Home / Berita / Semasa / Sasterawan Rejab F.I Meninggal Dunia

Sasterawan Rejab F.I Meninggal Dunia

Kangar — Dunia sastera tanah air kehilangan seorang tokoh penting apabila penerima Anugerah Sastera Asia Tenggara (SEA Write Award) 2016, Rejab Ismail atau lebih dikenali dengan nama penanya Rejab F.I, meninggal dunia awal pagi tadi pada usia 84 tahun.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 3.50 pagi di kediamannya di Tanjung Gorah, Repoh, Kangar akibat sakit tua, di sisi isteri tercinta, Fatimah Taha, 82, serta anak-anaknya. Jenazah beliau dijangka disolatkan di Masjid Tun Abdul Razak, Repoh sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Kembung, Kampung Repoh.

Dilahirkan pada 12 September 1941 di Kampung Bongkok, Padang Lati, Kangar, Rejab F.I bukan sahaja dikenang sebagai seorang pendidik, tetapi juga tokoh besar dalam dunia sastera Melayu. Beliau pernah menghasilkan ratusan karya merangkumi 202 cerpen, 438 puisi, 328 esei, 20 drama radio, 15 drama televisyen serta empat drama pentas.

Beberapa buah karya beliau turut terpilih sebagai teks Komponen Sastera (KOMSAS) dan teks Kesusasteraan Melayu misalnya novel Sejambak Bakti (teks KOMSAS Tingkatan Satu Zon Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, dan Johor)

Sumbangan beliau diiktiraf melalui pelbagai anugerah, antaranya Hadiah Sastera Nasional 1971, Hadiah Sastera Esso-Gapena 1985, Tokoh Budaya Gapena, serta Tokoh Bahasa dan Sastera Perlis 2013.

Pemergian Rejab F.I meninggalkan satu kekosongan besar dalam dunia kesusasteraan tanah air. Karya dan jasa beliau akan terus dikenang sebagai warisan berharga buat generasi kini dan akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *