Sandakan Bundle Day (SBD) 2025 kembali untuk edisi kelima dengan penganjuran selama lima hari berturut-turut, menghimpunkan lebih 60 vendor bundle dari seluruh Sabah serta persembahan muzik melibatkan legenda muzik alternatif Malaysia.
Menurut penganjur, SBD 5 akan berlangsung dari 31 Disember 2025 hingga 4 Januari 2026, setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah malam, bertempat di tapak parkir IJM Batu 6, Sandakan. Selain jualan bundle, acara ini turut menampilkan vendor makanan, kopi dan jenama tempatan.
Bagaimanapun, penganjur memaklumkan bahawa disebabkan kesuntukan masa dan beberapa perkara tidak dijangka pada saat akhir, pengisian acara tahun ini difokuskan kepada jualan vendor dan konsert muzik, tanpa aktiviti sampingan lain.
Tema ‘Selam Sampai Lemas’, Bundle Untuk Semua
SBD 2025 tampil dengan tema “Selam Sampai Lemas”, menggambarkan kepelbagaian barangan bundle yang ditawarkan. Antara barangan yang boleh didapati termasuk pakaian dari kaki ke kepala, barangan vintaj, streetwear, skate, merchandise band dan filem, jenama mewah, kelengkapan tentera vintaj serta barangan rumah dan keperluan harian.
Penganjur menjelaskan bahawa acara ini terbuka kepada semua peringkat umur, dengan vendor yang terlibat merangkumi kolektor, penjual barangan terpilih, serta peniaga tamu, menjadikan SBD sebagai ruang inklusif untuk komuniti bundle dan masyarakat umum.
Emmet Butterfingers & Radhi OAG Hangatkan Pentas
Antara tarikan utama SBD 2025 ialah persembahan artis legenda iaitu Emmet Butterfingers dan Radhi OAG.
Menurut penganjur, pemilihan kedua-dua artis dibuat secara spontan namun bertepatan dengan identiti SBD yang menggabungkan fesyen dan muzik. Butterfingers dianggap perintis grunge tempatan, manakala OAG pula legenda muzik alternatif Malaysia yang dekat dengan generasi awal 2000-an di Sandakan.
Emmet Butterfingers dijadualkan membuat persembahan pada 31 Disember 2025, bersempena sambutan ambang tahun baharu, manakala Radhi OAG akan tampil pada hari terakhir acara, 4 Januari 2026. Emmet akan diiringi oleh band Melodychain, sementara Radhi bersama Spirit of Mercy. Persembahan turut disokong oleh beberapa band tempatan seperti Old Slip Way (Kota Kinabalu), Kimia (Sandakan) dan Kairose (Sandakan).
Satukan Komuniti Bundle Sabah
Mengulas tujuan penganjuran, penganjur menegaskan bahawa SBD dianjurkan untuk mengeratkan silaturahim antara peniaga dan peminat bundle di seluruh Sabah. Memandangkan acara ini hanya diadakan setahun sekali, SBD diibaratkan sebagai “hari raya” bagi komuniti bundle untuk berkumpul dan meraikan minat bersama.
Hasrat Jadikan SBD Acara Tahunan Rasmi
Bagi perancangan jangka panjang, penganjur menyatakan hasrat menjadikan SBD sebagai acara utama di Sabah dan berharap pihak berkuasa tempatan dapat menyokong usaha ini dengan memasukkan SBD ke dalam kalendar acara tahunan rasmi.
Penganjur turut menyuarakan keperluan sokongan kerajaan dalam menyediakan tapak jualan seperti car boot sale, khususnya untuk membantu peniaga muda bertahan dan berkembang di bandar Sandakan.
“Long live bundle,” tegas penganjur, sambil menyatakan komitmen untuk terus membina ekosistem industri kreatif dan bundle di Sabah.
Sumber: Temu bual bersama penganjur Sandakan Bundle Day (SBD).




