Home / Pendapat / Seni & Budaya / Seni & Pelancongan Malaysia: Dua Sayap Yang Tidak Pernah Terbang Seiring

Seni & Pelancongan Malaysia: Dua Sayap Yang Tidak Pernah Terbang Seiring

Malaysia sedang menyusun semula industri pelancongannya. Ketibaan pelancong meningkat, ekonomi kembali bertenaga, dan bandar-bandar utama semakin sibuk. Namun dalam hiruk-pikuk perkembangan ini, ada satu ironi besar: industri seni tidak tumpang naik walaupun pelancongan sedang meningkat maju. 

Sepatutnya seni menjadi wajah, jiwa dan denyut nadi destinasi pelancongan. 

Industri pelancongan mencatat pendapatan tinggi dan ketibaan pelancong yang semakin meningkat. Namun pelukis, galeri, pereka, penari, pengkarya teater dan komuniti seni tetap berdepan masalah. 

Di banyak negara, seni jalanan menjadi tarikan, pasar seni menjadi jantung bandar, festival budaya menjadi tarikan pelancong, pameran seni menjadi agenda pelancongan nasional.

Di Malaysia?

Kebanyakan pembangunan pelancongan fokus kepada restoran, pusat beli-belah, taman tema, atau struktur fizikal. Seni hanya diminta bila perlu mengisi ruang kosong.

Pelukis Malaysia sering dirai bila ada acara. Tetapi mereka jarang diberi zon seni kekal, studio terbuka, pasar seni hidup, sebarang insentif bekerja di lokasi pelancongan dan juga platform jualan profesional.

Akhirnya pelukis bekerja secara sambilan, seni jadi bisnes bermusim, dan pelancong tidak melihat “seni Malaysia” sebagai pengalaman.

Kalau di negara jiran contoh, ya di Bandung ada identiti kreatif. Jogja ada budaya seni jalanan yang hidup. Seoul ada budaya pop & seni kontemporari. Tokyo ada budaya ilustrasi dan festival bandar.

Melaka, Penang, Kuala Lumpur, semua punya potensi kuat. Tetapi tanpa pelukis mengisi ruang, identiti seni Malaysia tidak dapat dihargai.

Pelancongan memerlukan kreativiti. Seni memerlukan kebebasan.

Tetapi banyak projek pelancongan diurus secara birokratik iaitu secara berlapis, perlahan, takut eksperimen, dan terlalu formal.

Bagaimana Malaysia Boleh Selaraskan Seni & Pelancongan? 

1. Jadikan Seni Sebagai Produk Pelancongan Utama

Seni mesti berada dalam pakej pelancongan rasmi: “Street Art Tour”, “Caricature Walk”, “Melaka Creative Night Market”, “Malaysia Art Month”

2. Wujudkan Ruang Kekal Untuk Artis

Setiap bandar pelancongan mesti ada: Art Street, Creative Plaza, Open Studio District, Pasar Karya hujung minggu.

Ruang ini menjaga identiti bandar.

3. Bayar Artis Sebagai Tenaga Profesional

Pelukis bukan “hiburan percuma”. Bayaran profesional menarik artis berkualiti, mewujudkan piawaian dan meningkatkan reputasi pelancongan.

4. Wujudkan Program Residensi Artis Antarabangsa

Biarkan bandar-bandar Malaysia menjadi lokasi inspirasi artis dunia. Pelancongan meningkat, seni berkembang, identiti budaya mengukuh.

5. Pengurusan pelancongan perlu melibatkan artis

Bukan hanya kontraktor, agensi, dan pegawai. Identiti seni mesti dipandu oleh orang seni.

Industri pelancongan Malaysia memang sedang maju. Tetapi seni masih belum mendapat tempat sewajarnya.

Jika Malaysia mahu menjadi destinasi pelancongan dunia  yang punya identiti budaya yang kuat seperti Indonesia, Jepun, Korea dan Thailand, industri seni perlu bangkit, selaras majunya industri prlancongan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *