Home / Berita / Liga Rakyat Demokratik akan bawa usul tergempar isu rasuah dalam Kongres Anak Muda 2025

Liga Rakyat Demokratik akan bawa usul tergempar isu rasuah dalam Kongres Anak Muda 2025

Kuala Lumpur, 14 Disember 2025 — Liga Rakyat Demokratik (LRD) memaklumkan akan membawa satu Usul Tergempar berkaitan isu rasuah negara ke Kongres Anak Muda 2025, sebagai tanda keseriusan anak muda menuntut reformasi yang menyeluruh dan berintegriti.

Menurut kenyataan media LRD yang disiarkan di Facebook, gerakan itu berpandangan bahawa situasi rasuah di Malaysia kini semakin membimbangkan, manakala usaha reformasi institusi yang dilaungkan kerajaan MADANI dilihat gagal memenuhi jangkaan rakyat.

LRD dalam kenyataannya menyatakan bahawa individu yang mempunyai rekod, kontroversi dan dakwaan rasuah masih diberikan ruang, perlindungan serta kedudukan kuasa, sekali gus menghantar mesej berbahaya bahawa rasuah boleh dimaafkan selagi ia menguntungkan politik.

Kenyataan itu turut menyentuh isu integriti di peringkat tertinggi kerajaan, termasuk dakwaan yang membabitkan Setiausaha Politik Perdana Menteri, yang menurut LRD mencerminkan kegagalan kepimpinan negara mengawal serta menapis penasihat politik.

Dalam masa yang sama, LRD mengkritik pengendalian skandal rasuah di Sabah yang disifatkan terlalu perlahan dan tidak meyakinkan, sekali gus menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap keadilan dan penguatkuasaan undang-undang.

LRD juga menyatakan bahawa kedudukan Tan Sri Azam Baki yang masih kekal sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM terus menjadi simbol krisis kepercayaan terhadap institusi antirasuah negara, selagi isu integriti kepimpinan SPRM tidak diselesaikan secara tuntas.

Gerakan itu menegaskan bahawa kesabaran rakyat semakin menipis dan memberi amaran bahawa sekiranya kerajaan terus gagal bertindak tegas dan jujur dalam memerangi rasuah, mereka tidak menolak kemungkinan untuk turun ke jalan raya bersama rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *