Home / Pendapat / Politik / Humban akta hasutan ke lubang jamban oleh Rien Sd

Humban akta hasutan ke lubang jamban oleh Rien Sd

“Ini komitmen yang dibuat oleh saya dan parti, dan dizahirkan dengan jelas dalam manifesto PH sebelum PRU.” [1] ucapan Anwar Ibrahim dalam wawancaranya bersama TRT World kira-kira enam tahun yang lalu- sebelum menjadi Perdana Menteri- dalam merespon komitmen kerajaan PH untuk memansuhkan Akta Hasutan yang menjadi cambuk pemerintah untuk memukul warga yang cuba mengkritik dan mengintai celana kekuasaan mereka. 

Tulisan ini adalah garapan singkat dalam meninjau daerah kebebasan berekspresi termasuklah sikap pemerintah berlenggang kangkung dalam menunaikan janji mereka untuk memberi komitmen penuh dalam memastikan negara benar-benar merayakan demokrasi dan mempersiapkan masyarakat yang demokratik tanpa dipagari oleh peraturan yang mendiktat kebebasan dan pemikiran rakyatnya. 

Tahun 2025, kira-kira enam tahun selepas wawancara bersama TRT World, Anwar Ibrahim- yang kini menerajui pasukan Kerajaan Madani- menyatakan sikap untuk meneruskan Akta Hasutan untuk mengekang kebebasan yang tidak berasas. [2] Meskipun kompas “berasas dan tidak berasas” selalunya datang dari kamus pemerintah, rakyat Malaysia terkejut dengan kenyataan bekas korban Akta Hasutan itu. 

Ketika Malaysia sedang dipandu oleh gerombolan rejim yang dikepalai Najib Razak, sekitar 2013 hingga 2016, hanya dalam tempoh tiga tahun, kira-kira 170 rekod kes hasutan. Kegilaan Najib Razak membungkam rakyat memuncak pada tahun 2015 apabila kira-kira 91 individu telah ditangkap, disiasat dan dan didakwa atas kesalahan hasutan [3] Ini termasuklah Anwar Ibrahim dan ramai lagi aktivis, ahli akademik dan seniman. 

Ironinya, Anwar Ibrahim dan pasukan Madaninya masih menumpahkan rasa kasih dan cinta ke atas akta drakonian ini. Mereka masih memeluknya seperti bantal guling di atas ranjang kuasa. Enak, intim dan tidak mahu melepaskannya pergi. 

Warisan rejim lama

Pengalaman dan praktik Akta Hasutan di Malaysia mungkin- atau hampir sepenuhnya- menyamai beberapa bentuk intimidasi negara dalam catatan sejarah politik autoritarian. Jika kita kembali ke sekitar abad ke-17 hingga ke-19, kita akan menemukan tema keselamatan negara vs. kebabasan rakyat. Treason and Sedition in English Law misalnya adalah projek melindungi pemerintah dari kebangkitan dan pemberontakan rakyat. Aksi dan protes rakyat selalu berakhir sebagai pengkhianatan dan hasutan dalam terma undang-undang negara. 

Di Indonesia, ketika pemerintahan regim Soeharto- sosok yang digelar oleh Prof. Anderson “a malign dictator with blood on his hands” [4]- turut meletakkan Subversion Law atau UU Anti-Subversi 1963 sebagai perkakas dalam toolbox politiknya untuk membelenggu dan merantai leher warga yang menujah kritik dan aksi massa. Semua yang menentang dituduh subversif dan memakan ramai korban dari sang intelektual Pramoedya Ananta Toer ke pemimpin politik seperti Mohammad Natsir.

Di Malaysia, pasca pembunuhan tiga pengurus ladang Eropah di Perak pada Jun 1948, Tanah Melayu diisytihar darurat oleh kolonial British. Peristiwa ini membawa kepada operasi besar besaran menggempur Parti Komunis Malaya (PKM) yang didakwa memimpin propaganda anti-penjajah termasuklah gerakan dan ideologi yang menurut mereka menggugat dan radikal; nasionalisme kiri dan kesatuan sekerja.

Kejayaan kolonial British mencipta logik yang bullshit itu, akhirnya melahirkan akta warisan penjajah iaitu Akta Hasutan 1948 untuk mencantas dan menebas perlawanan dan gugatan kepada pemerintah. Sehinggalah Tanah Melayu merdeka pada 1957, masih belum ada keinginan dari para tokoh politik Malaya untuk menyapunya ke dalam longkang. Walaupun begitu, pasca rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, akta iblis ini dipinda pada 1971. Kandungannya semakin ketat dan menjadi ulat yang memakan tubuh demokrasi Malaysia. 

Sehinggalah hari ini, negara masih bertalik tali untuk melepaskan rakyat dan semua warganya dari belitan iblis Akta Hasutan. Tiada keinginan dan kehendak politik untuk membakar dan menghapuskan saki baki kolonial ini dari buku peraturan negara. Anwar Ibrahim masih menyambung kontrak percintaannya bersama akta drakonian ini meskipun dia pernah menjadi korban intimidasi dari akta ini. 

Wacana kebebasan rakyat

Negara selalu- dalam sejarah panjang politik autoritarian di dunia-  berbagi argumen rigid yang seragam untuk menjustifikasikan praktik penindasan mereka ke atas rakyat; (1) rakyat menganggu kestabilan negara (2) rakyat menyebar ideologi terlarang (3) rakyat mengancam keselamatan negara. 

Kebebasan rakyat sering menjadi pilihan kedua dan praktik negara selalu menyebelahi pemerintah dan nafsu serakah kuncu-kuncunya. Ketika kita ingin meneliti kepada diskusi kebebasan dan meninjau hubungannya dengan negara, ada baiknya kita merapati wacana dari beberapa spektrum pemikiran; dari John Stuart Mill (Liberal Klasik) ke Isiah Berlin (Liberal Sosial) ke Rosa Luxumberg (Sosialis Kiri).

John Stuart Mill dalam On Liberty menyanggah kesundalan pemerintah mengintai pemikiran- dari ucapan kepada tindakan- rakyatnya. Isaiah Berlin dalam Two Concepts of Liberty menegaskan limitasi negara dalam memastikan kebebasan itu bermakna untuk semua rakyatnya. Rossa Luxemberg dalam The Russian Revolution menimbulkan keraguan terhadap makna kebebasan menurut negara apabila ianya hanya menjadi alat kekuasaan dan tidak menjadi pelindung kepada perbezaan pendapat. 

Persamaan gagasan kebebasan dari para pemikir ini adalah membatasi peranan negara dan pemerintah dalam mengawal kebebasan rakyat bahkan yang lebih keras adalah menolak keghairahan negara untuk mengongkong kebebasan rakyat sewenang-wenangnya. 

Di Malaysia, pemerintah yang mengusung dan memikul gagasan Madani telah gagal menyelamatkan kebebasan rakyatnya. Akta drakonian selalu menjadi kurungan dan kandang untuk memenjarakan pemikiran dan percakapan rakyat. Anwar Ibrahim- yang terkenal dengan julukan reformis- antara pemimpin negara yang dikatakan ideal dan serba tepat untuk meneraju dan mereformasi segala kebejatan dan kebangsatan oleh regim diktator sebelum ini telah layu, sendu dan terbatuk-batuk ketika mengungkap perihal akta parasit yang jahat ini.

Centre of Independent Journalism (CIJ) turut menyatakan- dalam laporan mereka Freedom of Expression 2025 in Malaysia– peningkatan sebanyak 23% penggunaan akta drakonian dalam negara- dari 2014 hingga 2015 [5]- oleh Kerajaan Madani yang dipimpin Anwar Ibrahim. Malangnya, senjata telah memakan tuannya. Yang pernah dijerit, kini menjerat. 

Dialog lauk demokrasi

Penangkapan dan pendakwaan Akta Hasutan kepada para aktivis, seniman dan wartawan di Malaysia telah berderet menjadi sketsa kegagalan politik rahmah ala Kerajaan Madani. Di Sabah misalnya antara yang mencatat jumlah korban yang ramai; Mukmin Nantang (isu perobohan rumah Bajau Laut), Fadhil Kassim, Sabir Syarifuddin & Aliff Badrul (aktivis protes Gempur Rasuah Sabah), Sudirman Arshad (mahasiswa UMS), Aliefah Bobby (mahasiswa UMS) dan banyak lagi kes di Semenanjung, Malaysia melibatkan aktivis yang disiasat di bawah Akta Hasutan ini. 

Terbaru, kes Rex Tan- bekas wartawan Free Malaysia Today yang menimbulkan spekulasi pasca kontroversi soalan yang diajukannya ketika ceramah awam bertajuk ‘Gaza Exposes the Complicity of International Actors’- yang turut menjadi korban Akta Hasutan atas dakwaan menyentuh sensitiviti 3R. Mengutuk penggunaan Akta Hasutan ke atas Rex Tan bukan bermakna bersetuju dengan logik yang dilontarkannya dalam acara tersebut. Ini dua hal yang berbeza. 

Zaid Malek (Lawyers for Liberty) beranggapan kerajaan PH- terutamanya terkait institusi Diraja-  hanya menggunakan Akta Hasutan sebagai alasan dan perlanggaran hak kebebasan sivil dalam negara. [6]

Malaysia seharusnya menjadi negara dialog yang menumbuhkan wacana pemikiran. Berhenti mengawasi pendapat rakyat. Tanpa bersikap prejudis, negara seharusnya mengambil peranan progresif (bukan regresif) dalam menanggapi pendapat dan pemikiran rakyat. Membuka padang dialog seluas-luasnya bagi menumbuhkan sikap demokratik dan partisipasi warga dalam menentukan warna-warni pemikiran negara ini. 

Pemerintah terutamanya Kerajaan Madani seharusnya menghidangkan lauk pauk yang pluralistik untuk juadah pemikiran rakyat. Mengekang, mengongkong dan membendung hanya menampilkan bahasa kekuasaan yang kolot dan jumud. Perlahan-lahan menjadi kumbahan propaganda yang busuknya mencucuk dada rakyat. 

Madani seharusnya dipulangkan kepada rakyat. Konsep dan gagasannya yang autentik perlu memandu demokrasi yang sihat dan subur dengan berupaya untuk menamatkan gelora intimidasi negara. 

Akta Hasutan yang serba serbi diktatorial itu perlu segera disapu keluar dan dihumban ke lobang jamban. Ianya harus diusir, disepak dan diterajang jauh dari tatanan masyarakat kita. 

Rujukan

[1] The Newsmakers, 2019, https://www.youtube.com/watch?v=Wv78Z63D7AE

[2] Berita Harian Singapura, 2025, https://www.beritaharian.sg/malaysia/anwar-akta-hasutan-boleh-diguna-kekang-kritikan-tidak-berasas 

[3] Aliran, 2024,  https://m.aliran.com/thinking-allowed-online/sedition-act-not-the-only-solution-for-three-rs-problem 

[4] The New York TImes, 2008, https://www.nytimes.com/2008/01/28/world/asia/28suharto.html 

[5] Malaysiakini, 2025, https://www.malaysiakini.com/news/763085

[6] Berita Harian, 2024, https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/03/1228119/henti-guna-isu-3r-untuk-pertahan-akta-hasutan 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *