Isu Global Sumud Flotilla yang mendapat perhatian dunia bukan sekadar tentang misi kemanusiaan ke Gaza, tetapi juga mengenai kesihatan mental – satu dimensi yang sering terpinggir apabila konflik dibincangkan. Rombongan Sumud Flotilla untuk kebebasan membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza yang diwakili oleh aktivis-aktivis kemanusiaan seluruh dunia telah disekat dan ditahan secara tidak sah oleh askar Israel. Seperti yang kita sedia maklum, Global Sumud Flotilla membawa barangan makanan dan ubat-ubatan untuk penduduk di Gaza.
Perkara ini telah mendapat perhatian dunia apabila video SOS (Save Our Souls) di laman sosial mereka menandakan bahawa telah ditahan secara tidak sah dan meminta YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk membawa mereka pulang. Dalam konteks ini, kita dapat melihat bagaimana konflik, sekatan, dan usaha kemanusiaan berkait rapat dengan trauma, resilience serta dimensi psikososial yang sering dipandang ringan.
Trauma Kolektif di Gaza
Sejak lebih 15 tahun lalu, Gaza hidup dalam keadaan sekatan berterusan yang menjejaskan hampir setiap aspek kehidupan. Trauma akibat sekatan berpanjangan membawa impak yang besar terhadap emosi mereka dan boleh mencetuskan gejala PTSD (Post Traumatic Stress Disorder),insomnia, keresahan dan kemurungan. Statistik menunjukkan bahawa sebanyak 80% kanak-kanak Gaza berdepan kemurungan dan tekanan selepas 15 tahun terperangkap dalam perang.
Hal ini boleh menyebabkan berlakunya moral injury kerana perlu menyaksikan sendiri ahli keluarga mereka dibunuh, bunyi tembakan dan bedilan bom dari tentera Israel telah menimbulkan ketakutan kepada mereka. Trauma sebegini bukanlah episod singkat tetapi menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian. Ia boleh menjejaskan perkembangan emosi dan sosial generasi muda, menjadikan konflik bukan sekadar isu politik tetapi juga isu kesihatan awam jangka panjang. Tanpa rawatan dan sesi kaunseling, emosi mereka akan terganggu dan menyebabkan mereka merasa bersalah kerana masih hidup walaupun bukan merekalah punca utama kematian ahli keluarga mereka.
Tekanan Psikologi terhadap aktivis Flotilla.
Dalam masa yang sama, aktivis yang menyertai rombongan Global Sumud Flotilla sendiri berdepan dengan tekanan mental kerana diancam keselamatan,penahanan secara paksa dan ayat-ayat propaganda yang dimainkan oleh askar Israel. Laporan antarabangsa menyebut bahawa Flotilla pernah menjadi sasaran operasi psikologi, termasuk propaganda, ugutan, dan tindakan melemahkan moral aktivis. Akibatnya, aktivis-aktivis merasa bebanan psikologi dan menimbulkan acute stress atau secondary trauma iaitu kesan emosi akibat menyaksikan penderitaan orang lain.

Bagi sesetengah aktivis, pengalaman ini mungkin meninggalkan kesan mendalam termasuk gangguan tidur,rasa bersalah kerana tidak dapat membantu secukupnya malah berdepan dengan konflik moral injury apabila berhadapan dengan realiti penindasan yang berpanjangan.
Sumud sebagai Simbol Resilience.
Walau bagaimanapun,disebalik kesengsaraan itu lahir pula satu konsep penting dalam budaya Palestin iaitu “Sumud”- yang bermaksud ketabahan,keteguhan dan tidak berputus asa . Dari sudut psikologi, ia boleh difahami sebagai resilience, iaitu keupayaan individu atau komunit untuk bangkit semula walaupun berdepan dengan tekanan luar biasa. Global Sumud Flotilla membawa makna ketahanan atau ketabahan dan tidak menyerah kalah.
Kita boleh saksikan bagaimana aktivis kemanusiaan yang menyertainya tidak mahu berundur walaupun askar Israel mengugut mereka dengan pelbagai ancaman dan hal ini membuktikan bagaimana Flotilla itu sendiri menjadi lambang moral dan psikologi harapan kepada penduduk Gaza seterusnya kepada dunia. Harapan yang dibawa Flotilla bukan sahaja memberi sokongan material, tetapi juga suntikan moral yang berfungsi sebagai faktor pelindung terhadap tekanan mental. Kehadiran suara antarabangsa yang menyatakan sokongan moral mampu memberi semangat kepada komuniti yang telah lama merasa terasing dan dilupakan.
Kos Psikologi Konflik yang sering diabaikan.
Apabila bercakap tentang Gaza, masyarakat dunia sering memberi fokus kepada angka korban, kerosakan infrastruktur, dan isu politik. Namun, kos psikologi yang tersembunyi sering diabaikan. Kesan trauma, kemurungan, kecemasan, serta masalah mental lain boleh bertahan jauh lebih lama berbanding luka fizikal.
Kajian dalam bidang psikologi konflik menunjukkan bahawa trauma berpanjangan boleh menjejaskan fungsi otak, meningkatkan risiko penyakit kronik, serta menjejaskan hubungan sosial. Generasi yang membesar dengan trauma juga lebih cenderung kepada sikap agresif atau hilang kepercayaan kepada masa depan. Hal ini menunjukkan bahawa menangani kesihatan mental sama pentingnya dengan membekalkan makanan dan ubatan.
Cadangan & Jalan Ke Hadapan
Dalam konteks Global Sumud Flotilla, isu kesihatan mental perlu diberi tempat yang sewajarnya dalam perbincangan antarabangsa. Bantuan psikososial, terapi trauma, dan sokongan komuniti perlu dijadikan sebahagian daripada pakej kemanusiaan. Antaranya:
- Program sokongan psikososial berasaskan komuniti – melatih kaunselor tempatan atau guru untuk mengenal pasti tanda awal trauma dan memberi sokongan asas.
- Terapi trauma khusus untuk kanak-kanak – menggunakan pendekatan seperti terapi bermain (play therapy) atau seni sebagai cara meluahkan emosi.
- Sokongan kepada aktivis dan sukarelawan – menyediakan sesi kaunseling debriefing selepas misi, bagi mengelakkan burnout atau trauma sekunder.
- Kerjasama NGO antarabangsa – mengintegrasikan rawatan kesihatan mental dengan bantuan fizikal supaya tidak dipisahkan.
Kesimpulan
Global Sumud Flotilla bukan sekadar simbol perjuangan politik dan kemanusiaan, tetapi juga cerminan bagaimana konflik memberi kesan psikologi yang mendalam. Bagi penduduk Gaza, trauma kolektif telah menjadi realiti hidup seharian, sementara bagi aktivis flotilla, risiko psikologi wujud dalam bentuk stres dan trauma sekunder. Namun, di tengah-tengah penderitaan itu, lahirlah kekuatan yang dinamakan sumud – ketabahan yang menjadi benteng emosi dan harapan untuk masa depan.
Akhirnya, artikel ini ingin menekankan bahawa kesihatan mental adalah sebahagian daripada hak asasi kemanusiaan. Sama seperti tubuh yang lapar perlu diberi makanan, jiwa yang terluka juga perlu dipulihkan. Dalam setiap krisis, harapan kolektif dan solidariti antarabangsa adalah sumber kekuatan yang tidak ternilai, membuktikan bahawa ketahanan mental mampu menjadi cahaya dalam kegelapan yang paling pekat.
Sumber :
Gaza flotilla group decries ‘psychological operations’ as ABBA blasts through vessel radios
Moral Injury – PTSD: National Center for PTSD
(Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian filsufi.my)
Hanisah merupakan pejuang kesihatan mental dan seorang penghidap ADHD yang sarat dengan idea dan mempunyai pengetahuan yang luas. Beliau menumpukan penulisannya kepada tema kesihatan mental dan pembangunan diri, dengan harapan dapat mencetuskan perbualan, memupuk empati, dan menggalakkan kefahaman tentang kompleksiti minda manusia. Penulis percaya bahawa penulisan bukan sekadar medium berkongsi, tetapi sebuah kuasa yang mampu menyembuhkan, menghubungkan, dan mengubah dunia.