Pada 29 September lalu, Presiden Donald Trump Jr. telah mengemukakan sebuah kertas cadangan demi menghentikan perang antara Israel dan Hamas di Gaza. Ini butiran yang telah dikemukakan dan telah kami terjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.
- Gaza akan menjadi zon bebas keganasan dan bebas radikalisasi yang tidak mengancam negara jiran
- Gaza akan dibangunkan semula demi manfaat rakyat Gaza yang telah cukup lama menderita.
- Jika kedua-dua pihak bersetuju dengan cadangan ini, peperangan akan serta-merta ditamatkan. Pasukan tentera Israel akan berundur ke garisan yang dipersetujui untuk bersiap bagi pembebasan tebusan. Dalam tempoh ini, semua operasi ketenteraan, termasuk serangan udara dan artileri, akan digantung. Garis pertempuran akan kekal beku sehingga syarat-syarat bagi pengunduran berperingkat sepenuhnya dipenuhi.
- Dalam tempoh 72 jam selepas Israel secara terbuka menerima perjanjian ini, semua tebusan, sama ada yang masih hidup atau telah meninggal dunia, akan dipulangkan.
- Setelah semua tebusan dibebaskan, Israel akan membebaskan 250 banduan hukuman seumur hidup serta 1,700 warga Gaza yang ditahan selepas 7 Oktober 2023, termasuk semua wanita dan kanak-kanak yang ditahan dalam konteks itu. Bagi setiap tebusan Israel yang mayatnya dikembalikan, Israel akan menyerahkan mayat 15 warga Gaza yang telah meninggal dunia.
- Selepas semua tebusan dikembalikan, ahli Hamas yang berkomitmen kepada keamanan dan bersetuju untuk melucutkan senjata akan diberikan pengampunan. Ahli Hamas yang ingin meninggalkan Gaza akan diberi laluan selamat ke negara penerima.
- Apabila perjanjian ini diterima, bantuan kemanusiaan penuh akan segera dihantar ke Semenanjung Gaza. Sekurang-kurangnya, jumlah bantuan akan selaras dengan perjanjian 19 Januari 2025 mengenai bantuan kemanusiaan, termasuk pemulihan infrastruktur seperti air, elektrik dan kumbahan, pemulihan hospital dan kedai roti, serta kemasukan peralatan penting untuk membersihkan runtuhan dan membuka jalan.
- Kemasukan dan pengagihan bantuan di Semenanjung Gaza akan dijalankan tanpa gangguan daripada kedua-dua pihak melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi-agensinya, serta Bulan Sabit Merah. Selain itu, ia akan dibantu oleh institusi antarabangsa lain yang tidak berkaitan dengan mana-mana pihak. Pembukaan lintasan Rafah dalam kedua-dua arah akan tertakluk kepada mekanisme yang sama seperti dalam perjanjian 19 Januari 2025.
- Gaza akan ditadbir di bawah pentadbiran peralihan sementara oleh sebuah jawatankuasa teknokrat Palestin yang bersifat apolitikal, bertanggungjawab menjalankan perkhidmatan awam dan urusan perbandaran harian bagi rakyat Gaza. Jawatankuasa ini akan terdiri daripada rakyat Palestin berkelayakan dan pakar antarabangsa, dengan penyeliaan serta pengawasan oleh badan peralihan antarabangsa baharu, “Lembaga Keamanan (Board of Peace)”, yang akan diketuai oleh Presiden Donald J. Trump, bersama ahli-ahli lain dan ketua-ketua negara yang akan diumumkan kemudian, termasuk Bekas Perdana Menteri Tony Blair.
- Pelan pembangunan ekonomi Trump untuk membina semula dan menghidupkan semula Gaza akan diwujudkan dengan menubuhkan panel pakar yang pernah membantu membangunkan bandar-bandar moden yang berjaya di Timur Tengah. Pelbagai cadangan pelaburan dan idea pembangunan yang dikemukakan oleh kumpulan antarabangsa akan dipertimbangkan bagi menyepadukan keselamatan dan tadbir urus untuk menarik serta memudahkan pelaburan yang mewujudkan pekerjaan, peluang dan harapan untuk masa depan Gaza.
- Sebuah zon ekonomi khas akan ditubuhkan dengan kadar tarif dan akses istimewa yang akan dirundingkan bersama negara-negara yang mengambil bahagian.
- Tiada sesiapa akan dipaksa meninggalkan Gaza. Mereka yang ingin keluar bebas berbuat demikian serta bebas untuk kembali. Kami akan menggalakkan rakyat untuk kekal dan memberi mereka peluang membina Gaza yang lebih baik.Tiada sesiapa akan dipaksa meninggalkan Gaza. Mereka yang ingin keluar bebas berbuat demikian serta bebas untuk kembali. Kami akan menggalakkan rakyat untuk kekal dan memberi mereka peluang membina Gaza yang lebih baik.
- Hamas dan puak-puak lain bersetuju untuk tidak terlibat dalam pentadbiran Gaza, sama ada secara langsung, tidak langsung atau dalam apa jua bentuk. Semua infrastruktur ketenteraan, pengganas dan serangan, termasuk terowong dan kemudahan pembuatan senjata, akan dimusnahkan dan tidak akan dibina semula. Proses penyahmiliteran Gaza akan dilakukan di bawah penyeliaan pemerhati bebas, termasuk pelucutan senjata kekal melalui proses yang dipersetujui dan disokong oleh program pembelian semula dan penyepaduan semula (buy back and reintegration) yang dibiayai secara antarabangsa serta disahkan oleh pemerhati bebas. Gaza Baharu akan komited sepenuhnya untuk membina ekonomi makmur dan hidup secara aman bersama jiran-jirannya.
- Jaminan akan diberikan oleh rakan serantau untuk memastikan Hamas dan puak-puak lain mematuhi kewajipan mereka serta memastikan Gaza Baharu tidak menjadi ancaman kepada jiran atau rakyatnya sendiri.
- Amerika Syarikat akan bekerjasama dengan rakan Arab dan antarabangsa untuk menubuhkan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (International Stabilisation Force, ISF) sementara bagi dikerahkan segera ke Gaza. ISF akan melatih dan memberi sokongan kepada pasukan polis Palestin yang telah disemak latar belakangnya di Gaza, serta akan berunding dengan Jordan dan Mesir yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang ini. Pasukan ini akan menjadi penyelesaian jangka panjang bagi keselamatan dalaman. ISF akan bekerjasama dengan Israel dan Mesir untuk membantu mengamankan kawasan sempadan bersama pasukan polis Palestin yang baru dilatih. Ini penting bagi menghalang kemasukan senjata ke Gaza serta memudahkan aliran barangan dengan cepat dan selamat bagi membina semula serta memulihkan Gaza. Satu mekanisme penyahkonflik (deconfliction) akan dipersetujui oleh pihak-pihak terlibat.
- Israel tidak akan menduduki atau menggabungkan Gaza. Apabila ISF menegakkan kawalan dan kestabilan, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) akan berundur berdasarkan piawaian, penanda aras dan jangka masa yang berkait dengan proses penyahmiliteran. Hal ini akan dipersetujui antara IDF, ISF, negara penjamin dan Amerika Syarikat, dengan matlamat menjadikan Gaza selamat dan tidak lagi menjadi ancaman kepada Israel, Mesir atau rakyat mereka. Secara praktikal, IDF akan menyerahkan wilayah Gaza yang mereka duduki kepada ISF secara berperingkat mengikut perjanjian dengan pihak berkuasa peralihan, sehingga pengunduran penuh kecuali bagi kehadiran perimeter keselamatan yang akan kekal sehingga Gaza benar-benar bebas daripada ancaman keganasan yang berpotensi muncul semula.
- Sekiranya Hamas menangguh atau menolak cadangan ini, perkara di atas termasuk operasi bantuan berskala besar akan tetap diteruskan di kawasan bebas keganasan yang diserahkan daripada IDF kepada ISF.
- Satu proses dialog antara agama akan diwujudkan berdasarkan nilai toleransi dan hidup bersama secara aman bagi mengubah pemikiran serta naratif rakyat Palestin dan Israel dengan menekankan manfaat yang boleh diperoleh daripada keamanan.
- Sementara pembangunan semula Gaza dijalankan dan apabila program reformasi PA dilaksanakan dengan setia, keadaan akhirnya mungkin membolehkan wujudnya laluan yang boleh dipercayai ke arah penentuan nasib sendiri dan kenegaraan Palestin, yang diakui sebagai aspirasi rakyat Palestin.
- Amerika Syarikat akan menubuhkan dialog antara Israel dan Palestin bagi mencapai haluan politik ke arah kewujudan bersama yang aman dan makmur.




