Di sebalik isu pengharaman buku yang baru-baru ini heboh diperkatakan, ternyata bahawa kejadian pengharaman buku bukanlah satu fenomena langka. Ia sudahpun berlaku cukup lama. Tahun demi tahun silih berganti, buku demi buku yang tajuknya mengundang sensasi dan kontroversial bakal disenaraikan dalam ‘gaung maut’ Kementerian Dalam Negeri.
Ada juga buku yang bukan baru terbitannya, namun kadangkala diheret juga ke ‘tali gantung’setelah dihukum haram untuk disirkulasi seluruh ceruk Malaysia. Bagaimana mereka menentukan – itu saya masih kabur. Namun corak pengharaman itu dilihat berlegar pada buku-buku yang menampilkan topik agama dan fahaman-fahaman yang dikhuatiri mengugat demokrasi.
Sejumlah buku ini pula sebetulnya (sekurangnya dalam fahaman saya) bukanlah ‘seganas’, ‘sekritikal’ atau terlalu hebat sehingga mampu menggembleng seluruh kekuatan rakyat untuk menjatuhkan negara. Saya tidak menafikan kekuatan buku, walaupun kadangkala hanya tajuknya saja yang cukup menaikkan kening mereka yang membacanya sepantas kilat berlalu dan mengertikannya sebagai suatu yang sangat berbahaya.
Kekuatan Buku & Bayangannya
Kita harus menganggap buku sebagai salah satu media yang sangat berkuasa sejak zaman manusia sudah pandai membaca dan menulis. Buku adalah wadah kepada kekuasaan, kefahaman dan kekuatan manusia. Buku menghimpunkan idea, perintah, larangan, seruan dan perihal lain yang bersangkut-paut pada kepercayaan para manusia bahawa apa yang tertulis itulah kebenaran. Ini sudah azalinya fitrah seorang manusia; pusing macam mana pun, pada akhirnya akan kembali tetap mahu berpegang pada kebenaran (atau apa yang disangkanya benar).
Perkembangan idea manusia sepanjang zaman membawa buku jauh berevolusi pada cara, gaya dan bahasa. Yang kekal adalah fungsi dan bentuk sesebuah buku. Cara olahan fikiran, gaya penulisan dan bahasa baik tersurat dan tersirat memerikan lagi estetika buku sehingga mampu mempengaruhi minda manusia yang menulis dan membaca. Karya ini sebahagiannya dibakar, sebahagiannya lagi diangkat tinggi, sebahagiannya lagi disimpan dan sebahagiannya lagi hilang ditelan zaman.
Bagaimanapun istimewanya buku, manusia akan mencari jalan untuk bertindak ke atas buku secara fizikalnya. Bakar? Sudah. Buang? Sudah. Koyak? Sudah. Simpan? Sudah. Kitar semula? Sudah. Apalah sangat mengharamkan, jika sejarah buku diwarna-warnikan dengan pelbagai bentuk hukuman fizikal yang lebih teruk dari mengharamkan.
Haram bukan Mati, Hukum bukan Pasti
Idea takkan mati. Itu kenyataan yang pasti. Idea takkan sirna. Itu kenyataan yang abadi. Idea hanyalah roh dalam buku – yang menghidupkan buku tetaplah manusia dan imaginasinya. Selagi ada manusia boleh membaca, mengira dan menulis maka buku masih ada magisnya.
Namun banjiran kata-kata yang saya lampiaskan dalam artikel ini belum mengungkap kepolitikan buku dan tatanegara. Kepolitikan buku dan tatanegara ini boleh ditafsirkan dalam bermacam teori sosiologi yang ada – menariknya, kita boleh meminjam idea dari Marx sendiri tentang struktur masyarakat dan kerajaan. Buku-buku perihal Marx antara pilihan popular untuk diharamkan, kadangkala kerana sebutir nama yang begitu berhantu dan tidak lebih dari itu.
Marx menafsirkan kerajaan sebagai superstruktur, suatu struktur yang besar dan memiliki peranan yang cukup ampuh dalam struktur sejarah manusia. Kita boleh membayangkan superstruktur adalah jentera yang besar dan mampu mengemudi negara dengan membentuk suatu hegemoni (baca: kekuasaan sosial) yang memudahkan kawalan ke atas masyarakat lapisan bawah. Figura seperti Gramsci dan Foucault melihat kenyataan ini. Hegemoni dalam sesebuah negara bergantung-paut pada apa doktrin yang dijadikan batu asas kepada kemenjadian negaranya.
Pengharaman buku hanyalah tindakan kecil yang boleh dilakukan oleh sebuah struktur negara. Mengharamkan buku cuma bermakna para penerbit dan penjual perlu menghentikan segera sirkulasi buku tersebut di pasaran buku. Apa yang diharamkan pada hari ini, boleh saja dihalalkan semula dengan menarik balik perintah pengharaman buku itu. Tiada yang pasti dalam soal-soal arahan mengharamkan buku kerana ia amat bergantung pada doktrin sesebuah negara dalam sesuatu waktu.
Kita beruntung Malaysia bukanlah negara yang keras; rumah tidaklah digeledah tiap satunya, rak-rak buku tidaklah ditumbang-pecahkan demi memastikan buku tersebut benar-benar tiada, para kolektor dan pembaca (lalu, sedang dan bakal) tidaklah dibunuh-cabul seorang demi seorang hanya kerana memiliki buku yang diharamkan.
Anggap saja Kerajaan itu Balan-Balan
Dalam legenda dan mitos Sabah (dan saya kira peribumi lain), balan-balan adalah seorang manusia yang berilmu tinggi dalam hal-hal ilmu hitam sehingga mampu memutuskan kepalanya sendiri lalu terbang bergentayang seperti bola api memburu darah mangsanya.
Kita bayangkan saja kerajaan itu balan-balan. Bukan pula kerana para wargakerja sektor awam yang pandai berilmu hitam; sebaliknya kepala pemerintah itu boleh ‘bergentayang’ memikirkan halnya sendiri sementara badan pula hanya kekal di satu tempat. Badannya yakni tatanegara tetap hidup seperti biasa walaupun kepala itu bertukar-tukar atau begitu popular kerana ditanggapi merupakan seorang intelektual dan terbuka pada ilmu, maka haruslah berkeperibadian menentang pengharaman buku.
Idealnya, kita juga mahu apa yang Plato mahu: seorang ketua yang berfalsafah. Namun falsafah di dunia nyata kurang mampu menterjemahkan keperluan hegemoni yang mengawal jutaan orang senegara.
Memelihara hegemoni adalah kerja sesebuah badan kerajaan, sama seperti sesebuah organ dalam badan seorang pengamal ilmu balan-balan. Pundi kencingnya tetap perlu kencing, buah pinggangnya tetap perlu menapis segala macam antah-berantah yang ditelan si pengamal.
Secubit pandangan utilitarian: tidak perlu dicaci maki hamun amarah pada KDN. Itu kerja mereka. Sebaliknya kita yang perlu lebih inovatif menghidupkan idea sesebuah buku. Ingatlah, idea takkan pernah mati.
Kalau Begitu, Kenapa Ada Melawan?
Pandangan utilitarian tadi berlawanan dengan Hannah Arendt kerana baginya, ini adalah banaliti kejahatan yang dihalalkan hanya kerana para warga kerjanya yang menurut perintah. Kerana itulah, ada juga pihak yang mengecam dan menentang pengharaman buku.
Bagi saya, pertembungan tesis dan anti-tesis ini penting untuk melahirkan sebuah sintesis. Saya lebih kanan ke arah menuntut penilaian semula pengharaman buku yang lebih telus agar buku (dan aktor di belakang penghasilan buku tersebut) dimaklumkan apa yang kurang supaya mampu ditambahbaik. Pasaran buku ada rantaiannya sendiri sebelum sampai ke tangan pembaca, dan tindakan ini boleh melemahkan ekonomi perbukuan negara.




