KOTA BELUD — Anak muda gerakkan kempen “Anak Sabah Balik Mengundi” sempena PRN-17
Kumpulan anak muda HAI MANDAK! melancarkan kempen “Anak Sabah Balik Mengundi” bagi membantu golongan belia Sabah yang berada di luar daerah untuk pulang mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan pagi ini, kempen tersebut muncul selepas luahan ramai anak muda yang mengadu harga tiket penerbangan terlalu mahal menjelang PRN. HAI MANDAK! menyifatkan isu ini sebagai hal serius kerana lebih 900,000 belia — bersamaan 54% pengundi Sabah — merupakan kingmaker yang berpotensi menentukan hala tuju politik negeri.
Selain membantu dari segi crowdfunding untuk tiket pulang, mereka turut menggerakkan siri kelas literasi politik melalui program “Kelas Ko Ada Kuasa Bah!” (KKAKB) di Kota Kinabalu, Kota Belud dan Kudat. Program ini bertujuan membimbing belia memahami struktur kerajaan, hak pengundi, serta isu kuasa undi dalam bahasa yang mudah dan dekat dengan anak muda.
“Kalau ribuan anak muda tidak dapat balik hanya sebab tiket, suara belia Sabah akan senyap pada hari mengundi,” kata wakil HAI MANDAK!
Sehingga 6 Oktober, 846 anak muda telah mendaftar dalam fasa pertama kempen ini, melibatkan sekurang-kurangnya 17 sesi KKAKB secara fizikal dan dalam talian. Inisiatif itu turut disertai siri kandungan digital bertajuk “30 Hari, 30 Konten PRN” serta Tour Ko Ada Kuasa Bah! yang menjelajah beberapa daerah di Sabah.
HAI MANDAK! yang digerakkan oleh empat anak muda dari Kota Belud pada Februari lalu menegaskan bahawa kempen ini dijalankan secara bebas, tanpa dana daripada mana-mana parti politik.
“Kami percaya, orang terbaik untuk bercakap dengan anak muda ialah anak muda itu sendiri,” tambah kenyataan itu.
Untuk maklumat lanjut, HAI MANDAK! boleh dihubungi di media sosial mereka di @haimandak (TikTok, Instagram, Facebook, YouTube) atau melalui emel haimandak3@gmail.com.




