Home / Rawcast / TEMUBUAL | Suara Mahasiswa UMS: Sedekad Gerakan Mahasiswa Radikal

TEMUBUAL | Suara Mahasiswa UMS: Sedekad Gerakan Mahasiswa Radikal

Salam juang, Suara Mahasiswa (selepas ini disebut SM). Rugi rasanya kalau tidak mendokumentasikan gerakan radikal Suara Mahasiswa yang mengakar dari Universiti Malaysia Sabah (UMS). Apa khabar kalian?

J: Salam Filsufi. Alhamdulillah, masih hidup dan sihat. Masih begini begitu saja. Begini begitu sejak awal ia dibentuk pada 2015, sehingga ke hari ini. Ia adalah sebuah perjalanan meneroka dunia yang luar biasa, lebih lebih lagi sifat kemahasiswaan yang cuma bergantung dengan kerangka tiga empat tahun zamannya, juga gerakan yang cukup rapuh kewangannya, tumbuh subur dengan ekonomi mandiri yang serba sederhana. Begitu juga tekanan yang hadir, bukan alang-alang juga kegilaannya. Orang-orangnya pula, sebentar gembira. Kemudian kecewa. Ada masa takut. Namun hampir kebanyakan masa akan marah. Marah dengan pelbagai perkara. Seperti telapak kaki itu sentiasa mahu dilatu pada tar jalanraya. Baunya, bunyinya, suasanya sentiasa memanggil-manggil.

Foto: Suara Mahasiswa

Bah, ceritakan kepada semua pembaca, asal usul SM, line up & keanggotaan dan apa tujuan kamu wujud di tengah masyarakat? 

J: Suara Mahasiswa UMS dibentuk sekitar tahun 2015. Ketika itu iklim politik tanahair cukup hangat dengan penolakan demi penolakan terhadap regim UMNO Barisan Nasional dibawah pimpinan Perdana Menteri Najib Razak. Sabah turut tidak ketinggalan dengan kemarahan terhadap Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang telah terlalu lama memegang tampuk pemerintahan sementara negeri ini terus celaka dimamah kerosakan, rapuh hancur dek kerana korupsi, kronisme dan salahguna kuasa. Saya masih ingat pada 2016, negara ini digemparkan dengan penemuan RM112 juta dalam skandal rasuah Jabatan Air Negeri Sabah, siapa sangka akibat daripada skandal jijik itu menepati ramalan ramai. Natijahnya, ia mengheret Negeri Sabah termasuk institusi pendidikan terbesarnya, Universiti Malaysia Sabah menghadapi krisis bekalan air yang berpanjangan. Yes, a long last water woes! Berbalik kepada persoalan, senario ataupun ‘scene’ di Malaysia pada ketika itu cukup hangat dengan penerbitan buku indie, pergerakan masyarakat sivil, debat di media sosial, diskusi di kedai makan, sekaligus menghidupkan ruang wacana lokal di daerah masing-masing. Kemudian semangat wacana tadi menerobos masuk ke ruang universiti. Seingat saya, negara ketika itu sememangnya menumpu ke arah perjuangan terhadap meruntuhkan regim yang sudah cukup lama berkuasa di Malaysia, UMNO – Barisan Nasional. Namun perlu diingat, meskipun terdapat punca kuasa yang menjadi pusat utama penentangan, masalah masalah di bawah inilah yang sebenarnya banyak mencetus renungan panjang. Kemiskinan, keciciran pendidikan, krisis tanpa negara, peluang pekerjaan, rasuah, macam-macam! Ruang wacana politik, sastera, indie, dan apa sahaja jalur kiri dan progresif itu mencipta sebuah angin lintang, meniup bayu kecil yang perlahan-lahan memarakkan api semangat, membakar hangus sebuah leka sehingga terbentuknya organisasi Suara Mahasiswa UMS. Para komrad yang kebanyakannya mahasiswa Fakulti Seni itu tumbuh subur dengan lenggok onar dan tidak mahu berbasa basi, segar menghirup udara hari-hari awal pembentukan organisasinya. Ia wujud untuk mencabar status quo pimpinan universiti, samada pimpinan perwakilan pelajar atau pentadbirannya, sekaligus perlahan-lahan merangkul kelompok kecil yang terpinggir di luar tembok kampus.

Suara Mahasiswa pernah menang dalam Pilihan Raya Kampus? Apa pengalaman kamu bertempur dalam politik kampus? Bersih atau kotor macam Pilihan Raya Umum di luar? HAHAHA

J: Jawapan ini saya tulis ketika Suara Mahasiswa UMS umum akan bertanding dalam Pilihan Raya Kampus 2025/ 2026. Bertempur dalam scene politik kampus merupakan sebuah pengalaman yang mengasyikkan. Asyik bukan kerana perkara itu perlu disukai atau dijadikan hobi, tetapi dapat benar-benar melihat bahasa tubuh dan gaya bicara orang-orang yang khayal dengan kuasanya. Suara Mahasiswa UMS melahirkan sebuah sudut pandang bahawa selain untuk menang dan naik ke kerusi kuasa, pentas bersistem PRK yang didanai universiti itu harus ditunggang sebaiknya kemudian disampai-sampaikanlah segala suara yang terbuku kepada warga universiti yang menyaksikannya. Menyambung alasan itu, saya mahu petik tulisan Pak Shahnon dalam novel kegemaran saya ‘Seluang Menodak Baung’, “Dia tidak mampu mendera segala urat saraf itu setiap detik siang malam. Akhirnya akan tiba juga had kekuatan tenaga itu. Tapi, jeritan-jeritan itu hanya sekadar membuak dan bengkak di dalam, bernanah membendung penderitaan dan beranak punat menatang seksaan. Tidak pernah dicarinya jalan keluar. Jeritan-jeritan itu perlu diluahkan biar bahananya meletup ke setiap penjuru negara, biar membengang segala gegendang telinga rakyat”. Jika politik peringkat nasional dianggap kotor, begitu juga ia berakar masuk mencapah, berselerak di ruang universiti. Cantas mencantas, penggunaan dana parti politik, kempen Aspirasi yang terus bermewah-mewah, serta sistem undi yang terus diragui. Negara yang masih mengamalkan sistem undi fizikal pun sesekali ditentang besar kaedah pelaksanaannya, inikan pula universiti yang mencuba-cuba sistem e-voting, pasti menimbulkan syak wasangka besar terhadap kejujurannya. Generasi demi generasi menyaksikan Suara Mahasiswa juga pernah memenangi kerusi PRK dan masuk ke dalam struktur Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), namun belum pernah bahkan mungkin terlalu sukar, sehinggakan timbul pandangan bahawa Suara Mahasiswa UMS tidak akan pernah mengetuai struktur MPP itu sendiri. Disebabkan itulah Suara Mahasiswa UMS tidak pernah berlama-lama untuk kecewa terhadap sebarang kekalahan, kerana dari sudut lain struktur ini sudah cukup besar dan ampuh untuk menghadapi setiap perkara di hadapannya. Cukup mengarut jika ada pandangan yang melihat Suara Mahasiswa sebagai entiti yang cuma hadir ketika musim PRK dan terhegeh-hegeh merebut jawatan MPP. Ruang hidup tidak diciptakan sehina itu untuk bergerak dan terus bergerak. 

OK. Ada yang cakap SM dan Borneo Komrad adalah organisasi yang sama. Apa hubungan kamu? 

J: Saya fikir orang selalu memberi tanggapan salah bahawa setiap penggerak mahasiswa sering berdilema dengan persoalan seperti ‘selepas universiti itu perlu ke mana’? Kemudian terbit idea untuk masuk ke mana-mana kumpulan masyarakat sivil atau terus meneroka peluang-peluang lain di lapangan kerja. Sebenarnya tidak, semua aktivis Suara Mahasiswa pada awal pembentukannya juga melalui era ‘tamat pengajian’. Namun, setiap renungan sepanjang berperang dengan kehidupan universiti itu dirangkul dengan cukup baik, dikutip satu persatu sehingga menjadi pantang untuk setiap pengalaman itu tercicir. Renungan semasa era menjadi mahasiswa itu pelbagai dan berselerak. Berlawan dengan polis bantuan, bergocoh dengan Aspirasi, bertempur dengan pentadbiran universiti, demonstrasi, turun ke masyarakat terpinggir, menemui kelompok masyarakat miskin, menghayati anak-anak yang keciciran pendidikan, menjadi saksi melihat sebuah keluarga yang bertahan hidup meniti kehancuran dek kerana status mereka yang tidak bernegara. Semua itu menghadirkan persoalan besar sehinggalah Borneo Komrad lahir. Meskipun selepas tamat era ijazah sarjana, kita masih memiliki ruang berkumpul dalam sebuah kolektif dan meneruskan pergerakan masyarakat kelas terbawah ini untuk dibela. Borneo Komrad lahir dari rahim Suara Mahasiswa.

Ceritakan advokasi dan kerja akar umbi yang digerakkan oleh SM di luar kampus? Bersama komuniti, politik atau gerakan intelektual. 

J: Sejak awal pembentukannya, Suara Mahasiswa tidak pernah membataskan diri dalam lingkungan kampus semata-mata. Gerakan ini melihat kampus sebagai tapak intelektual, tetapi realiti kehidupan sebenar berlangsung di ruang komuniti. Bercampur dengan masyarakat kelas pekerja, bergaul dengan anak-anak keciciran pendidikan. Bahkan, menyertai medan wacana politik dan sosial yang lebih luas. Justeru, Suara Mahasiswa turun ke lapangan untuk menghubungkan kesedaran idealisme dengan denyut nadi rakyat di bawah. Kampung Teluk Layan merupakan komuniti yang paling dekat dengan Suara Mahasiswa. Sebuah kampung yang bertapak puluhan tahun lamanya, bertahan di pinggiran bandaraya, dikeliling gedung-gedung raksasa, Menara PPNS, Banguan DUN dan UMS itu sendiri. Sekolah Alternatif Teluk Layan ditukang sejak 2016 sehingga ke hari ini, memberi mesej besar kepada umum bahawa pemerintah masih gagal memberi keadilan dan pendidikan kepada komuniti semacam mereka, yang miskin, tergusur sedangkan setiap hari bekerja keras menumpahkan peluh membangunkan ekosistem dan ekonomi negeri. Saya cukup gemar menekankan perkara ini. Tetapi advokasi tidak semata tertumpu di sini, sahabat. Suara Mahasiswa turut menggerakkan siri demonstrasi dan kempen antirasuah seperti Himpunan Gempur Rasuah Sabah, Himpunan Kami Mahu Air, Himpunan Pandang Ke Sabah, Himpunan Pertahankan Kg. Teluk Layan, Himpunan Bantah Rampasan Bilik Gerakan KARMA, Himpunan JusticeForZara, Himpunan Solidariti Sumud Flotila dan banyak lagi. Bentuk demonstrasi, perhimpunan, flashmob atau apa sahaja terma panggilannya, ia merupakan satu bentuk aksi yang wajib dibuat setiap manusia berfikir. Aksinya, gema suaranya cukup pantas untuk sampai ke cuping telinga menteri di atas sana. Terdapat waktu dimana wakil wakil komuniti menghubungi Suara Mahasiswa untuk menggerakkan siri tuntutan rakyat di kawasan mereka. Seingat saya, komuniti di Kampung Kebagu Kota Kinabalu dan komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Kinarut Ria Papar, mereka berhubung terus dengan kami, kemudian merintih soal masalah bekalan air yang cukup kritikal di kawasan mereka. Bahkan, komuniti Kampung Jimpangah Beaufort turut berkomunikasi dengan Suara Mahasiswa lantas menzahirkan situasi perobohan dan penggusuran rumah oleh Kerajaan GRS di kampung itu.

Kamu rasa, rupa radikal SM (eh, kamu setujukah digelar radikal?) mula menonjol waktu kamu memimpin Protes Kami Mahu Air diikuti Protes Gempur Rasuah Sabah 1.0 dan 2.0. Rakyat Sabah semua ikut naratif perlawanan yang kamu kemudi. Ceritakanlah sikit blueprint perlawanan kamu ketika itu? (apa yang membawa kepada protes jalanan dan perlawanan aksi langsung ketika itu)

J: Semangat anak muda lahir daripada dua perkara, fizikalnya dan jiwanya. Kekuatan fizikal ini sememangnya dibuktikan dalam unsur biologi bahawa usia muda sebagai waktu yang mana anggota tubuh dapat digunapakai secara optimal. Sementara itu, jiwa pula meronta-ronta meneroka dunia. Kata Gie, nasib yang terbaik adalah mati muda. Kerana orang muda tidak terdedah banyak kepada mehnah dan segala perkara jahat tadi. Bahkan sejak kecil ia diajarkan sunnah, pahala dosa, pedoman, kebaikan dan segala bentuk nilai murni. Justeru, jiwa anak muda yang polos ini pasti bergetar hebat melihat ketidakadilan dan penindasan yang berlaku di depan mata. Pentadbiran universiti pula mendidik warganya untuk bersopan santun dalam semua perkara. Ini perkara bullshit dan tidak dapat saya terima. Selain cara perintah dan sistem ekonomi, imperialis meninggalkan butir-butir halus sopan santun, adab dan diplomasi sebelum menyerahkan negara ini untuk merdeka. Saya setuju sopan santun dan adab sebagai sebuah nilai murni. Namun ia dimanipulasi lantas menjadi sopan santun elit untuk mengaburi pembodohan massa. UMS telah menghadapi krisis bekalan air yang berlanjutan lama. Daripada rampasan wang korupsi JANS, kita menyaksikan skandal rasuah Sabah tersebar-sebar di serata negara. Lebih-lebih lagi ketika koruptor nombor 1 Sabah, Musa Aman yang tersungkur dihumban rakyat pada 2018 dahulu, kini comeback merajai istana negeri sekaligus menjadi Canselor UMS. Bukankah ia satu penghinaan besar kepada institusi pendidikan terbesar di negeri ini? Rentetan peristiwa tadi, kedengaran bunyi gendang yang amat kuat dipalu, semacam seruan tunggal untuk kita turun memerangi para koruptor celaka ini. Demikianlah misteri yang sukar distrukturkan. Semangatnya organik, ketika mendapat tahu tingkah laku elit politik yang amat menyakitkan hati itu, jalanraya seakan memanggil-manggil. Secara peribadi (era kemahasiswaan saya), seruan agung untuk turun, berarak, kemudian memekikkan suara ini lahir ketika UMS benar-benar sedang gawat dengan ketiadaan bekalan air. Kami mendapat tahu YB Menteri akan turun melawat kampus. Spesifiknya, pada 8 Januari 2024. Pada malam sebelum hari kejadian, panjang benar diskusi bersama rakan-rakan ketika itu, semua menumpu kepada mahu lahirkan ekspresi jujur di hadapan Pak Menteri. Naiem memberi semangat bahawa kita akan demo di Kolej Kediaman Tun Fuad, lokasi kunjungan Pak Menteri. Dalam sekelip mata, himpunan kecil itu menghiasi muka depan akhbar dan media di seluruh negara!

SM paling ditekan di era Madani. Kami rasa, mahasiswa SM paling ramai didakwa di bawah Akta Hasutan ketika pemerintahan Kerajaan Madani. Apa komen?

J: Satu majlis makan malam bantah akta hasutan pernah dibuat di Malaysia pada 2014. Majlis itu menghimpunkan para aktivis yang diintimidasi di bawah akta hasutan.Watak utama ketika itu antaranya Ali Abd Jalil, Safwan Anang dan Adam Adli. Pemimpin pembangkang selaku tetamu khas hadir bersolidariti, lantang menyuarakan keperluan segera untuk akta itu dimansuh. Siapakah mereka? Mat Sabu, YAB Lim Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang) dan YB Anwar Ibrahim (Ahli Parlimen Permatang Pauh). Sekarang mereka ini sedang merajai istana pemerintahan di Putrajaya. Tahun 2025 ini, jumlah panggilan soal siasat, cubaan dakwa, penahanan dan tangkapan terhadap aktivis Suara Mahasiswa dibawah akta hasutan sudah tidak terhitungkan. Apa lagi yang saya mampu komen? Sudah tentu tidak ada melainkan cela maki buat mereka. Merintih ketika ditekan. Menindas ketika berkuasa. 

SM, apa ideologi kamu? Apa bentuk masyarakat yang kamu idamkan? Apa bentuk demokrasi yang kamu impikan dalam negara?

J: Demokrasi harus merakyat. Kuasa dan kepentingan negara harus dikembalikan kepada rakyat, bukan ditentukan oleh elit politik mahupun kelompok kelas berpengaruh. Dalam kerangka pemikiran ini, Suara Mahasiswa mengimpikan sebuah masyarakat yang tidak hanya tercerah, tetapi memiliki keupayaan berfikir secara menggugat dan bebas. Masyarakat yang berfikir bukanlah masyarakat yang menghafal atau menerima tanpa soal, tetapi masyarakat yang berani bertanya, berani menilai, bahkan berani melawan. Kita mendambakan sebuah masyarakat yang tidak semata bergantung kepada ihsan kuasa, tetapi mampu berdiri atas paksi ilmu dan solidariti. Namun, pembentukan masyarakat seperti ini tidak mungkin berlaku tanpa pola demokrasi yang baik. Maka, Suara Mahasiswa sering menegaskan bahawa demokrasi bukan sekadar proses mengundi lima tahun sekali, ia perlu hidup dalam rutin harian rakyat. Demokrasi yang diimpikan ialah demokrasi yang memberi ruang kepada rakyat untuk bersuara, berorganisasi, mengkritik, dan terlibat dalam keputusan-keputusan yang menentukan arah negara. Dalam erti kata lain, demokrasi bukan ritual elitis, tetapi budaya hidup masyarakat bertamadun. Demokrasi yang jujur menuntun kepada kebebasan institusi seperti media, badan perundangan, kehakiman, parlimen, dan sistem keselamatan agar tidak diperguna semahunya untuk kepentingan elit politik dan kelompok kelas berpengaruh tadi. Ia juga menuntut sistem ekonomi yang tidak memusatkan kekayaan kepada kelompok kecil, tetapi mengalirkan manfaat ke seluruh lapisan masyarakat. Akhirnya, perjuangan Suara Mahasiswa bukanlah perjuangan mendasari perihal kemahasiswaan semata-mata. Ia adalah perjuangan untuk mengangkat maruah rakyat, memperjuangkan hak hidup yang bermaruah, dan mengembalikan kepimpinan negara kepada nilai insan dan waras. Suara Mahasiswa percaya bahawa perubahan bukan ditentukan oleh munculnya pemimpin yang acah sempurna ini, tetapi hadir apabila rakyatnya mula berfikir dan bersuara.

Ok out of topic, kamu ni ada cewek jugakah? Macam melawan terus bah kamu. Kalau bukan di balai polis (sebab disiasat), muka kamu di jalanan melawan kerajaan HAHAHA. Ada juga kah kamu dating sama cewek? (apa pandangan kamu pasal perjuangan vs percintaan HAHAHA)

J: Kami pun sering bicara panjang mengenai hidup berpasangan bah, bahkan karenah-karenah lain yang muncul ketika bergerak dalam organisasi. Sahabat saya Faiz pernah meninggalkan pesan pada meja diskusi.

Pasangan itu tanggungjawab,

sementara Suara Mahasiswa adalah jiwa. 

Dalam masa aku cuba memenuhi tanggungjawab, 

jangan sampai jiwaku kehausan.

Oh ya, tahniah untuk sedekad yang radikal ini. SM membuktikan kuasa rakyat menerusi keberaniannya memimpin massa dan mengoptimakan ruang awam untuk kebebasan berekspresi. So, apa plan SM sedekad akan datang? Apakah kamu akan jadi parti politik? HAHAHA

J: Seingat saya, Suara Mahasiswa tidak pernah merangka atau menyusun apa-apa samada untuk tempoh 5 tahun apatah lagi 10 tahun ke hadapan. Tahun 2025 ini, Suara Mahasiswa mencapai usia sedekad pembentukannya. Sedekad ini telah dijalani tanpa sebarang penyusunan struktural seperti apa yang mahu dibuat esok, lusa, tulat, langkat, minggu depan, bulan depan, tahun depan atau 10 tahun akan datang. Penggeraknya cekal menjalani ruang waktu yang penuh sunyi dan misteri ini.

OK, ini lebih kencang. Apa pendapat kamu pasal politik di Sabah? Temubual ini mungkin akan keluar ketika Sabah sedang panas dengan PRN Sabah 2025. Siapa yang seharusnya yang rakyat pilih dan apa modul politik yang sepatutnya di Sabah?

J: Kami tidak gemar dengan soalan semacam siapa yang seharusnya rakyat pilih. Kerana kewujudan Suara Mahasiswa ini sendiri untuk menggugat kereka yang gagal menurun jasa, tetapi khayal dengan kuasa. Saya rasa masalah demokrasi di negara ini kita terlalu gemar menaikkan dan menjulang. Sukar untuk ada yang mahu mengguling atau menjatuhkan. Jadi soalan sesuai untuk kami, siapa yang perlu dijatuhkan? Haha. Secara seris, GRS perlu diruntuhkan. Musa Aman perlu dihumbang keluar dari istana negeri. Kewujudan mereka merupakan sebuah mimpi ngeri buat marhaen.

SM, bagaimana rakyat Sabah dan gerakan massa lain menyokong kamu? Atau dapatkan informasi tentang aktiviti kamu? Nyatakan. 

J: Suara Mahasiswa bertapak di UMS. Pada ruang digital, kami aktif di Instagram dan TikTok.

Dirgahayu semua pemimpin utama SM yang membawa gerakan ini menjadi paru paru demokrasi di Sabah. Kudos. Kami berterima kasih atas kesudian kamu bersembang di sini. Yang terakhir, titipkan kata-kata juang dan solidariti buat semua pembaca filsufi. & co di luar sana. 

J: Tahun 2025 ini Suara Mahasiswa UMS berusia 10 tahun. Sebuah garis masa panjang dipenuhi peranan, ilmu, idea, aksi, keringat dan solidariti. Ada cadangan untuk perjalanan 10 tahun Suara Mahasiswa di lapangan aktivisme ini dibukukan, merangkul semula kisah dan cerita, termasuk orang-orang yang menukang pergerakan sepanjang 3,650 hari lembaran sejarah getir aktivisme mahasiswa ini. 

Saya pernah mendengar rasa khuatir terhadap potensi masa depan di lapangan kerjaya. Namun, tidak pernah lagi saya dengar orang yang pernah berada dalam jalur aktivisme ini terkapai-kapai lama di luar. Mereka kini beraksi mantap di lapangan profesionalisme masing-masing, bahkan ramai yang kini berada di sektor awam, berbakti kembali kepada masyarakat. 

Tidak kurang juga mereka yang kini berada di industri dalam dan luar negara, memiliki tanggungjawab samada di sektor sosial, sukan, pembuatan, pertanian dan korporat namun kekal jujur dan bersetia di jalur pemikiran yang sama. Kreativiti dan kemahiran luar biasa hari ini sebenarnya turut dirintis seawal berada dalam pergerakan aktivisme mahasiswa di kampus.

Melihat kepada demografi semasa organisasi mahasiswa di Universiti Malaysia Sabah, Suara Mahasiswa, Nadi Mahasiswa, Sinergi, Aspirasi, Angkatan dan sebagainya diyakini memiliki peranannya yang tersendiri. Yang penting untuk dinilai adalah cara apa peran itu tadi diaplikasi, bagaimana disiplinnya digerak, siapa yang menerima konsekuensinya? Adakah kebijakan itu manfaat kepada massa, atau sekadar untuk secebis orang-orang dan kelompok berkepentingan. 

Mendepani siri perjuangan esok, sudah tentu pelbagai rintangan sedang rapi disusun. Mereka memiliki sumber yang besar, orang orang (kuli) yang didanai, bahkan barisan jentera media yang ampuh sebagai senjata naratif mempengaruhi dapatan awam. Suara Mahasiswa pula akan kekal dengan tiga ‘pillar’ utamanya : intelektual, kebajikan dan kemasyarakatan.

Dalam cabaran perlawanan itu tadi, yang bangsat cuma mereka yang punyai kuasa, pembuat dasar namun menggunakannya untuk membedil komuniti terpinggir, menunggang derita orang miskin demi sebuah naratif dan sokongan kelompok masyarakat yang belum tercerah. Yang bangsat juga adalah orang-orang yang rela menjadi perkakas, kuli-kuli yang menagih kasih di antara kesibukan para politikus dan pejabat yang jahat. 

Terima kasih filsufi. & co membuka ruang untuk kami. Secara peribadi saya melihat Filsufi sebagai medium yang cukup baik untuk masyarakat menelaah bacaan alternatif menampilkan pendapat mahupun hujah jujur dan berani.

“Merdeka Mahasiswa!”
“Kita Semua Suara Mahasiswa”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *