Home / Berita / “Bah-Bincang Kita” gelanggang tempur idea belia Sabah

“Bah-Bincang Kita” gelanggang tempur idea belia Sabah

Menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah 2025, sekumpulan anak muda dari pelbagai latar belakang akan berkumpul dalam “Bah-Bincang Kita, Sabah Pre-Election Youth Forum 2025” — sebuah inisiatif dialog politik bebas yang menumpukan kepada integriti, tadbir urus baik dan penyelesaian sebenar untuk rakyat.

Forum yang akan berlangsung pada 8 November 2025 ini dianjurkan oleh gabungan pertubuhan belia dan masyarakat sivil tanpa parti termasuk Community Empowerment Initiative Sabah, Gerakan Anak Sabah, Hai Mandak, Sabah Youth Movement, SEEN, SPADE, dan The Sip Sip Show.

Dengan menghimpunkan wakil belia daripada parti-parti politik utama seperti GRS, DAP, PKR, MUDA, PIS, SAPP, STAR, UPKO, dan Warisan, forum ini memberi ruang sama rata kepada semua peserta untuk mengemukakan idea dan visi mereka tentang masa depan Sabah.

“Tiada hierarki, tiada berat sebelah — hanya idea, visi dan dasar,” tegas penganjur dalam kenyataan bersama.

Acara yang akan dijalankan secara tertutup ini turut disiarkan secara langsung di Facebook, YouTube, TikTok, dan Instagram, bagi membolehkan lebih ramai belia Sabah mengikuti dan menyertai perbualan penting ini secara maya.

Menurut penganjur, inisiatif ini adalah seruan kepada generasi muda Sabah untuk melihat politik bukan sebagai perebutan kuasa, tetapi ruang untuk kerjasama, kreativiti dan tanggungjawab bersama membentuk masa depan negeri.

“Ini lebih daripada sekadar acara; ia peluang bersejarah untuk belia Sabah membentuk sejarah politik negeri mereka sendiri.”

Forum ini turut dibiayai sepenuhnya melalui crowdfunding rakyat, sebagai simbol ketelusan dan kebebasan dari pengaruh politik. Segala butiran kewangan akan dibentangkan secara terbuka pada sesi pembukaan dan selepas acara bagi menjamin akauntabiliti.

Dengan lebih 55% pengundi Sabah berumur bawah 40 tahun, “Bah-Bincang Kita” hadir tepat pada waktunya — membuka ruang kepada anak muda untuk belajar, memimpin, dan menuntut semula suara mereka dalam politik negeri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *