar.Ini mebuatkan masyarakat gusar dan makin jauh dengan agama.Bukan kerana nilai islam itu. Tetapi kerana para duatnya yang bermasalah. Ustaz-ustaz begini pada akhirnya akan menghukum apa sahaja termasuk dalam isu novel ini dengan neraca hukum syarak tanpa meneliti nilai sasteranya terlebih dahulu. 

Di sinilah timbul ironi yang signifikan. Dalam tradisi persuratan islam sendiri,terdapat banyak ulama yang menggunakan bahasa yang Sensual,Erotik bahkan Eksplisit.Namun ini tidaklah dianggap lucah sampai dibawa kepada pemerintah. Lihat sahajalah Kitab Fathul ‘Izar,sebuah Kitab Klasik dalam Tradisi Keilmuan Islam tentang adab hubungan Suami Isteri, membicarakan Soal Ijmak, posisi dan keinginan dengan perincian jauh lebih berani berbanding Novel-novel moden. Adakah kita kena anggap penulisan sebegini sebagai sebuah sampah?Pernahkah kita dengar Kitab Fathul ‘Izar dirujuk dan dilaporkan sampai Ke Kementerian Dalam Negeri atas Teksnya yang tidak senonoh? Tidak,bahkan Karya ini diangkat dan dirujuk oleh masyarakat Islam dalam pengajian hingga ke hari ini! 

Mengapa boleh begitu? ini kerana Ulama yang menulis itu bukanlah tujuannya membangkitkan nafsu.Niat Ulama yang menulis adalah untuk mendidik rohani dan biologi yang dipandu dengan nilai takwa.Kalau diukur dengan birokrasi minda yang sempit pada hari ini mungkin Fathul ‘Izar akan dilabel sebagai sebuah Buku “Soft Porn”. Namun generasi Ulama Silam memahami bahawa bahasa tubuh bukan bahasa syahwat. Ada masanya juga ia bawa bahasa pencerahan dan panduan kepada yang memerlukan. 

Setelah kita amati sampai ke sini.Kita akan dapati tiada salah dalam teks.Tidak bertentang pun agama dan sastera.Tetapi masalahnya pada cara kita memahami teks tersebut. Terdapat dua konteks dalam pemahaman teks iaitu pemahaman kontekstual dan Pemahaman Literalistik.Pendekatan Wahabi cenderung melihat teks secara zahir tanpa ruang takwil atau simbolik. Mereka gagal dalam memahami kerumitan dan keindahan bahasa seni. Dalam tradisi wahabi, setiap kata mesti difahami secara yang paling permukaan. Mereka membawa naratif bahawa dunia makna itu datar,bukan berlapis. Sedangkan Karya Sastera yang bersifat falsafah apakan lagi sains fiksyen seperti Bumi menuntut pembacaan yang bersifat simbolik,emosi dan eksistensial. 

Masalah sebenarnya timbul dalam puak pemaham literal ini cuba memerangkap masyarakat untuk memaksakan tafsirannya ke dalam semua wacana. Ruang sastera bagi mereka adalah pengancam untuk akidah,bukan ruang untuk renungan.Penulis dianggap sebagai pesalah moral,bukan penggali makna. Akhirnya,masyarakat akan bodoh dan jahil akibat gagal menilai perbezaan erotika yang mendidik dan pornografi yang merosakkan. 

Semua pukul rata. 

Padahal dalam tradisi sastera islam sendiri banyak sahaja karya penyair sufi yang menulis tentang cinta dengan bahasa tubuh. Bukan untuk menghairahkan tetapi untuk menunjukkan keterdekatannya dengan tuhan. Jalaludin Rumi , Ibnu Arabi dan banyak lagi para penyair Arab yang menggunakan bahasa yang mungkin pada hari ini akan dilaporkan ke Kementerian Dalam Negeri akibat terlalu taksub mentafsir secara literal. 

Akhirnya, isu Novel Bumi menunjukkan manifestasi penyakit intelektual yang sangat membarah pada masyarakat kita iaitu ketakutan kepada makna. Orang lebih gemar menuduh dari menafsir, lebih gemar menapis dari memahami. Itulah penyakit masyarakat yang perlu dicerahkan. 

Kita perlu memangkin sastera yang menggugat. Yang memaksa kita berfikir tentang tubuh,kuasa dan moral dengan cara yang jujur.Maka,daripada kita birokrasikan minda kita atas nama kesucian moral,lebih baik kita membuka mata kita dengan lebih luas.Mari kita mencontohi kembali kepada Ulama’ terdahulu yang memahami Fathul ‘Izar bukan dengan nafsu,tetapi dengan hikmah.

Mungkin yang sampah bukan teks itu, tetapi pemikiran yang sempit itu sebenarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *