BEAUFORT: Pemerkasaan pertanian dan penternakan moden di bawah agenda Agro Hub menjadi antara tumpuan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Lumadan jika sekali lagi diberi mandat pada pilihan raya umum (PRU17). Calon GRS yang juga penyandang kerusi Lumadan, Datuk Ruslan Muharam berkata, inisiatif itu merupakan salah satu daripada enam teras pembangunan utama yang terkandung dalam manifesto GRS Lumadan.
Pada masa sama katanya, usaha itu juga selari dengan aspirasi beliau bagi mengangkat ekonomi setempat menerusi pertanian dan penternakan, selain meneruskan penyelesaian masalah prasarana asas.
“Kita akan menumpukan pembangunan pertanian moden seperti projek tanaman sayur hidroponik dan sebagainya termasuk penanaman pokok Sagu serta penternakan kerbau dan udang laut secara komersial.
“Menariknya, rakyat yang berminat menyertai usaha ini tidak perlu risau tentang dana mahu pun pasaran kerana segalanya akan diuruskan oleh pihak kami dengan kerjasama agensi kerajaan berkaitan.
“Termasuk bekerjasama dengan beberapa koperasi setempat atau pun mewujudkan koperasi Agro Hub yang akan membeli semua hasil atau produk tanaman dan penternakan ini.
“Apa yang diperlukan cuma komitmen bagi memastikan semua usaha ini tidak sia-sia, sekaligus mengangkat ekonomi masyarakat,” katanya ketika ditemui di Pelancaran Pusat Daerah Mengundi (PDM) Beaufort Selatan, di sini.(16 Nov)
Hadir sama Ahli Parlimen Sipitang merangkap Pengerusi Lembaga Kemajuan Koko Malaysia (Sabah), Datuk Matbali Musah. Ruslan yang juga Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, peluang itu diwujudkan kerana harga pasaran bagi semua komoditi berkenaan amat tinggi kerana ia adalah keperluan harian. Katanya, pihaknya juga akan menekan amalan organik, termasuk patuh syariah supaya semua produk pertanian dan penternakan itu mematuhi konsep ‘Halalkan Toyyiban’ iaitu halal, suci dan selamat.

Foto: Ruslan (tiga dari kanan) bersama Matbali dan pengundi 18 di majlis itu.
“Selain produk sayuran, harga pasaran bagi kerbau dan udang ketika ini amat lumayan termasuk Sagu yang turut mendapat permintaan tinggi hingga harganya juga meningkat drastik.
“Namun, pokok sagu sekarang ini semakin berkurang dan sebab itu kita akan galakkan orang kampung untuk tanaman secara komersial agar bekalan sagu sentiasa cukup.
“Justeru, ini adalah antara komitmen kita dalam maniesto GRS Lumadan yang akan dilancarkan dalam masa terdekat demi memperkasa ekonomi setempat selari dengan agenda ‘Lumadan Sejahtera’,” katanya.
Terdahulu, Ruslan yang juga Ketua Bahagian PBS Lumadan turut menerima penyertaan lebih 60 pengundi muda ke parti berkenaan di majlis itu.




