Home / Berita / Wawancara / Orang Sabah bukan “budak suruhan”, aktivis DNA63 balas PMX

Orang Sabah bukan “budak suruhan”, aktivis DNA63 balas PMX

Pengasas gerakan DNA63, Irwan Idris, menegaskan bahawa perjuangan menuntut hak 40% hasil cukai Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak berkisar tentang siapa Perdana Menteri, tetapi tentang janji perlembagaan yang masih belum ditunaikan.

Dalam kenyataan susulan selepas lawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim (PMX) ke Gaya Street pada Ahad, Irwan menjelaskan bahawa kehadiran mereka untuk kempen #40KASIBALIK bukan bertujuan memprovokasi atau mencetuskan konfrontasi politik.

“Tiada langsung niat untuk provok PMX atau mahu buat serangan politik. Kalau kami tiba lebih awal, pasti kami akan dilihat sebagai geng pengacau,” katanya.

Menurutnya, jawapan PMX kepada seorang rakyat Sabah bertopi merah ketika bertembung di Gaya Street — yang membangkitkan isu 40% hasil — menunjukkan bahawa kerajaan sedar akan tanggungjawab besar yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu.

Namun, Irwan menyifatkan kenyataan PMX bahawa isu tersebut telah diselesaikan “secara politik” sebagai “pandangan yang belum menutup persoalan undang-undang dan perlembagaan.”

“Video itu bukti bahawa secara tindakan politik, PMX sebenarnya anggap hal 40% sudah selesai. Tapi dalam urusan perlembagaan, belum,” jelasnya.

Irwan turut menyeru rakyat Sabah agar “belajar dan faham sendiri” berapa jumlah sebenar hasil yang dikutip Persekutuan di Sabah setiap tahun, serta menolak naratif bahawa perbelanjaan kerajaan pusat untuk pertahanan, pendidikan, atau infrastruktur dianggap sebagai ganti kepada tuntutan 40%.

“Kami tahu satu perkara — MA63 bukan penyerahan Koloni British kepada Malaya untuk menjadi koloni tanpa Perlembagaan. Sabah sudah ada ‘Self Government’ sejak 1963,” tegasnya sambil merujuk dokumen rasmi British Order in Council bertarikh 29 Ogos 1963, yang memperincikan status Sabah sebelum pembentukan Malaysia.

Dalam kenyataannya, Irwan menggunakan analogi mudah bagi menggambarkan kedudukan Sabah dalam MA63:

“Kalau tadika itu koloni, adakah bila budak tadika masuk sekolah rendah, dia masih budak tadika? Begitu juga Sabah — sudah naik peringkat sejak 1963.”

Irwan menutup kenyataannya dengan gesaan keras kepada pengundi Sabah menjelang PRN 2025, agar tidak lagi menyerahkan mandat kepada “budak suruhan” yang tunduk kepada arahan luar:

“Pilihan raya kali ini, jangan bagi undi kita sama budak diorang yang akan ikut arahan di Dewan Undangan. Orang Sabah sudah perlu berhenti jadi budak suruhan.”

Kempen #40KASIBALIK anjuran DNA63 akan diteruskan sebagai sebahagian daripada usaha advokasi rakyat Sabah menuntut pelaksanaan penuh MA63, khususnya hak 40% hasil negeri.

🔗 Maklumat lanjut: dna63.com/step/40-kasi-balik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *