Home / Berita / Dua mahasiswa UMS disiasat bawah Akta Hasutan

Dua mahasiswa UMS disiasat bawah Akta Hasutan

Dua mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah dipanggil polis untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, dipercayai berkaitan penyertaan mereka dalam demonstrasi Gempur Rasuah Sabah 2.0 yang berlangsung pada 21 Jun 2025 di hadapan Suria Sabah, Kota Kinabalu.

Surat rasmi bertarikh 4 Oktober 2025 yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menyatakan bahawa kedua-dua mahasiswa terbabit perlu hadir untuk rakaman percakapan pada 12 Oktober jam 9 pagi, di bawah siasatan yang dikendalikan oleh ASP Andi bin Abdul Kinu.

Salah seorang mahasiswa, Mohammad Fadhil bin Muhamad Kasim, memaklumkan bahawa beliau menerima surat tersebut melalui WhatsApp kira-kira jam 9 pagi — hanya 30 minit sebelum dijadualkan berucap dalam forum Pleno Penutup Progres25 di Melaka.

Menurut Fadhil, ini merupakan kali pertama beliau dipanggil lebih daripada sekali untuk siasatan yang sama. Beliau turut mempersoalkan motif dan masa siasatan yang muncul semula menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.

“Sebelum ini tidak pernah lagi soal siasat lebih dari satu kali untuk kes saya. Persoalannya, kenapa sambungan ini dibuat sekarang — ketika Sabah hampir ke pilihan raya?” katanya.

Demonstrasi Gempur Rasuah Sabah 2.0 sebelum ini disertai aktivis muda dan masyarakat sivil sebagai tindak balas terhadap dakwaan salah guna kuasa dan rasuah melibatkan beberapa pemimpin negeri. Perhimpunan tersebut diadakan secara aman di pusat bandar Kota Kinabalu dengan slogan menuntut ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pentadbiran negeri.

Insiden terbaru ini menimbulkan persoalan mengenai ruang kebebasan bersuara di Sabah serta kebebasan mahasiswa untuk menyertai advokasi awam tanpa ancaman siasatan di bawah undang-undang lapuk seperti Akta Hasutan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *