Home / Berita / SAWO gesa kerajaan Sabah lantik YB wanita sebagai menteri penuh, tepati janji pemerkasaan wanita

SAWO gesa kerajaan Sabah lantik YB wanita sebagai menteri penuh, tepati janji pemerkasaan wanita

KOTA KINABALU — Sabah Women’s Action–Resource Group (SAWO) menggesa kerajaan negeri yang baharu dibentuk supaya menunaikan komitmen pemerkasaan wanita yang dijanjikan sepanjang kempen PRN17 — termasuk memastikan pelantikan menteri penuh wanita serta jawatan berkuasa dalam struktur pentadbiran negeri.

Dalam kenyataan visual yang dimuat naik di Instagram, SAWO menegaskan bahawa wanita membentuk 50% populasi Sabah, namun kuasa politik mereka masih “terlalu tipis” dan tidak seimbang dengan peranan besar yang dimainkan dalam keluarga, komuniti dan ekonomi negeri.

SAWO turut mengucapkan tahniah kepada lima YB wanita yang memenangi kerusi DUN dalam PRN17, namun menekankan bahawa kemenangan ini tidak memadai jika kerajaan baharu tidak memberikan mereka ruang kuasa sebenar dalam Kabinet Sabah.

Organisasi itu turut mengingatkan kerajaan mengenai janji yang dibuat parti-parti ketika kempen, antaranya:
• 30% pimpinan wanita dalam Kabinet Sabah, GLC dan kepimpinan tempatan (janji PH).
• Penubuhan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Sabah (janji BN).

“Tiada alasan untuk kerajaan baru tidak lantik wanita jadi menteri penuh. YB wanita mempunyai rekod prestasi, pengalaman dan kelayakan,” tegas SAWO.

SAWO menekankan bahawa Sabah akan rugi sekiranya separuh daripada rakyatnya tidak diberikan suara dan penyertaan penuh dalam penentuan masa depan negeri.

Organisasi itu mendesak kerajaan baharu mengambil tindakan segera dan bukan sekadar mengulangi slogan “pemerkasaan wanita” tanpa pelaksanaan yang nyata.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *