Home / Pendapat / Manusia prejudis dari air mani Iblis oleh Rien Sd

Manusia prejudis dari air mani Iblis oleh Rien Sd

Sesak dada membaca cemuhan dan segala kahak hijau yang keluar dari kerongkong manusia-manusia prejudis dalam negara ini. Manusia jijik yang sentiasa merasa unggul berbanding manusia lain. Tulisan ini adalah seperalat amarah yang tidak tertahankan lagi. Ianya mendidih menjadi air panas yang membakar tengkuk. Jika anda mengharap tulisan yang menyenangkan hati, sila berhenti membaca.

Saya sedang berusaha memicit butang kewarasan dan menahannya menjadi alasan untuk menjadi adil. Biarlah pukulan dan hambatan, saya lepaskan dalam tulisan ini. Meski manusia prejudis yang lahir dari rahim rasisma ini kemungkinan akan terus bengkok dan mulut mereka terus bising mematuk-matuk. 

Saya akan cuba sedaya upaya untuk melarikan diri dari membiarkan tulisan ini menjadi ulasan yang kering pemikiran dan terdiktat dalam perbahasan teknikal yang tipikal. Oleh itu, saya akan meminjam sedikit perkakas sosiologi- dan selebihnya emosi yang tidak terbendung- dalam mendiskusikan tubuh filem Syurga dalam Botol.

Ketika orang ramai sedang menghitung kutipan tiket yang terjual, saya sedang mengutip maki hamun, caci cerca dan prejudis yang telah menjadi kudis yang tak terhitungkan. Masyarakat kita tergedik-gedik menghina, merendahkan dan mengherdik bangsa lain. 

Ini adalah endemik yang bertukar menjadi pandemik. Kita telah lama diasuh dan disusukan oleh ahli politik jijik yang menjelirkan lidahnya persis anjing kelaparan. Kita menerima jampi serapah mereka yang sarat xenophobia dan perkauman. Kebencian telah dikejutkan dari tidurnya yang panjang. Dia dibangunkan, dimandikan dan kini benihnya ditanam oleh para keparat yang mencacai kedudukan menjadi tangkal yang sakral dan dibalut dengan semangat patriotik cinta negara. 

Menjadi xenophobic dan terpaling anti orang asing- kerana mempertahankan tanah air- adalah asas perguruan mereka. Kuda-kuda mereka kemas dan buah silat mereka tangkas apabila ada bangsa yang tidak unggul dan tidak supreme mula menjadi perhatian ramai. Mereka rimas dan timbul ruam merah di celah paha apabila orang mula bercakap tentang bangsa lain tapi tidak tentang bangsanya.

Neraka di luar botol

Malaysia tidak pernah merdeka. Intelektual kita masih bekerja keras menggenggam penyapu membersihkan saki baki penjajahan menerusi dekolonialisasi. Ada neraka yang belum tertutup pintunya. Apinya menjalar ke tulang sulbi banyak orang. Negara kita dibina di atas air mata, pembantaian dan projek pengabaian yang belum bertemu hujungnya. 

Pelarian dan masalah ketanpanegaraan di Sabah adalah krisis kemanusiaan yang terbesar di wilayah ini. Sempadan negara kita handal mengekang penceroboh, namun sempadan kemanusiaan kita selalu terkoyak di robek oleh placur politik yang tak tahu malu. 

Sebelum Ebi Kornelis menukang Syurga dalam Botol, Sabah yang dihuni oleh lebih tiga (3) juta penduduk telah berhadapan dengan bencana sosial yang menjadi rahsia umum. Pemerintah bertukar-tukar celana kekuasaan dan bersenggama di istana kemewahan namun masyarakat yang serba serbi invisible ini terus menjadi hantu. Wujud dalam bebola mata namun ghaib dalam data. 

Sebelum syurga disumbat ke dalam botol, ratusan ribu kanak-kanak yang tiada identiti, hak berpendidikan, tidak dilindungi, menjadi buruh paksa dan tiada ruang selamat perlu berjinak-jinak dengan panasnya neraka penindasan di negeri yang ditiup angin Madani ini. Angin yang persis al-Masih ini. 

Takdir politik ini dicorak oleh para algojoh yang gelojoh menjadi bangsawan. Mereka yang menambah arang membakar kayu api menjadi barah yang marak. Kanak-kanak ini dilempar hidup-hidup ke dalam kawah api, melecur segala isi kulit dan menjadi rentung. Ratusan ribu kanak-kanak di negeri ini  telah mati sebelum dewasa. Mereka dipijak, dihenyak dan diherdik. 

Syurga dalam Botol bukan fiksyen yang imaginatif dan ilusi. Ianya adalah kritik sosial dan bentuk perlawanan yang telah berjaya seratus peratus melondehkan celana para pemerintah yang bersekongkol mengurung ramai masyarakat terpinggir di sebuah negara yang mendakwa tubuh dan jiwanya merdeka. 

Ebi dan pasukannya telah menelanjangkan sisi pembantaian yang telah menjadi wabak berdekad lamanya di Sabah (entah Ebi setuju atau tidak). Tiada penawar dan tiada vaksin. Tiada makmal merawat pandemik ini. Sabah dan Malaysia sejak merdeka tidak bertanggungjawab dan melepaskan dirinya dari segala malapetaka ini. 

Projek Menelanjangkan 

Ketika Syurga dalam Botol menjadi projek pencerahan dan naratif tanding, maka berbondong-bondonglah haiwan ternakan prejudis menyondol dan menggong-gong di halaman rumah. Ekor mereka meliar dan gigi mereka tajam menerkam. Suara mereka bingit, menyebar dakyah perkauman yang disambut oleh banyak haiwan lain. 

Mereka menyebar kebencian dan menuduh bangsa itu dan bangsa ini sebagai pendatang, yang baru datang dan seharusnya pulang. Tanah ini milik mereka. Air ini kepunyaan nenek moyang mereka. Hanya benih mani mereka yang boleh ditumpahkan di negeri ini. Tiada bangsa lain yang boleh membiak seperti mereka. 

Iblis prejudis ini semakin meliar, muncul dalam banyak bentuk dan rupa. Ada yang bertanduk, badannya berbulu, kukunya tajam dan yang paling bahaya ketika matanya merah. Ini sepsis yang paling keras dan tidak akan pupus. Kerjanya meniup kemarahan dan menimbulkan was-was kepada bangsa yang tidak digemarinya.

Apa yang bukan dari baninya, itu perlu diusir dan dihapuskan. Meskipun ada catatan sejarah wilayah ini sebelum sempadan menjadi tembok negara bangsa, semua lembarannya akan mereka bakar dan helaiannya dihumban ke dalam parit. Mereka ini mahir membunuh manusia dengan membunuh sejarahnya. 

Mengapa haiwan-haiwan ini kebal, tebal dan tak rebah? Ini kerana mereka menuai hasil mahsul di negeri ini. Mereka berpuasa di bulan Ramadan dan berkuasa di bulan-bulan lainnya. Merekalah yang memegang tengkuk dan kepala negeri ini. Champion. Syurga dan neraka bukan di dalam botol. Ebi tersilap. Syurga dan neraka di dalam kocek mereka; manusia prejudis yang sentiasa didanai untuk melancarkan projek anti orang asing dan mengucap syahadat kebencian di ruang digital. Memang mereka ini dilahirkan untuk itu. Menjadi binatang jinak yang patuh pada tuannya.

Apa selepas Syurga dalam Botol?

Saya tidak berharap apa-apa. Saya hanya menanti bentuk-bentuk perlawanan yang lain. Filem, lukisan, tarian atau apa sahaja caranya untuk menelanjangkan rasisme dan prejudis. Apa lagi selepas ini? Mestilah kita harus semakin rajin menyinggung, menyindir dan mencerca manusia prejudis dan kaum kerabatnya. 

Kita harus menghargai susah payah Ebi Kornelis dan pasukannya menyiapkan karya agung Syurga dalam Botol itu. Kini tiba pula masanya untuk kita memaksa matahari keluar lebih awal. Kita harus memadam malam dengan cepat. Biar pencerahan lebih segera berbanding kegelapan. Iblis-iblis prejudis ini sangat agresif mengikut simpulan pada waktu malam. Mereka menjadi hantu bangkit yang busuk dan comot. Kita harus membaca rukyah kemanusiaan bagi melepaskan masyarakat dari sihir prejudis. 

Syurga dalam Botol sudah terlalu cukup. Ini pendokumentasian yang cemerlang. Aktivis, intelektual dan para cerdik pandai di luar sana, berbuatlah sesuatu. Kemungkaran negara mengabaikan hak rakyat yang berada dalam sempadannya ini mesti dibendung dengan segera. Jangan melawan kemungkaran ini dengan hati. Ianya bukan selemah-lemah iman, ianya tindakan yang tidak beriman. Buktikan iman kemanusiaan kita dengan menentang iblis prejudis dan bala tenteranya sehingga ke titis darah terakhir. Tebas dan cincanglah lidah mereka agar yang tersebar hanya khabar kemanusiaan, setiakawan dan kebersamaan.

Terima kasih Ebi dan masyarakat yang melawan. Demi bangsa manusia! 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *