Home / Pendapat / Politik / Bina Anak Sabah Hari Ini oleh TS Nor Abdi

Bina Anak Sabah Hari Ini oleh TS Nor Abdi

LAHAD DATU (Sabah)– Dalam gelora arus pemodenan dan cabaran geografi unik Sabah, pembangunan sahsiah dan kemahiran remaja bukan lagi sekadar pilihan tetapi satu keperluan mendesak. Tegas Tokoh Pendidik, Pengerusi Majlis Pensyarah Cemerlang Kolej Vokasional Lahad Datu, TS Nor Abdi Bin Jaumi, masa depan Sabah sebagai tulang belakang negara bergantung kepada bagaimana generasi muda di negeri ini dibentuk hari ini.

“Membangunkan negara bukan usaha sehari dua, tetapi usaha berterusan. Di Sabah, kesannya lebih kritikal kerana kita bermula dari aras sosioekonomi dan infrastruktur yang berbeza. Oleh itu, salah satu faktor yang perlu diberi perhatian segera adalah pembangunan sahsiah dan kemahiran remaja Sabah.”

Menurut TS Nor Abdi yang merupakan penulis buku ‘Dari awal’ , kepentingan ini berpunca daripada tiga realiti tempatan. Pertama, kadar penduduk muda Sabah yang tinggi menjadikan negeri ini ‘bonus demografi’ hanya jika remajanya berkemahiran dan berdisiplin. Kedua, jurang digital dan capaian pendidikan kemahiran di kawasan pedalaman seperti Tongod, Pitas, dan Nabawan memerlukan pendekatan sahsiah yang kukuh agar remaja tidak mudah terpengaruh dengan gejala sosial atau tawaran pekerjaan meragukan dari pihak tidak bertanggungjawab. Ketiga, potensi besar sektor perindustrian Hilir Sawit, Pelancongan Lestari, dan Pertanian Moden di Sabah memerlukan tenaga kerja tempatan yang bukan saja mahir mengendalikan jentera tetapi juga mempunyai sahsiah seperti amanah, ketepatan masa, dan integriti.

“Kita tidak mahu remaja Sabah hanya menjadi penonton dalam pembangunan negeri sendiri. Saya lihat ramai anak muda di Lahad Datu ini berbakat dalam kemahiran teknikal – daripada fabrikasi logam hingga sistem pendingin hawa. Tetapi bakat itu akan sia-sia jika sahsiah mereka tidak dibina. Kerja di kilang sawit atau bengkel vokasional memerlukan displin tinggi. Remaja yang sahsiahnya rapuh akan cabut lari selepas tiga bulan, lalu majikan terpaksa mengambil pekerja luar,” jelas beliau.

Belanjawan Tumpuan, Kolaborasi Industri Diperluas

TS Nor Abdi mengalu-alukan usaha kerajaan negeri Sabah melalui Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) yang memperuntukkan RM437.93 juta untuk pembangunan modal insan sepanjang 2026, yang merangkumi TVET, STEM, inovasi digital, dan aspek kerohanian. Walau bagaimanapun, beliau menekankan bahawa modul sahsiah mesti menjadi teras, bukan sekadar komponen sampingan.

“Kolej Vokasional Lahad Datu misalnya, kami memperkenalkan konsep ‘Vocational with Values’. Disamping pelajar pandai mengendalikan projek pertanian dan penternakan, mereka mesti terampil modul integriti, kerja berpasukan, dan etika masyarakat Sabah. Malah, kami bekerjasama dengan pelbagai agensi, jabatan serta industri disekitar Lahad Datu untuk menjadikan projek komuniti sebagai penilaian sahsiah,” dedah beliau.

Reaksi Ibu Bapa Dan Remaja Sementara itu, seorang ibu bapa dari Tungku, Cikgu Selihin (47 tahun), bersyukur dengan penekanan ini. “Anak saya belajar di KV Lahad Datu. Selain memiliki kemahiran dalam penternakan poltri, dia sekarang lebih bertanggungjawab jaga waktu solat dan tolong jiran. Itu yang kita mahu di Sabah – anak yang bukan saja ada kerja, tapi ada hati.”

Cadangan TS Nor Abdi

Beliau mencadangkan agar kerajaan persekutuan dan negeri: 1. Mewajibkan modul sahsiah berteraskan etika tempatan Sabah di semua institusi TVET dan sekolah menengah teknik. 2. Memperbanyakkan program ‘Mentor Anak Angkat Industri’ di mana pegawai industri dan agensi kerajaan Sabah membimbing remaja secara satu lawan satu 3. Mewujudkan Indeks Pembangunan Remaja Sabah (IPRS) yang mengukur bukan hanya tahap kemahiran tetapi juga kualiti sahsiah seperti disiplin, jujur, semangat komuniti, dan keterlibatan sivik.

“Jika ketiga-tiga ini dilaksanakan segera, Sabah bukan lagi negeri pengikut. Sabah akan menjadi peneraju pembangunan modal insan serantau. Tetapi ingat, tiada keajaiban semalaman. Apa yang kita tanam dalam diri remaja hari ini, kita akan tuai hasilnya pada masa akan datang, ketika mereka menjadi pemimpin dan penggerak ekonomi Sabah,” 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *