Home / Pendapat / Seni & Budaya / Hardcore Punk: Bukan Semua Jahat, Hanya Anak Kemanusiaan oleh Yusry Sulaiman

Hardcore Punk: Bukan Semua Jahat, Hanya Anak Kemanusiaan oleh Yusry Sulaiman

Asal menyebut Punk atau lebih ekstrem (Hardcore Punk)  mesti dianggap anak jahat dan rebel. Kebanyakkan anak muda yang berpakaian koyak, penuh rantai, menjerit di pentas dan mungkin sesat jalan hidupnya. Tak kurang juga yang melabel sebagai “sampah masyarakat” – benarkah begitu? Kalau kita mendengar , melihat dan merasai denyut nadi muzik ini secara lebih dekat, kita akan menemui sisi yang jarang oleh arus perdana. Ini merupakan satu ruang untuk anak-anak muda memprotes ketidakadilan, menjerit kerana tidak didengari dan mencari makna kemanusiaan dalam dunia yang kejam.

Hardcorepunk bukan sekadar jeritan dan distorsi tetapi meluahkan isi hati terhadap keadaan rakyat huru-hara.. Muzik ini dilahirkan dari 70an-80an yang berlaku reaksi terhadap sistem yang membungkam mata. Lagu ini keras, pantas dan penuh tenaga tetapi bukan sekadar untuk hiburan. Antara band tersebut seperti Minor Threat, Black Flag, Rage Against the Machines yang mengeluarkan lirik berani, anti-autoriti dan penuh kesedaran sosial.

Di Malaysia, gerakan ini bersifat bawah tanah turut menyaksikan kemunculan kugiran dan kolektif yang memperjuangkan isu pekerja, alam sekitar, pendidikan, rasuah dan ketempangan sosial. Konsert bukan sekadar tempat bergoyang tetapi ruang wacana alternatif tanpa protokol dan formaliti. Kebanyakan orang Punk melawan dengan jiwa sehingga ramai dalam kalangan masyarakat tidak tahu, bahawa dunia punk ada wujudnya Do-It Yourself ( DIY) yang sangat menghargai usaha sendiri, sokongan semasa komuniti, serta penolakan terhadap budaya konsumerisme melampau.

Band Daighila

Anak Punk bukan semua ‘sesat’ dan ‘tidak berguna kepada masyarakat’. Ada yang menjadi aktivitis, cikgu, fotografi jalanan, penyelidik, pensyarah, kerja pentadbiran dan seumpamanya. Malah penulis zine yang memikul semangat kemanusiaan lebih tinggi daripada mereka yang berjawatan besar. Dalam kolektif, mereka belajar solidariti bantu membantu dan membina dunia kecil yang adil dalam sistem yang tidak adil.

Lirik dalam hardcore punk bukan sekadar luahan kosong. Tetapi cuba mengangkat suara mereka yang terpinggir seperti pekerja kilang, anak miskin kota, orang asal kehilangan tanah, banduan yang teraniaya, remaja yang kehilangan arah kerana sistem pendidikan yang beku. Jeritan mereka dalam lagu bukan kerana suka tetapi tidak didengari. Antara band yang seperti Sarjan Hassan, Derita Terus, The Garisson,  Bad Idea,  Con-danm the Coruptor, Daighila dan banyak lagi band yang telah lama menyelitkan mesej-mesej kesedaran sosial dalam bait-bait lagu mereka.

Dalam lirik-lirik mereka yang pendek dan padat, ada tersembunyi peluru puitis yang menusuk jantung masalah sosial. Kita mendengar kerana dalam dunia penuh kemunafikan, punk adalah cerminan. Kadang-kadang ia hampir retak, kasar dan tidak selesa, tetapi jujur. Dalam kejujuran itu ada anak-anak muda yang membentuk nilai kemanusiaan lebih tulen dari mana-mana ucapan rasmi. Mereka tidak masuk dalam universiti tetapi mereka baca buku daripada Noam Chomsky , Paulo Freire. Mungkin mereka tidak pakai baju batik dan kemas tetapi mereka sangat hormat orang tua yang menyapa jalan. Mereka mungkin tidak hafal slogan negara tetapi mereka faham apa itu solidariti keadilan.

Kesimpulannya, jangan cepat menghukum hanya kerana tampak ‘keras, ‘kasar’, ‘ganas’ atau ‘garang’. Dalam kerasnya hardcore punk, ada kelembutan nilai kemanusiaan yang kita lupa. Dunia tidak perlukan lebih banyak wajah sopan yang palsu. Dunia perlukan lebih ramai anak punk yang berani menegur, berani peduli dan berani menjadi manusia.

(Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian filsufi.my)

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *