Home / Berita / “Inikah janji Kerajaan Madani?” PSM kecam tindakan roboh rumah penduduk Kampung Papan

“Inikah janji Kerajaan Madani?” PSM kecam tindakan roboh rumah penduduk Kampung Papan

Operasi perobohan di Kampung Papan, Pandamaran, akhirnya bermula pagi ini (11/11/2025) selepas beberapa kali ditangguhkan, dengan kira-kira 20 rumah telah dirobohkan setakat tengah hari, termasuk enam rumah yang masih berpenghuni, menurut laporan Malaysiakini.

Tindakan itu menimbulkan kemarahan penduduk serta aktivis masyarakat yang mendakwa kerajaan tidak menepati janji untuk hanya merobohkan rumah kosong.
Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan, menyifatkan tindakan itu sebagai tidak berperikemanusiaan dan bercanggah dengan prinsip Kerajaan Madani yang sering menekankan nilai keadilan sosial.

“Inikah janji Kerajaan Madani? Mereka kata hanya rumah kosong akan dirobohkan, tapi hari ini rumah berpenghuni pun jadi mangsa. Ada antara mereka sudah tua dan sakit — ke mana mereka hendak pergi selepas ini?” kata Arutchelvan yang turut membantu penduduk menuntut pampasan lebih adil daripada pemaju.

Penduduk mendakwa mereka tidak diberi masa untuk mengeluarkan barangan keperluan, malah operasi dijalankan dengan kawalan ketat serta kehadiran jentolak dan pihak berkuasa.

“Kami minta masa untuk keluarkan barang, tapi mereka terus roboh. Barang-barang kami pun belum sempat diselamatkan,” kata seorang penduduk dalam video yang dikongsikan kepada media.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Selangor dilapor memberi komitmen untuk membina penempatan semula bagi 181 keluarga Kampung Papan, dengan projek dilaksanakan oleh anak syarikat kerajaan negeri dalam masa terdekat. Namun, pelaksanaan projek itu masih belum bermula.

PSM menuntut agar kerajaan negeri menghentikan sementara kerja perobohan sehingga rumah ganti benar-benar siap dan diduduki.

“Kalau mereka beri rumah ganti sebelum roboh, boleh diterima. Tapi kalau diroboh tanpa jaminan tempat tinggal baharu, itu zalim,” tegas Arutchelvan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *