Home / Pendapat / Politik / Fahami Beza Tarikh Merdeka dalam Pembentukan Malaysia oleh Yusry Sulaiman

Fahami Beza Tarikh Merdeka dalam Pembentukan Malaysia oleh Yusry Sulaiman

Sejarah pembentukan Malaysia tidak dapat boleh dilihat melalui satu sisi sahaja. Perkara ini bukan sekadar tentang kemerdekaan daripada penjajah British pada 31 Ogos 1957, tetapi melibatkan proses kerumitan yang menggabungkan beberapa entiti politik berbeza melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Jelasnya, terdapat perbezaan tarikh kemerdekaan persekutuan Tanah Melayu dengan pembentukan Malaysia. Ini menjadi asas penting dalam memahami hubungan antara negeri-negeri dalam sistem persekutuan hari ini.

Pada 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu merdeka daripada penjajahan British. Ia merupakan satu kejayaan besar hasil rundingan antara pemimpin tempatan dengan pihak kolonial. Tetapi pada waktu itu, di Borneo Utara (Sabah), Singapura dan Sarawak belum menjadi sebahagian daripada negara yang dikenali sebagai MALAYSIA  hari ini.

Malaysia terbentuk pada 16 September 1963, dengan hasil penyatuan empat entiti iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Proses penyatuan dan gabungan ini dimeterai melalui Malaysia Agreement 1963 (MA63) yang menetapkan syarat-syarat penting serta asas perhubungan persekutuan yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia.

MA63 lebih besar dari sebuah Dokumen

Selain itu, MA63 bukan sekadar dokumen perundangan, tetapi merupakan kontrak politik dan sosial antara wilayah yang bersetuju membentuk Malaysia. Dalam Perjanjian ini, Sabah dan Sarawak diberikan kuasa autonomi dalam beberapa bidang penting seperti Imigresen, Agama, Pendidikan, Pentadbiran Awam, Hasil bumi dan Cukai.

Sabah dan Sarawak tidak menyertai Malaysia sebagai “negeri biasa”, namun sebagai rakan kongsi pengasas. Perkara ini sangat penting demi memahami dalam konteks persekutuan moden. Perkara ini mesti ditekankan tentang kesetaraan antara wilayah, bukannya berbentuk penguasaan satu pusat terhadap lingkungan kuasanya.

Mengenai isu tarikh kemerdekaan dari perspektif wilayah, Sabah dan Sarawak mesti tegas bahawa Sabah dan Sarawak tidak merdeka pada 31 Ogos 1957. Sebaliknya, Sarawak mencapai pemerintahan sendiri pada 22 Julai 1963, manakala Sabah diisytihar bebas daripada Kolonial British pada 31 Ogos 1963, hanya dua minggu sebelum pembentukan Malaysia.

16 September dan Semangat MA63

Secara kronologinya, tarikh 31 Ogos sering diangkat sebagai tarikh kemerdekaan seluruh Malaysia, yang secara sejarahnya tidak tepat dan menimbulkan rasa ketinggalan terutama masyarakat Borneo. Oleh itu usaha mengiktiraf bahawa 16 September sebagai hari Malaysia bermula pada tahun 2010 sebagai satu langkah penting dalam mendamaikan perspektif sejarah pelbagai ini.

Dalam beberapa dekad ini, semakin banyak suara dari Sabah dan Sarawak menuntut agar semangat MA63 dihormati sepenuhnya seperti pengembalian hak kawasan hasil minyak dan gas, pelaksanaan autonomi pendidikan dan pentadbiran dan pengiktirafan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi (Equal Partners). Diskusi ini tidak hanya berkisar pada isu politik semata-mata, malah turut berkaitrapat soal keadilan sejarah dan perlembagaan. Sebuah persekutuan yang adil seharusnya meraikan kedaulatan wilayah dalam rangka bekerja sama yang menghormati asal-usul pembentukannya.

Sebagai kesimpulan, sejarah bukan milik pusat sahaja. Kita mesti memahami perbezaan antara tarikh kemerdekaan dan pembentukan Malaysia dan fakta ini tidak lagi berlegar sekadar soal akademik. Perkara ini menyentuh jati diri rakyat di pelbagai wilayah dan bagaimana mereka melihat tempat mereka dalam struktur negara.

Malaysia bukan terbentuk secara kebetulan – perkara ini hasil persetujuan yang mengikat antara wilayah yang berbeza latar belakang , sejarah dan budaya. MA63 juga perlu diberi tempat yang seadilnya dalam pendidikan, dasar dan naratif sosial. Dengan cara ini rakyat Malaysia dari Perlis sampai ke Tawau dapat merasai bahawa negara ini milik bersama atas asas perjanjian persetujuan dan kepercayaan sejagat.

(Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian filsufi.my)

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *