Sebahagian besar pengundi Sabah, khususnya golongan muda, dijangka membuat pilihan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 berdasarkan calon dan bukan parti, menurut dapatan kajian oleh Institut Penyelidikan Pembangunan (IDE) Research Centre.
Kajian yang diketuai oleh Prof Emeritus Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman, mendapati 66.5% responden memilih berdasarkan calon, manakala hanya 33.5% berpaksikan parti politik.
“Generasi muda tidak ada loyalty kepada parti. Mereka menilai berdasarkan tawaran masa depan yang diyakini dan keperibadian calon,” katanya ketika membentangkan Kajian Landskap Persepsi Rakyat Untuk Kesejahteraan dan Pembangunan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Kajian IDE turut mendedahkan bahawa 27% pengundi di Sabah merupakan pengundi atas pagar, menjadikan mereka kumpulan paling kritikal yang boleh menentukan kemenangan mana-mana calon.
Tempoh kempen dua minggu akan datang dianggap paling penting dan strategik bagi parti-parti untuk menyampaikan naratif meyakinkan kepada golongan muda.
“Tempoh kempen hanyalah mekanisme, tetapi bagaimana meyakinkan pengundi untuk keluar mengundi — itulah yang menentukan kemenangan calon,” tambahnya.
Kajian yang dijalankan di 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah antara 21 Julai hingga 29 Ogos lalu itu melibatkan 2,488 responden pelbagai umur dan latar belakang.
Selain faktor calon, pengundi Sabah dilihat memberi perhatian besar terhadap tiga isu utama: gangguan air dan elektrik, keadaan jalan raya serta infrastruktur, dan peningkatan kos sara hidup.
Namun begitu, Redzuan berkata majoriti rakyat Sabah masih mengiktiraf usaha kerajaan negeri dan Persekutuan sebagai satu sinergi penting dalam memperbaiki keadaan semasa secara berperingkat.
Kajian ini turut disertai oleh penyelidik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) termasuk Prof Dr Abdullah Bade, Prof Dr Murnizam Halik, serta pasukan penyelidik IDE yang diketuai oleh Dr Khairul Arifin Mohd Munir dan Dr Kamarul Bahrin Zahid.




