Home / Pendapat / Aktivisme / Taktik Anarkis Untuk Pembebasan Palestin (Terjemahan Tulisan Albert Metlzer pada 1939) Diterjemahkan Oleh Mansurni Abadi

Taktik Anarkis Untuk Pembebasan Palestin (Terjemahan Tulisan Albert Metlzer pada 1939) Diterjemahkan Oleh Mansurni Abadi

Revolusi Arab yang berpusat di Palestin yang ditandai dengan kebangkitan semula bangsa Arab dan revolusi nasionalisnya yang telah membawa massa rakyat Palestin berdepan dengan Imperialisme British. Sebarang gerakan menentang Imperialisme British wajar disambut baik, memandangkan pemerintah negara ini menguasai (atau sinonimnya, menindas) majoriti rakyat jajahan di dunia. Penentangan para revolusioner terhadap Imperialisme British dan sekutunya sememangnya sesuatu yang boleh dijangka.

Pertembungan dua nasionalisme (Yahudi dan Arab dalam kes ini) sudah pasti menimbulkan kontroversi di peringkat antarabangsa. Di Dewan Parlimen, simpati secara semula jadi memihak kepada Zionis; seperti yang dilaporkan pernah diucapkan seorang Ahli Parlimen apabila ditanya mengapa beliau menyokong Yahudi di Palestin berbanding Arab:

“Di kawasan pilihan rayaku ada ribuan pengundi Yahudi — tapi langsung tiada seorang pun pengundi Arab.”

Parti Buruh, yang bebas daripada tanggungjawab kerajaan dalam menindas segala sisa-sisa kehidupan Arab secara berdarah, mendesak kerajaan agar bertegas dengan polisi penubuhan Negara Kebangsaan Yahudi.

Pendapat majoriti di sini kelihatan pro-Zionis, mungkin kerana kaum Zionis jelas menyokong Imperialis manakala orang Arab pula dituduh secara samar-samar sebagai pro-Fasis. Oleh itu, adalah mengejutkan untuk membaca tentang penolakan kerajaan terhadap pihak Yahudi dalam perundingan Palestin (setakat artikel ini ditulis) andainya kerajaan tidak perlu mengambil kira berjuta-juta rakyat Arab dan Muslim lain dalam Empayarnya. Polisi “Appeasement” Chamberlain setakat ini tidaklah berlandaskan kepentingan Imperialisme Demokratik, dan dalam isu Palestin sekali lagi, beliau jauh kurang prihatin terhadap pemeliharaan Imperialisme berbanding pihak pembangkang ‘Kiri’nya!

Apakah hujah untuk Zionisme? Zionisme mewakili hasrat turun-temurun para Rabai (paderi Yahudi) untuk kembali ke ‘Tanah Suci’. Makna perkataan ‘Zion’ (nama tradisi dan alkitab) perlu diberi perhatian . Para Rabai, yang pekerjaan mereka bergantung pada pengekalan halangan kaum dan kelangsungan agama yang berikutnya, akibat takut diasimilasikan, telah memupuk undang-undang buatan ini. Tujuannya adalah untuk mengekalkan satu bangsa yang terpisah melalui ‘totem dan pantang’ kesukuan. Sememangnya, mereka telah gagal, dan Zionisme adalah cara mereka berusaha untuk berjaya. Pada hari ini, tiada bangsa yang tulen, walaupun dengan dakwaan Hitler dan para Rabai.

Perhatikan bahawa kebangkitan semula agama Yahudi hanya menjadi tindak balas kepada pogrom dan penderaan. Di zaman dan negara-negara yang mempunyai toleransi kaum dan agama yang sepenuhnya, proses asimilasi telah bermula; sikap tidak bertoleransi sentiasa menggagalkan matlamatnya sendiri.

Herzl memulakan gerakan ‘Kembali ke Zion’. Adakah kebimbangan utamanya adalah untuk pelarian yang melarikan diri dari pogrom Tsar pada masa itu? Sebaliknya, Herzl menolak tawaran tanah yang jauh lebih sesuai di Afrika, dengan bertegas mahu ‘Tanah’ yang Suci itu. Akhirnya, Kerajaan Perang Balfour menjanjikan Palestin kepada orang Yahudi, dan juga kepada orang Arab, apabila Turki dikalahkan. Sejak Mandat itu, kemasukan idea-idea Barat yang kapitalis tidak dinafikan telah memberi manfaat kepada pekerja Arab, begitu juga dengan kemasukan organisasi proletariat Eropah.

Namun, ini bukanlah satu alasan, apa pun yang mungkin dikatakan oleh pihak Zionis. Kapitalisme yang diperkenalkan dengan cara ini memang telah memberi manfaat kepada kelas pekerja di merata tempat; perkara yang sama yang berlaku di Rusia telah dipuji sebagai kemenangan ‘komunisme’. Ia langsung tidak bermakna sedemikian. Walaupun terdapat manfaat kapitalisme yang datang, perjuangan menentang kejahatan kapitalisme tetap perlu diteruskan.

Pada asalnya, tiada langsung keresahan menentang penghijrahan orang Yahudi; malah sebelum ini langsung tidak wujud anti-Semitisme di negara-negara Arab. Masalah hanya bermula apabila penghijrahan ini bertukar menjadi penjajahan, dan bermatlamatkan penubuhan sebuah negara Yahudi.

Pemimpin-pemimpin Zionis, sambil berpura-pura berjuang menentang Fasis, sebenarnya merekalah pencetus Fasis di Palestin dan bertanggungjawab atas korban jiwa yang begitu banyak. Fasis? Daripada “Hitler Yahudi”, Vladimir Jabotinsky, bersama pasukan ‘Storm Troop’ Revisionisnya, kepada Zionis Rothschild dan Imperialis di London (yang berhati-hati menjauhkan diri dari negara “Suci” itu), daripada undang-undang siangog “Nuremberg” hingga ke ideologi asas Zionisme (nasionalisme berasaskan bangsa dan bukan negara) – keseluruhan gerakan nasionalis Yahudi ini sama fasisnya dengan mana-mana gerakan nasionalis lain yang telah awalnya meninggalkan fasa liberal.

Pemimpin buruh seperti Ben Gurion menuduh orang Arab dibiayai oleh Hitler dan Mussolini, dan di bawah topeng itu, mereka sendiri berkelakuan seperti Hitler dan Mussolini. Sementara itu, mereka memperdaya massa pekerja Yahudi di negara-negara yang melakukan pogrom dengan mengatakan hanya ada satu masa depan – Palestin – sekaligus memberikan alasan untuk kerajaan-kerajaan anti-Semitisme.

Sudah pastinya, revolusi Arab ini perlu disokong oleh para pekerja di luar negara. Namun, janganlah kita tertipu seperti mana ‘sosialis revolusioner’ yang lain telah tertipu.

Tiada masa depan yang cerah untuk Palestin di bawah Mufti Besar dan konco-konconya. Tiada sebab untuk mempercayai bahawa sebuah kerajaan nasionalis borjuis akan memberi lebih buat kelas pekerja berbanding kerajaan Imperialis. Pengajaran dari Ireland sahaja sudah membuktikannya.

Perjuangan mesti didahulukan menentang Imperialisme, kemudian menentang Zionisme, dan akhirnya menentang kerajaan nasionalis borjuis setelah ia terbentuk. Tiada bukti yang menunjukkan gerakan nasionalis kini mampu melaksanakan tugas sebegini.

Tugas sebenar adalah untuk melupakan persengketaan lampau dan membina sebuah gerakan buruh revolusioner di Palestin, tanpa mempertimbangkan nasionaliti. Satu-satunya harapan untuk perpaduan pekerja adalah sebuah gerakan yang tidak menyertakan pemimpin agama Yahudi atau Islam dalam barisannya, serta mengecualikan penindas Yahudi, Arab atau British.

Dari pihak manakah ia akan muncul? Itu masih perlu dilihat. Harapan untuk melihat revolusi di Palestin bertukar menjadi revolusi sosial adalah sangat tipis. Mungkin buat masa ini, kita perlu berjuang bersama borjuis kecil menentang Imperialisme, namun harus diingatkan bahawa mereka tidak mampu memainkan peranan revolusioner. Baik Nehru di India mahupun Mufti di Palestin, mereka bukanlah kawan, tetapi sekadar bidak bagi kelas pekerja revolusioner.

Program untuk gerakan buruh Palestin yang baru mesti memperjuangkan: Menggulingkan Mandat British; Mencapai autonomi; dan Meneruskan perjuangan menentang kerajaan autonomi setelah ia terbentuk, demi kawalan dan kebebasan untuk pekerja. Taktik anarkis adalah satu-satunya jalan penyelesaian bagi situasi di Palestin yang mampu membawa kita keluar dari kemelut ini. Hanya dengan kerjasama para revolusioner Arab di seluruh Timur Dekat, bekerjasama dengan minoriti Yahudi anti-Zionis serta semua pekerja, tanpa mengira bangsa, akan mendorong ke arah peluang untuk sebuah revolusi yang menyeluruh.”

Nota penterjemah: Artikel ini merupakan terjemahan dari tulisan Albert Metlzer pada tahun 1939 berjudul Anarchist Tactic For Palestine dari kumpulan tulisan pemikir gerakan anarkis iaitu Fauda. Ia yang terdiri dari warga Yahudi dan Arab yang anti terhadap zionisme. Tulisan ini sudah pun ada versi bahasa Indonesia namun tidak sempat rilis kerana dua editor di Jakarta, sudah lebih dahulu ditangkap polis Indonesia bersama buku dan Zine yang tengah mereka buat pada akhir Ogos kerana dianggap mempengaruhi rakyat menentang penguasa.

Oleh itu, saya merasa perlu untuk menyebarkan terjemahan yang sudah selesai yang dari asalnya berbahasa Indonesia ke Bahasa melayu sebagai upaya untuk memperkuat perlawanan terhadap Zionisme di semua front. Sejauh ini , persoalan pembebasan palestina dari gerakan Kiri , didominasi pandangan dari kelompok komunis dan Sosialis. Gerakan anarkis yang 10 tahun belakangan ini juga terlibat aktif dalam perlawanan melawan dua kekuatan iaitu Zionisme dan para macainya sendiri yang ada di dalam masyarakat Palestin. Para macai ini sudah memiliki identiti Israeli-Arab yang justeru menyokong agar hegemoni Israel sebagai tentakel (tentacle) Imperialisme dan Kolonialisme moden tetap kukuh berpijak di bumi Palestin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *