Aktivis Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS), Fadhil Kassim, tampil menulis satu refleksi tajam mengenai keadaan semasa gerakan mahasiswa di kampus, menyeru agar mahasiswa tidak lagi terperangkap dalam budaya neutral dan kepasifan yang mengekang fungsi sebenar universiti sebagai medan perdebatan dan perjuangan idea.
Dalam tulisannya, Fadhil menegaskan bahawa kepelbagaian gerakan mahasiswa seperti Suara Mahasiswa, Nadi Mahasiswa, Sinergi Mahasiswa, Angkatan Mahasiswa, Bisikan Mahasiswa, Revolusi Mahasiswa, Aspirasi Mahasiswa dan Reformasi Mahasiswa perlu dilihat sebagai tanda kesuburan ekosistem kampus yang hidup dan kritikal.
“Bermakna dalam gedung itu terdapat perseteruan sesama warga, sekaligus membuka ruang perdebatan yang subur. Demikianlah salah satu fungsi universiti ini wujud — melahirkan daya fikir untuk menolak segala bentuk terima tanpa soal,” tulis Fadhil.
Namun, beliau turut mengkritik mereka yang memilih untuk tidak terlibat dalam dunia wacana kampus, menyifatkan kelompok ini sebagai mengalami “krisis kekontangan idea” dan terperangkap dalam ilusi neutraliti.
Mengutip sejarawan Howard Zinn, Fadhil menulis:
“You can’t be neutral on a moving train,”
menjelaskan bahawa dalam konteks sosial dan politik yang sentiasa bergerak, sikap neutral hanya menjadikan seseorang itu secara tidak langsung menyokong ketidakadilan yang berlaku.
Fadhil turut menegur fungsi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang menurutnya telah disalah tafsirkan sebagai perantara antara mahasiswa dan pentadbiran, sedangkan asalnya ia merupakan barisan hadapan perjuangan dan pembelaan mahasiswa.
“MPP bukan kelompok perantara, tapi kumpulan pembela,” tegasnya.
Tulisan itu juga menyentuh tentang kemerosotan idealisme dalam universiti, di mana tembok dan pagar kampus kini bukan lagi simbol batas fizikal, tetapi lambang kejumudan warganya. Beliau mengingatkan bahawa universiti sepatutnya menjadi kota ilmu yang memulangkan gagasan dan khazanah pemikiran kepada rakyat.
“Tembok dan pagar kampus bukan soal aksesibiliti semata, tapi bagaimana sumber yang kaya benar sampai kepada rakyat. Kegawatan besar berlaku apabila warganya lesu, pemimpinnya bisu.”
Fadhil menutup tulisannya dengan sindiran tajam terhadap pemimpin mahasiswa yang mengejar kedudukan tanpa keberanian untuk bersuara jujur terhadap realiti mahasiswa di bawah.
“Masalah pemimpin mahasiswa ini, dia kata ini semua demi mahasiswa, namun celaru dan tidak faham makna ‘demi mahasiswa’ semacam apa yang dicitakannya.”
Tulisan ini menjadi renungan penting terhadap krisis idealisme kampus, menyeru mahasiswa untuk kembali berpihak kepada suara di bawah dan menolak budaya diam yang membunuh jiwa perjuangan universiti




