Home / Pendapat / Pendidikan / Menteri Pendidikan Perlu Kawal Media oleh Naim al-Kalantani

Menteri Pendidikan Perlu Kawal Media oleh Naim al-Kalantani

Ketika Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kemungkinan berlakunya rombakan kabinet, tidak sedikit suara yang mengharapkan jawatan Menteri Pendidikan diserahkan kepada individu lain.

Rentetannya, setiap masalah yang timbul dalam sistem pendidikan sekolah—sama ada besar atau kecil—akhirnya ditujukan kepada menteri. Menteri dimaki, dikecam, dihamun, dan hampir segala isu pendidikan dikaitkan secara langsung dengan dirinya.

Sejujurnya, saya tidak mempunyai masalah peribadi dengan Fadhlina Sidek. Barangkali kerana saya cuba memahami konteks sesuatu isu sebelum membuat kesimpulan, meneliti punca, dan mencermati setiap tindakan serta kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri berkenaan.

Daripada pemerhatian itu, jelas bahawa tidak semua isu pendidikan wajar diletakkan sepenuhnya di atas pundak seorang menteri. Namun, kerana beliau ialah menteri—iaitu figura paling menonjol—maka belialah individu yang paling mudah dipersalahkan.

Pengumuman hari ini menyaksikan Fadhlina Sidek dikekalkan sebagai pemegang portfolio Menteri Pendidikan, salah satu kementerian paling kritikal di negara ini. Dengan lanjutan tempoh ini—dan mungkin beriringan dengan azam baharu—perkara paling utama yang wajar diberikan perhatian serius selepas ini ialah pengurusan komunikasi kementerian, khususnya komunikasi menteri itu sendiri.

Ramai yang tertanya-tanya dan tercari-cari: siapakah sebenarnya Setiausaha Akhbar (SUA) kepada Menteri Pendidikan? Beberapa bulan lalu, jawatan SUA YBM didapati ‘kosong’ berdasarkan laman web rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Namun, apabila laman web tersebut dilayari semula kini, jawatan itu seolah-olah lenyap begitu sahaja. Hakikat sebenar sama ada jawatan tersebut wujud atau tidak, barangkali hanya diketahui oleh pihak kementerian, sementara netizen terus dibiarkan tertanya-tanya.

Sedangkan jawatan SUA ini amat penting, khususnya dalam mengurus dan menangani isu komunikasi antara menteri dengan media. Saya tidak pelik jika YBM sendiri tidak sentiasa bersedia menjawab setiap soalan wartawan—apatah lagi apabila soalan ‘bola tanggung’ dilemparkan secara spontan dan perlu dijawab serta-merta. Saya masih percaya bahawa tugas utama seorang menteri bukanlah menjawab soalan wartawan, tetapi menjawab soalan-soalan di Dewan Rakyat.

Di sinilah peranan SUA menjadi sangat signifikan. SUA bertanggungjawab untuk memberi taklimat, menyediakan rangka jawapan, serta melatih teknik, taktik dan kaedah bagaimana sesuatu soalan wajar dijawab. Lebih penting, apabila berlaku laporan berita yang diputar belit dari segi tajuk atau isi, SUA inilah yang sepatutnya tampil membetulkan keadaan.

Bagaimana pembetulan itu boleh dilakukan? Jawapannya melalui pengawalan media. Ya, istilah ini mungkin kedengaran keras, malah seolah-olah bersifat diktator. Namun dalam konteks tertentu, ada perkara yang sememannya perlu dikawal demi ketepatan dan kejelasan maklumat.

Izinkan saya berkongsi sedikit pengalaman peribadi ketika bertugas sebagai wartawan. Pada tahun 2023, saya ditugaskan membuat liputan berdasarkan ucapan seorang Ahli Dewan Rakyat. Berdasarkan ucapan tersebut, saya menulis berita dengan judul: “Mustahil Malaysia Berlaku Kegawatan Ekonomi Tahun Ini”. Kenyataan itu dipetik daripada ucapan sorang Timbalan Menteri.

Beberapa jam selepas berita tersebut disiarkan, kami menerima panggilan daripada pejabat Timbalan Menteri berkenaan. Mereka mempersoalkan dari mana datangnya kenyataan tersebut. Subeditor bertanya kepada saya, dan saya menjelaskan bahawa ia dipetik secara langsung daripada ucapan beliau yang menyebut, “saya ingin menegaskan bahawa Malaysia tidak akan mengalami kegawatan ekonomi…”.

Pegawai tersebut tetap berkeras supaya judul berita ditukar. Akhirnya, judul itu diubah kepada: “Malaysia Tidak Akan Mengalami Kegawatan Ekonomi Tahun Ini”. Ketika itu, saya sendiri berasa hairan. Tafsiran mudah saya, frasa “tidak akan” membawa maksud yang sama dengan “mustahil”. Namun tafsiran itu tidak diterima oleh pihak pejabat Timbalan Menteri.

Saya tidak pasti pegawai apa yang menghubungi kami, tetapi intipati ceritanya jelas: beginilah caranya media ‘dikawal’—dengan memastikan penggunaan frasa, perkataan dan judul yang dianggap lebih tepat, lebih berpihak, atau sekurang-kurangnya tidak mengelirukan.

Daripada contoh inilah kita dapat memahami bahawa pengawalan media sebenarnya bukan sesuatu yang mustahil, malah sering berlaku.

Hakikatnya, banyak perkara baik telah dilakukan oleh YB Fadhlina Sidek. Namun, segala usaha itu tidak sampai ke telinga pakcik-pakcik yang bersembang di kedai kopi. Di sinilah masalah sebenr yang perlu ditangani. Keadaan menjadi lebih parah apabila media cenderung menggunakan judul bersifat clickbait dan ragebait, manakala sebahagian netizen pula hanya membaca tajuk tanpa mengambil masa membaca keseluruhan kandungan berita.

Saya kasihan melihat YBM dihentam hampir setiap hari di media sosial, bukan semata-mata kerana kegagalan dasar, tetapi akibat kegagalan penyampaian maklumat—ditambah pula dengan sikap segelintir masyarakat yang malas, dan mungkin juga enggan, mencari maklumat sebenar.

Saya berharap hubungan antara YBM dengan media, serta YBM dengan netizen, dapat diperbaiki dalam masa terdekat. Saya percaya, tentu ada pertimbangan tertentu mengapa Perdana Menteri memilih untuk mengekalkan Fadhlina Sidek sebagai nakhoda Kementerian Pendidikan Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *