Kelmarin, sekumpulan anak muda bangkit melakukan protes senyap dalam majlis Wacana Ilmiah Perdana bersama SPRM dan Asia e University di World Trade Centre. Mereka mengangkat plakad dan melaungkan slogan #TangkapAzamBaki. Protes itu berlaku ketika Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, sendiri sedang berdepan dengan kontroversi berkaitan pegangan sahamnya – dan ini bukan kali pertama perkara tersebut berlaku. Sebelum ini, beliau pernah terpalit dengan isu yang sama sehingga mencetuskan siasatan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta dipanggil memberi penjelasan di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pada tahun 2022.
Kali ini, keadaannya lebih membimbangkan apabila timbul pula dakwaan mengenai kewujudan “mafia korporat” dalam agensi yang sepatutnya bertanggungjawab mencegah rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Lebih ironik, Azam Baki kini disiasat oleh jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Jemaah Menteri sendiri, diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara, berhubung isu pemilikan saham tersebut. Namun sehingga kini, rakyat masih tidak mengetahui apakah hasil dan kesimpulan siasatan berkenaan.
Atas sebab itu, pelbagai pertubuhan masyarakat sivil seperti BERSIH, IDEAS, C4 dan lain-lain terus mendesak agar sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan “mafia korporat” ini secara bebas, telus dan adil.
Persoalan yang lebih besar ialah bagaimana seorang penjawat awam boleh memiliki saham dalam jumlah yang begitu besar. Menurut laporan Bloomberg, Azam Baki memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Sdn Bhd. Syarikat tersebut pula dilaporkan mempunyai kaitan dengan bekas setiausaha politik kepada Perdana Menteri. Dalam keseluruhan polemik ini, tidak pernah ada penjelasan yang benar-benar tuntas dan meyakinkan untuk menjawab persoalan rakyat. Walaupun sudah dua kali beliau terpalit dengan isu yang sama, penjelasan yang diberikan masih gagal memuaskan akal dan intelektual masyarakat.
Ironinya, sebahagian kita, tindakan rakyat dan anak muda yang sekadar mengangkat plakad dan melaungkan slogan sering dianggap biadab, kurang ajar, tidak beradab dan bertentangan dengan tatasusila masyarakat. Mungkin ada benarnya dari sudut tertentu. Namun, ukuran sopan dan kurang ajar tidak boleh dipisahkan daripada konteks yang melatari sesuatu tindakan.
Apabila mereka yang berkuasa melanggar peraturan, tidak amanah dan tidak jujur, kita masih melayan mereka dengan tepukan gemuruh, senyuman mesra dan bahasa yang penuh tertib. Malah ada pula yang memuji bagaimana individu tersebut begitu “tenang” ketika berdepan kritikan dan kecaman. Ada juga yang masih malu untuk menyatakan sikap dan pendirian, termasuk dalam kalangan mereka yang datang daripada parti yang selama ini berdakwa-dakwi memperjuangkan reformasi.
Sikap seperti ini pernah disinggung oleh Usman Awang. Beliau mengingatkan kita agar tidak menjadi terlalu “pemalu” apabila berhadapan dengan kebobrokan. Kata Usman Awang, kadangkala kita perlu menjadi “kurang ajar” agar tidak mewarisi sesuatu yang memalukan. Dalam konteks ini, negara mempunyai seorang Ketua Pesuruhjaya SPRM yang sudah dua kali terpalit dengan skandal sepanjang memegang jawatan penting itu, namun masih tidak berasa malu untuk berundur. Kontraknya pula tetap disambung oleh mereka yang suatu ketika ingin ‘’menangkap’’ beliau.
Rakyat sedar, jika tidak ada orang yang “kurang ajar” untuk menegur, mereka tidak akan sedar bahawa begitu ramai rakyat sebenarnya menolak dan membenci perkara tersebut. Jika tidak ada yang bersuara, mereka tidak akan sedar bahawa merekalah yang sedang memalukan negara – jauh lebih teruk daripada aksi protes yang mungkin kelihatan kasar, tetapi sebenarnya lebih bermaruah daripada sopan santun yang hanya berfungsi menutup bau bangkai.
Apa yang lebih teruk daripada protes terhadap Azam Baki ialah kegagalan institusi untuk menyiasat individu tertinggi dalam institusi itu sendiri. Apa yang lebih teruk ialah apabila seseorang yang sedang dibayangi tuduhan salah guna kuasa dan korupsi masih diberikan pentas untuk menyampaikan “wacana ilmiah”, sedangkan moral dan integritinya sedang dipersoalkan secara terbuka oleh rakyat.
Bukan mengangkat plakad dan melaungkan slogan yang memalukan bangsa. Yang memalukan bangsa ialah rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kerakusan mengisi tembolok sendiri. Itulah yang akhirnya akan merosakkan dan menjahanamkan negara.
Solidariti buat anak muda yang berani. Tangkap dan siasat Azam Baki. Reformasi SPRM 100%!




