Parodi Perebutan Bangkai
Situasi masa kini, baik di pentas politik, media sosial, bahkan ruang akademik seolah-olah sebuah parodi tragis. Dua atau lebih kelompok yang masing-masing memiliki kuasa (sama ada kuasa formal atau kuasa pengaruh) saling bertempur. Mereka mengaku memperjuangkan kebenaran, namun debat mereka tidak ubah seperti dua ekor kerbau yang saling menanduk tiang penyangga candi. Candi itu sendiri runtuh, tetapi mereka tidak sedar.
Orang-orang berpengaruh dari kalangan pemimpin pendapat, politikus, aktivis, kebanyakannya terperangkap dalam apa yang sebut “dialektika kemarahan”. Setiap hujah bukan lagi untuk mencari kebenaran, tetapi untuk memusnahkan lawan. Alatnya adalah celaan, pemburukan peribadi, tuduhan niat jahat. Mereka lupa bahawa akal yang waras tidak pernah mandi dalam lumpur permusuhan yang berpanjangan.
Akar Masalah-Fanatik
Dalam kerangka yang Prof. al-Attas ajarkan, manusia moden telah kehilangan adab, bukan sekadar sopan santun, tetapi kehilangan disiplin meletakkan sesuatu pada tempat yang benar. Apabila seorang pemimpin atau cendekiawan lebih sibuk membuktikan kesalahan orang lain daripada meneliti kesalahan dirinya sendiri, itu tanda bahawa hatinya telah dikuasai oleh al-‘asabiyyah (fanatik kesukuan) moden: fanatik terhadap puak, ideologi, atau kelompok penyokong.
Lihatlah kepada Pendeta Za’ba: beliau kritik sistem kolonial tetapi tidak pernah membenci orang Inggeris secara buta. Beliau kritik kelemahan bangsa sendiri tanpa merendahkan martabat mereka. Sayangnya, sifat tajam mata Za’ba kini digantikan dengan mata katarak yang hanya mampu melihat kotoran di pihak lawan.
Gema di Lembah Kosong
Fenomena menjadi semakin sia-sia apabila penyokong kedua-dua pihak menjadi pembakar semangat. Mereka seperti khalayak dalam gelanggang sabung ayam; semakin deras darah tertumpah, semakin kuat sorakan. Di media sosial, mereka berlomba menyebarkan naratif kebencian, mencipta echo chamber yang memabukkan. Tidak cukup sekadar menyokong, mereka perlu memburukkan pihak lain agar kemenangan moral terasa lebih manis.
Hasilnya? Perdebatan tidak menghasilkan sebarang solusi. Yang lahir hanyalah dendam, trauma kolektif, dan masyarakat yang terbelah. Inilah fasad (kerosakan) yang disebut dalam tradisi sufi Hamzah Fansuri: manusia sibuk dengan zahir pertengkaran, tetapi lupa bahawa musuh sebenar adalah nafsu di dada sendiri.
Haluan Sunyi Para Arif
Namun, di celah hiruk-pikuk ini, wujud segelintir manusia yang muak. Mereka bukan apolitik, tetapi berpolitik dengan cara yang beradab. Mereka sedar bahawa kuasa tanpa hikmah hanyalah kegilaan kolektif. Mereka mengambil haluan sendiri—bukan haluan ego, tetapi haluan tawaduk (rendah hati) dan pencarian kebenaran yang sepi.
Orang-orang inilah yang mengingatkan saya kepada para siddiqin zaman silam—tidak ramai diikuti, tetapi setiap perkataan mereka mempunyai timbangan. Mereka menolak permainan “kamu lawan kami” kerana tahu bahawa Tuhan tidak pernah memihak kepada puak, tetapi kepada mereka yang bertakwa dan berbuat baik.
Berhenti Sejenak Sebelum Semua Runtuh
Wahai para pemimpin dan penyokong sekalian, renungkanlah: jika setiap perdebatan hanya melahirkan dendam, jika setiap hujah hanya mencari kepalsuan pihak lawan, maka bukankah lebih baik diam? Bukankah diam yang penuh dengan kontemplasi lebih mulia daripada seribu perkataan yang membakar?
Saya tidak meminta semua orang bersetuju. Saya meminta kita kembali kepada adab berdebat: mendengar sebelum menuduh, mencari fakta sebelum menyebar, dan yang paling penting, menyedari bahawa pertengkaran yang tidak membuahkan keadilan dan rahmat adalah sia-sia mutlak, dan sia-sia itu dosa terhadap akal. Yang runtuh bukanlah lawan kita, tetapi tiang-tiang kebijaksanaan yang kita sendiri tolak kerana kesombongan dan kebodohan.
Persoalannya, sampai bila kita harus berdebat untuk saling menjatuhkan pendapat? Sejauh mana ia telah mengangkat martabat?




